Friday, June 4, 2010

Makin Lama Makin Banyak yang Aneh

Keanehan-keanehan yang berputar-putar di persekitaran kita sekarang ini mahu sahaja rasanya saya abaikan. Biarlah, kalau ditegur dan diulas pun, bukannya meninggalkan kesan apa-apa. Tetapi, ada rasa bersalah pula apabila keinginan itu dikuburkan di dalam hati. Apatah lagi sesetengah keanehan itu menjadi bahan tawa pihak lain sehingga memalukan kita dan yang lebih penting keanehan itu mengenai batang hidung bangsa kita.

Saya berasa aneh apabila pihak polis (melalui Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman) melarang orang-orang di sekitar KL yang hendak menunjukkan perasaan (marah, benci, meluat, dsb) mereka terhadap kerajaan haram Yahudi selepas solat Jumaat hari ini. Mengapa begitu, ya? Mereka bukan hendak mengutuk kerajaan sendiri tetapi mengutuk puak yang memang diketahui jahat, puak yang menyerang konvoi kemanusiaan, puak yang dilaknat Allah SWT. Mujurlah, tunjuk perasaan itu berlangsung juga. Puluhan ribu orang menyertainya.

Keanehan yang tidak kurang membuat orang tersenyum kambing ialah kes Saiful-Anwar yang sedang dibicarakan sekarang. Oleh sebab hal ini sedang dibicarakan, tidak perlulah hal ini diceritakan dalam siaran ini. Kalau berkenan, ikutilah pendedahannya di pelbagai sumber lain.

Keanehan yang lain ialah cadangan hendak memperuntukkan bahagian sebanyak 40% kepada bukan bumiputera dalam pembangunan semula Kampung Baru di Kuala Lumpur. Hal ini menjadi aneh kerana pada suatu ketika, mereka begitu marah kepada kerajaan yang memerintah Perak suatu ketika dahulu kerana memberikan hak milik tanah kepada orang bukan bumiputera. Tetapi, sekarang mereka hendak melakukan perkara yang lebih kurang sama pula!

Inilah masalahnya kalau orang yang tidak dipilih rakyat dalam pilihan raya dilantik sebagai orang yang berkuasa dalam kerajaan. Banyak hal aneh yang diperlihatkan mereka. Orang yang mengatakan negara akan muflis sehingga mewajarkan penarikan subsidi untuk rakyat (aneh, kan?) pun bukan dipilih rakyat dalam pilihan raya. Orang yang mengumumkan kerajaan hendak meluluskan lesen judi (dan akhirnya menjadi kenyataan) pun bukan dipilih dalam pilihan raya.

Seperti yang saya nyatakan dalam siaran yang lalu, cadangan PAS hendak menubuhkan sayap yang membolehkan orang bukan Islam mewakili PAS dalam pilihan raya pun suatu keanehan juga. Cadangan Dato’ Seri Anwar Ibrahim hendak melantik TPM Kedua pun pelik dan aneh juga. Entah mengapa kita seperti hendak mengecilkan kuasa kita tatkala pihak lain tidak memberi kita peluang untuk membesarkan kekuasaan kita!

Jadi, sebenarnya sekarang kita sedang dikelilingi oleh keanehan. Orang Melayu yang berkuasa (tidak kira di pihak mana-mana pun), hendak dan sedang melucutkan dan mengecilkan kekuasaan Melayu.

Cuba-cubalah kita mengalihkan pandangan kita ke seberang Selat Teberau itu – banyak manakah peluang yang diberikan kepada orang Melayu di negara yang dikuasai oleh orang bukan Melayu itu? Adakah diberinya orang Melayu peluang sebagai TPM Kedua?

Mungkin ada pihak yang berkata, kita tidak boleh berprasangka bahawa bangsa yang sama (dengan bangsa yang menguasai negara di seberang Selat Teberau itu) akan melakukan perkara yang sama kepada kita kalau mereka menguasai tampuk pemerintahan di negara ini. Walaupun banyak antara kita yang kurang pasti tentang hal ini, tetapi tidak mungkinkah mereka akan melakukan hal yang demikian? Bukankah usaha pihak komunis yang didominasi bangsa mereka dahulu memang berhajat hendak menguasai negara ini?

Saya bukan hendak menghasut sesiapa supaya membenci mereka (malah saya sendiri pun tidak membenci mereka), tetapi saya hendak menyedarkan semua pihak yang berbangsa Melayu agar mempertahankan dan memelihara hak kita kerana kalau satu hari nanti wang menjadi penentu untuk merampas negara ini, kita tidak mampu untuk mempertahankannya!

3 comments:

  1. Salam, tuan. Pemimpin kita memang sukakan sesuatu yang aneh supaya muda diingati oleh rakyat. Tidak kira sama ada yang aneh itu memudaratkan diri sendiri.

    ReplyDelete
  2. Dalam akhbar di talian hari ini, menteri yang bukan pilihan rakyat itu berkata kononnya tidak ada niat kerajaan hendak menjual tanah Kg. Baharu kepada orang bukan Melayu! Pelik sekali bunyinya; kerana kalau tidak ada niat begitu, bagaimana timbul isu kuota 60:40 dalam pemilikan tanah di situ? Adakah penyataannya itu kesan dia belajar matematik dalam bahasa asing? Atau sebabnya bercakap sebelum berfikir? Rosak negara jika banyak pemimpin yang bercakap sebelum berfikir.

    ReplyDelete
  3. Salam, Cikgu Marni,
    Ya, memang keanehan itu senang diingati orang, dibenci orang, dan dilaknat orang. Malangnya, walaupun mereka melakukan keanehan yang serupa itu, mereka tetap menjadi pilihan. Tengoklah yang kahwin ikut pintu belakang itu. Walaupun mengaibkan, apakah tindakan ketua mereka? Aib!

    Salam, Prof,
    Dia dah banyak kali salah hitung. Agaknya hendak minta bantuan anak cucu, anak cucu tak dapat bantu sebab tak belajar Matematik dalam BM. Dulu, semasa demo pemansuhan PPSMI, dia berkata peniaga di KL rugi ratusan juta RM. Ya,Allah. Apalah punya orang.

    ReplyDelete