Wednesday, June 2, 2010

Sikap Hari Ini Penentu Kualiti Hidup Masa Tua

Saya berasa cemas dan sebak apabila rakan akrab saya bercerita tentang pengalaman “ngeri” yang ditempuhnya sebaik-baik sahaja dia bangun daripada tidurnya pada subuh Selasa lalu. Beliau menceritakan bahawa sebaik-baik bangun, dia dapat melihat “lalat” dan “berudu” berlari-larian di dalam matanya.

Jam 8:00 pagi, rakan akrab saya itu segera menghubungi doktor matanya untuk menceritakan pengalamannya. Doktor mata itu “menitahkan” rakan karib saya itu datang ke hospital dengan kadar segera. Ada sesuatu yang janggal dan perlu diperiksa, katanya. Rakan akrab saya akur dan segera ke Hospital Serdang, tempat doktor pakar itu bertugas.

Memang menjadi rutin rakan akrab saya itu mendapat rawatan matanya di Hospital Serdang itu. Matanya telah beberapa kali dilaser. Hasilnya tidaklah begitu memuaskan hatinya. Dia tidak menyalahkan doktor matanya itu ataupun laser itu. Hal ini demikian kerana dia sedar bahawa dia penghidap diabetes warisan.

“Lalat” dan “berudu” yang dilihatnya merayap di matanya itu sebenarnya ialah darah yang bocor dari luang matanya. Darah itu berenang-renang seperti “berudu” ke sana ke mari dan itulah yang dapat disaksikannya. Untuk itu, doktor matanya akan melakukan suatu lagi operasi laser ke atas matanya bagi menutup kebocoran pada matanya itu supaya tidak banyak darah yang menutupi pelihatannya. Jika lebih banyak darah yang menutupi matanya, dia tidak akan dapat melihat lagi. Dalam erti kata yang lain, dia akan menjadi buta.

Pengalaman rakan akrab saya itu sudah lebih awal menimpa imam kami (semoga Allah SWT terus menabahkan hatinya). Imam kami itu kini mengalami masalah pelihatan yang juga berpunca daripada diabetes warisan. Pada awal ujian itu ditimpakan ke atas dirinya, beliau turut dapat menyaksikan “berudu” berenang-renang ke hulu dan ke hilir. Pada suatu ketika, kata imam kami itu, pemandangannya hanya dipenuhi warna merah! Beliau kini hanya dapat melihat dengan agak baik apabila bangun tidur sehinggalah jam sepuluh atau sebelas pagi dan selepas itu pelihatannya terus terganggu hampir sepanjang hari.

Dua minggu lepas, rakan penulis saya dikesan menghidap diabetes sehingga ditahan di Hospital Kajang selama lima hari. Berat badannya menyusut lapan kilogram dalam tempoh dua minggu. Kini, dia mula menelan ubat dan yang membimbangkannya, pelihatannya sudah mula kabur. Hal ini menyukarkannya untuk terus menulis.

Allahyarham rakan saya, Mazlan Mahat (Al-Fatihah untuk rohnya) mengalami kebutaan sebagai akibat diabetes. Ujian Allah itu dilaluinya sehinggalah dia menutup mata untuk selama-lamanya. Kebutaan itu dialaminya pada usia yang relatif muda – pertengahan empat puluhan.

Cerita ini bukan untuk menakut-nakutkan sesiapa tetapi sebagai iktibar kepada yang rajin membaca. Bukan untuk menuduh yang bukan-bukan tentang diri semua kenalan yang menjadi bahan cerita saya ini, tetapi cerita dan pengalaman mereka itu mengajar kita supaya menjaga kesihatan diri kita pada setiap ketika dan keadaan, menghargai nikmat yang diberikan Allah SWT, dan sentiasa bersikap rasional dalam hal-hal yang berkait dengan amalan pemakanan kita. Kita diajar supaya makan tatkala lapar dan berhenti makan sebelum kenyang. Awasi sikap kita sekarang supaya usia tua kita tidak terbazir oleh penyakit.

6 comments:

  1. Salam,
    Walaupun Abang Zul kata bukan nak menakut-nakutkan, tapi saya ngeri sungguh baca catatan ni. Mata aset penting (sama seperti pancaindera lain) tetapi sikap kita suka ambil mudah... Tapi tak dinafikan, ada yang prihatin dengan kesihatan sendiri, namun apabila Allah hendak uji, tetap kita tak dapat mengelak. Semoga sahabat Abang Zul tabah berdepan ujian.

    ReplyDelete
  2. Salam, Ina;
    Allah SWT akan menguji keimanan kita dengan pelbagai cara. Sakit dan penyakit adalah salah satu bentuk ujian yang lazim. Namun, kita perlu berawas kerana sesetengah penyakit dapat kita elakkan dengan mengamalkan nasihat Rasulullah SAW.

    Semoga awak dan saya dan sesiapa sahaja terus diberi nikmat dan kita menjadi orang yang sentiasa menghargai nikmat itu. (Baru kena blisters di lidah, dah hilang nikmat makan. Fikirkanlah itu.)

    ReplyDelete
  3. Semua penyakit yang dialami manusia merupakan ujian Allah; namun kita wajar berikhtiar menjaga kesihatan dan mengamalkan gaya pemakanan yang dianjurkan dalam sunnah Nabi.

    ReplyDelete
  4. Salam, Prof.
    Sangat benar kata Prof dan setelah usia menginjak setengah abad, baru saya sedar bahawa anjuran Rasulullah SAW tentang makanan dan pemakanan kurang diberi perhatian.

    ReplyDelete
  5. Salam, tuan. Catatan tuan ini mengingatkan saya kepada takdir yang tertulis untuk abah kami. Abah adalah pesakit buah pinggang yang telah menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang (hadiah dari atuk) pada tahun 1986 dahulu. Sejak dari tarikh penerimaan buah pinggang baru, abah diwajibkan mengambil ubat penyesuaian buah pinggang sepanjang hayatnya. Pada tahun 2003, ubat itu menunjukkan kesannya. Abah mengalami sakit mata (mata menjadi merah - penyakit yang tidak pernah dihidapinya selama 20 tahun sebelum itu). Dalam masa 2 minggu sahaja, penglihatan abah menjadi kabur dan selepas 2 minggu abah hilang keupayaan melihat. Gelap segelap-gelapnya! Sehinggalah ke hari ini, usia abah sudah 64 tahun dan sudah hampir 7 tahun abah kami buta. Sudah puas kami membawa abah merawat mata. Akhirnya abah redha dan akur dengan takdir yang tertulis untuknya. Sebagai panduan kepada semua di luar sana, bersyukurlah dengan segala pemberianNya sementara ada. Insya-Allah...

    ReplyDelete
  6. Salam, Cikgu Marni;
    Saya sangat bersimpati dengan nasib yang menimpa abah Cikgu itu. Alhamdulillah, beliau kuat mendepani ujian Allah itu sehingga akhirnya merdhoinya.

    Walaupun diri kita ini tidak mengalami ujian itu, tetapi melalui kejadian yang saya lihat dengan mata kepala sendiri (seperti imam yang saya ceritakan itu), saya sangat insaf bahawa semua nikmat yang kita peroleh hanyalah suatu bentuk pinjaman dan sangat perlu kita syukuri dan kita hargai. Seperti kata Cikgu, "bersyukurlah dengan segala pemberianNya sementara ada".

    ReplyDelete