Thursday, June 24, 2010

Interpretasi Seorang Orang Awam tentang Kes Tian Chua

Saya mencuba untuk membayangkan suatu situasi. Seorang pengusaha stesen minyak berdepan dengan masalah kemerosotan pelanggan. Oleh itu, untuk menarik pelanggan berkunjung ke stesen minyak yang diusahakannya, beliau telah membuat suatu bentuk promosi, iaitu setiap pelanggan akan beroleh sebotol air mineral 600 liter secara percuma sekiranya mereka mengisi “tidak kurang daripada 10 liter petrol atau diesel”.

Pada ketika yang lain, pengusaha yang sama menghadapi masalah kekurangan bekalan minyak (petrol dan diesel). Beliau mengeluh dengan keadaan ini dan berasa kasihan terhadap nasib para pelanggannya. Untuk memperlihatkan keadilan dan bagi memastikan setiap pelanggannya mendapat bekalan petrol atau diesel, beliau telah menetapkan bahawa setiap pelanggannya hanya boleh mengisikan “tidak lebih daripada 10 liter petrol atau diesel” pada setiap kali pengisian.

Dalam kedua-dua situasi itu, terdapat “syarat” yang dikenakan oleh pengusaha itu kepada setiap pelanggan bagi membolehkan mereka mendapat barang yang diingini mereka. (Dalam konteks situasi pertama, barang yang menjadi target pelanggan ialah air mineral manakala dalam situasi yang kedua target mereka ialah petrol dan diesel itu sendiri). Disebabkan ada keinginan yang kuat dalam hati setiap pelanggan bagi mendapatkan barang yang diingini mereka itu, mereka tidak dapat mengelak daripada membuat interpretasi sendiri tentang syarat yang dikenakan itu.

Dalam situasi pertama, para pelanggan pasti menginterpretasikan bahawa syarat “tidak kurang daripada 10 liter” itu bermaksud bahawa dengan mengisikan 10 liter petrol atau diesel sudah melayakkan mereka untuk mendapat hadiah percuma yang ditawarkan itu. Dalam erti kata yang lain, tanpa perlu mengisikan 11 liter petrol atau diesel (atau 10.1 liter sekalipun) ke dalam tangki kenderaan masing-masing, mereka sudah layak mendapat hadiah yang ditawarkan.

Sebaliknya, pengusaha stesen minyak itu tidak bermaksud demikian. Beliau menekankan bahawa frasa “tidak kurang” dalam syarat yang diberikannya itu bermaksud “lebih”, iaitu “lebih daripada 10 liter”. Hal ini bermaksud bahawa pengusaha itu hanya akan memberikan hadiah yang ditawarkan itu apabila pelanggannya mengisi tangki kenderaan masing-masing dengan sekurang-kurangnya 10.1 liter (atau menggenapkannya kepada 11 liter) petrol atau diesel.

Situasi yang kedua juga memperlihatkan keadaan yang sama. Pelanggan pasti menginterpretasikan syarat “tidak lebih daripada 10 liter petrol atau diesel” itu sebagai mereka boleh mengisikan petrol atau diesel sehingga 10 liter asalkan tidak melebihi 10 liter (misalnya, 10.1 liter dan seterusnya).

Sebaliknya, pengusaha stesen minyak itu tidak bermaksud demikian. Beliau menekankan bahawa frasa “tidak lebih” dalam syarat yang diberikannya itu bermaksud “kurang”, iaitu “kurang daripada 10 liter”. Hal ini bermaksud bahawa pengusaha itu hanya membenarkan pelanggannya mengisi tangki kenderaan masing-masing sehingga 9.9 liter (atau menggenapkannya kepada 9 liter) petrol atau diesel sahaja.

Berdasarkan kedua-dua situasi itu, kalaulah interpretasi pelanggan diguna pakai, jumlah 10 liter itu melingkungi/memenuhi syarat yang ditetapkan oleh pengusaha tersebut.

Sebaliknya, kalau interpretasi pengusaha stesen minyak itu diguna pakai, angka 10 liter itu jelas hanya berperanan sebagai sempadan untuk memenuhi syarat yang ditawarkan sahaja. Dalam erti kata yang lain, jumlah 10 liter itu tidak merangkum syarat yang ditetapkan.

Begitulah perbandingan yang agaknya dapat kita andaikan dengan keputusan Yang Arif hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd. Ghazali Cha, dalam menjatuhkan hukuman ke atas YB Chua Tian Chang (lebih dikenali sebagai Tian Chua, Ahli Parlimen kawasan Batu) pada 17 Jun 2010 yang lalu. Interpretasi Yang Arif itu, pada pandangan saya, sama dengan interpretasi pengusaha stesen minyak dalam situasi yang saya gambarkan itu. Wallahua‘lam.

Catatan
Asalnya, pada 22 Oktober 2009, hakim Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Mohd. Faizi Che Abu telah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda yang berjumlah RM3,000 ke atas YB Tian Chua). Kesalahan yang dilakukan oleh YB itu ialah “menggigit (mencederakan) seorang anggota polis dan menghalang anggota polis itu daripada menjalankan tugas”.

Pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan bagi membolehkan YB Tian Chua membuat rayuan di Mahkamah Tinggi. Sebagai hasilnya, pada 17 Jun 2010, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Ghazali Cha telah menolak rayuan YB Tian Chua (maknanya YB Tian Chua tetap bersalah atas tuduhan itu). Walau bagaimanapun, Hakim Datuk Mohd. Ghazali telah “bermurah hati” untuk menggantikan hukuman yang dijatuhkan oleh Majistret Mohd. Faizi itu dengan hukuman penjara dua bulan dan denda RM2,000 sahaja. Rasional pengurangan jumlah denda daripada RM3,000 kepada RM2,000 oleh Hakim Datuk Ghazali adalah untuk mengelakkan berlakunya pilihan raya kecil di kawasan yang diwakili oleh YB Tian Chua. (Artikel 48(1)(e), Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa seseorang Ahli Parlimen hilang kerusinya apabila “dipenjarakan bagi tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau didenda tidak kurang daripada dua ribu ringgit dan tidak menerima pengampunan”.)

Kalau interpretasi pihak yang mengatakan bahawa hukuman denda itu telah menyebabkan YB Tian Chua hilang kelayakan sebagai Wakil Rakyat, maka satu lagi pilihan raya kecil akan diadakan. Selain itu, YB Tian Chua tidak boleh bertanding dalam mana-mana pilihan raya bagi tempoh lima tahun (hal ini bermaksud bahawa beliau tidak boleh bertanding dalam PRU13 kelak.)

No comments:

Post a Comment