Monday, May 3, 2010

Hulu Selangor Terlucut, Berganti dengan Sibu?

Mungkinkah hal itu menjadi realiti, iaitu selepas Parlimen Hulu Selangor (P094) jatuh ke tangan BN, PR akan memperoleh Parlimen Sibu (P212) sebagai gantinya?

Kalau kecondongan pengundi Cina (melalui PRK Bukit Gantang dan Hulu Selangor) di Semenanjung dijadikan sebagai asas telahan, peluang PR untuk memenangi pertandingan itu nanti melalui bakal calonnya daripada DAP memang ada. Apatah lagi calon BN merupakan calon baharu, yang tidak diketahui pembawaannya.

Walau bagaimanapun, asas itu tidak dapat diguna pakai di Sarawak kerana senario di Negeri Bumi Kenyalang itu agak berbeza. Perlu diingat bahawa daripada 31 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di Sarawak pada PRU12 2008, BN menyapu 30 kerusi manakala pembangkang hanya memenangi 1 kerusi sahaja, iaitu kerusi P195 Bandar Kuching melalui DAP.

Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu (P212) akan diadakan pada 16 Mei 2010 ini berikutan kematian penyandangnya (Mendiang) Datuk Robert Lau Hoi Chew yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan, pada 9 April 2010 kerana barah hati. Penamaan calon akan berlangsung pada 8 Mei 2010.

BN telah menamakan Robert Lau Hui Yew sebagai calon BN manakala PR telah menamakan Pengerusi DAP Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Wong Ho Leng sebagai calonnya.

Sama ada akan berlaku pertandingan lebih daripada dua penjuru, sama-samalah kita nantikan hari penamaan calon nanti. Walau bagaimanapun, berdasarkan PRU-PRU yang lalu, calon-calon lain yang bertanding di Sibu sering kehilangan wang deposit. Sebagai maklumat, pada PRU12 lalu, calon PKR (Lim Chin Chuang) yang mencuba untuk menyaingi dua calon “gergasi”, iaitu Datuk Robert Lau Hoi Chew (BN) dan Wong Ho Leng (DAP), telah kehilangan wang deposit. Lim Chuan Chuang beroleh 812 undi sahaja berbanding dengan Datuk Robert Lau Hoi Chew (19,138 undi) dan Wang Ho Leng (15,903 undi).

2 comments:

  1. Salam, Tuan Zul.
    Kecenderungan politik Malaysia menunjukkan kawasan luar bandar sukar dikuasai Pakatan. Hulu Selangor misalnya. Apatah lagi di Sabah dan Sarawak. Mungkinkah...

    ReplyDelete
  2. Salam, Cikgu;
    Itulah senarionya. Ikut telahan, menjadi tidak mungkin. Di Sarawak, peranan Mahmud Taib menjadi faktor yang agak penting juga. Tengoklah nanti.

    ReplyDelete