Monday, June 21, 2010

Piala Dunia Edisi 2010: Penangannya

Kalau anda pengikut dan penggemar bola sepak, pastilah sekarang anda menjadi sebahagian daripada pelangut di hadapan televisyen untuk menonton siaran langsung atau siaran tertunda atau lintasan menarik yang melibatkan pasukan kegemaran anda yang pada masa ini sedang berentap dalam Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia Edisi 2010 ini. Atau mungkin juga anda tiba-tiba menjadi kaki langut di restoran-restoran mamak untuk menonton semua bentuk siaran itu bersama-sama dengan rakan dan jiran tetangga.

Untuk pertama kali, saya tidak mempunyai satu pasukan kegemaran pun untuk disokong, tetapi buat pertama kali pula saya menaruh harapan kepada pasukan Asia (kecuali Australia) dan Afrika untuk memalukan pasukan-pasukan dari benua lain. Entah mengapa, tiba-tiba saya begitu seronok apabila Korea Selatan dapat mengalahkan Greece, Ghana dapat mengalahkan Serbia, dan Algeria dapat mengikat England. Kini saya berharap agar Afrika Selatan dapat mengalahkan Perancis, Algeria dapat mengalahkan AS, dan Korea Utara dapat mengalahkan Portugal.

Saya juga begitu seronok dengan kedudukan semasa. Perancis, England, Jerman, dan Itali berada dalam kedudukan tidak menentu. Pasukan itu sedang berdepan dengan kemungkinan untuk tersingkir daripada peringkat kalah mati. Kalau hal ini berlaku, keseronokan itu akan berganda-ganda walaupun ada orang berkata ketiadaan empat buah pasukan itu akan mengurangkan kemeriahan Piala Dunia.

Saya tidak pasti sama ada saya ini tergolong sebagai patriotik ataupun sebaliknya tergolong sebagai “emosional”, tetapi saya kurang cenderung untuk menyokong pasukan yang pernah menjajah negara saya – Belanda, Portugal, England, dan Jepun (kebetulannya semuanya layak bermain pada edisi kali ini). Saya mungkin menyukai corak permainan pasukan-pasukan itu dan saya berkemungkinan menyukai beberapa orang pemainnya, tetapi saya tidak kisah kalau mereka kalah, malah saya tidak mahu mereka menang pun apatah lagi menjadi juara dunia!

Oleh sebab kebanyakan rakyat negara ini sedang betul-betul menumpukan perhatian terhadap Piala Dunia, ada antara mereka yang mengabaikan perkembangan sukan tanah air. Mereka sampai tidak tahu negeri manakah yang menjadi juara SUKMA di Melaka baru-baru ini. Mereka juga tidak sedar bahawa dalam Kejohanan Badminton Terbuka Singapura yang berlangsung dari 15 Jun 2010-20 Jun 2010 lalu, tidak ada seorang pemain negara pun yang melepasi peringkat suku akhir. Lee Chong Wei kalah di tangan Soni Dwi Kuncoro pada peringkat suku akhir. Wong Mew Choo kalah teruk di tangan Saina Nehwal di pusingan pertama. Koo Kean Keat dan Tan Boon Heong kalah di pusingan kedua, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah pula kalah di pusingan pertama.

Saya menonton siaran langsung Piala Dunia lewat stesen berbayar ASTRO. Seperti tidak ada pilihan lain, saya terpaksa menontonnya di stesen itu. Saya berasa agak hairan, stesen TV yang kaya seperti TV3 serta yang sepayung dengannya seperti NTV7 dan TV9 tidak mendapat hak untuk menyiarkan siaran langsung Piala Dunia ini.

Yang anehnya ialah, ASTRO dan penajanya, seperti memperlekeh kewibawaan bekas pemain tempatan untuk menganalisis dan mengulas setiap perlawanan. Mereka tergamak untuk mengundang bekas pemain dari negara luar yang pernah membuang najis ke muka kita untuk menjadi penganalisis dan pengulas permainan. Walhal, dalam promosi mereka, pemain seperti Datuk Soh Chin Aun, James Wong, Hassan Sani, dan Santokh Singh diketengahkan mereka sebagai wira, tetapi apabila tiba dalam perlawanan sebenarnya, mereka langsung tidak diundang untuk menganalisis dan mengulas sesuatu perlawanan itu.

Saya fikir, masih banyak antara kita yang masih ingat pengulas dan penganalisis yang bernama Abbas Saad yang diundang oleh ASTRO itu. Orang ini adalah antara orang yang terlibat dalam aktiviti mengatur perlawanan dalam Liga Malaysia pada tahun 1990-an dahulu sehingga beliau diharamkan bermain bola sepak di rantau ini. Tony Cottee pula merupakan orang yang pernah melarikan diri daripada pasukan Selangor selain mencela dan memperlekeh budaya dan amalan beragama di negeri Selangor.

Mengapakah stesen TV berbayar itu tidak peka akan hal ini? Serbegeth Singh tidak layakkah berbanding dengan Abbas Saad itu? Datuk Soh Chin Aun “koman” sangatkah berbanding dengan Tony Cottee itu? Dan, tidak bolehkah bahasa Melayu digunakan untuk mengulas dan menganalisis sesuatu perlawanan? Tidak cukup dengan satu saluran sahaja!

Kerana banyak orang yang sedang “demam” sekarang, maka mereka pun makan sahajalah apa-apa yang disodorkan kepada mereka walhal apa-apa yang disodorkan itu pernah meninggalkan kesan sampingan kepada mereka!

No comments:

Post a Comment