Saya menonton dan mendengar siaran
berita ringkas dalam suatu saluran sukan berbahasa Melayu malam tadi. Saya memberikan tumpuan yang penuh apabila berita yang disampaikan itu menyentuh perihal Muhd. Zulfahmi Khairuddin. Walau bagaimanapun, tajuk berita itu telah menyebabkan saya sedikit terkedu apabila penyampai berita itu berkata (lebih kurang): “Hasrat Zulfahmi Khairuddin untuk mencatat sejarah sebagai pelumba
pertama negara menaiki podium kejuaraan motosikal dunia berkubur...”. Yang membuatkan saya terkedu dan tidak
sedap hati ialah perkataan “berkubur” itu.
Saya terkejut kerana sangkaan yang
muncul di hati dan fikiran saya telah mendahului perincian berita yang
selanjutnya. Saya menyangka bahawa Zulfahmi Khairuddin telah terlibat dalam kemalangan yang teruk dalam perlumbaan Moto3 sehingga menjejaskan dirinya lalu tidak dapat bersaing pada perlumbaan-perlumbaan
kelas Moto3 Grand Prix Dunia lagi. Saya sebenarnya mengikuti perkembangan diri
anak muda ini sedikit banyak kerana saya meminati perlumbaan motosikal yang
bagi saya lebih menarik dan mendebarkan jika hendak dibandingkan dengan
perlumbaan kereta F1.
Selepas tajuk itu diperihalkan dan
diperincikan oleh suara latar yang kemudiannya disertai oleh sedutan video
tentang perlumbaan itu, barulah perasaan terkejut yang mengganggu saya itu
mereda dan pulih. Walau bagaimanapun, ada perasaan jengkel yang tumbuh dalam
hati ini.
Kepada yang tidak mengenali Zulfahmi
Khairuddin, elok saya perkenalkan diri anak muda ini serba sedikit. Beliau
merupakan ahli sukan permotoran (motosikal) pada peringkat dunia. Beliau yang berasal
dari Banting, Selangor dan baru berusia 21 tahun (dilahirkan pada 20 Oktober
1991) merupakan wakil tunggal negara dalam perlumbaan motosikal GP Dunia bagi
kelas Moto3 (dulu 125cc). Beliau mewakili pasukan AirAsia-Sic-Ajo yang membawa
nama Malaysia dalam sukan ini dan mula beraksi dalam GP Dunia pada tahun 2009
(beraksi sekali bagi kategori 125cc).
Beliau mula bersaing secara tetap bagi
kategori 125cc pada tahun 2010 dengan menunggang motosikal Aprilia. Pada tahun itu, beliau beroleh 4 mata (daripada 16
perlumbaan) dan menduduki posisi ke-24 keseluruhan. Pada tahun 2011, beliau
menunggang motosikal Derby pula dan
menduduki posisi ke-18 keseluruhan setelah beroleh 30 mata (daripada 17
perlumbaan). Pada tahun ini (setakat 3 Jun 2012), setelah bersaing dalam lima
perlumbaan dengan menunggang KTM pula,
beliau beroleh 37 mata dan menduduki posisi ke-7 keseluruhan.
Anak muda ini sentiasa positif. Beliau sentiasa
yakin bahawa masanya akan tiba untuk beliau menjadi pelumba Malaysia pertama
menaiki podium dalam mana-mana perlumbaan GP Dunia. Beliau bakal berentap dalam
13 perlumbaan lagi — 13 Jun di Britain, 30 Jun di Belanda, 8 Julai di Jerman,
15 Julai di Itali, 29 Julai di Amerika Syarikat, 19 Ogos di Indianapolis, 26
Ogos di Republik Czech, 16 September di San Marino, 30 September di Aragon, 14
Oktober di Jepun, 21 Oktober di Malaysia,
28 Oktober di Australia, dan 11 November di Valencia. Selamat berjaya,
Zulfahmi!
Kita tinggalkan Zulfahmi dan kembali
kepada hal yang menjengkelkan saya — perkataan “berkubur”. Betulkah penggunaan kata itu dalam tajuk berita itu?
Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat,
selain didefinisikan sebagai “ditanam (mayat), dikebumikan”, perkataan “berkubur” turut didefinisikan sebagai
“hapus, hilang, tidak dapat diamalkan lagi atau diteruskan”. Oleh sebab itulah
apabila penyampai berita melafazkan berita yang mengandung kata “berkubur” bagi menggambarkan nasib
Zulhazmi (yang saya ikuti perkembangannya), saya terkejut dan kemudiannya berasa jengkel.
Seperti yang saya tegaskan, persaingan Moto3 masih berbaki 13
perlumbaan dan Zulhazmi masih bernyawa dan sihat wal afiat. Beliau, insya-Allah, masih mampu untuk meneruskan perlumbaan
dan mencari kejuaraan dalam mana-mana perlumbaan. Impiannya masih belum “berkubur”. Sebaliknya, impian Zulhazmi
untuk menaiki podium cuma “terbantut, terhalang, atau tersekat seketika” dan
bukannya “tidak dapat diteruskan langsung/sama sekali”. Jadi, berita itu tidak
tepat kerana pihak editorialnya tersilap dalam memilih perkataan yang
merujuk kepada kegagalan yang bersifat sementara.
Oleh itu, memang wajarlah YB Menteri
Penerangan, Komunikasi, dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim menetapkan
penggunaan bahasa Melayu yang tepat sebagai syarat lesen kepada stesen radio
mulai tahun depan. Pandangan Ketua Media Gabungan
Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Borhan Md. Zain, yang menyarankan penubuhan
satu jawatankuasa penguatkuasaan yang berperanan untuk memantau penggunaan
bahasa bagi siaran di media cetak dan elektronik pun wajar disambut baik oleh
pengamal media cetak dan elektronik.
Sudah sampai
masanya kita berasa malu apabila tidak dapat bertutur dalam bahasa Melayu
dengan baik dan betul, sama halnya dengan perasaan malu yang terbit dalam diri kita apabila kita
tidak bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik, tepat, dan betul.
Saya setuju benar kata tuan. Bahasa melambangkan keseluruhan.
ReplyDeleteSalam, Kolam Gemencheh,
ReplyDeleteMari kita berdoa agar budak Zulfahmi ini berjaya mengharumkan nama negara dalam sukan ini pula.
Marilah kita berdoa juga agar orang-orang media ini bercakap dengan menggunakan bahasa yang betul.