Monday, August 16, 2010

Buang Bayi Bukan Kes tetapi Fenomena

Pembuangan bayi bukan lagi suatu kes, tetapi suatu fenomena. Pembuangan bayi bukan seperti suatu kezaliman tetapi suatu keseronokan, kepada Manusia-Iblis itu. Fenomena, lazimnya sukar atau tidak dapat untuk dikawal.

Siapakah lagi Manusia-Iblis pembuang bayi itu kalau bukan penzina? Siapakah lagi pembuang bayi itu kalau bukan Gadis-Iblis atau Wanita-Iblis yang terlanjur serta Lelaki-Iblis yang membuntingkan Gadis-Iblis atau Wanita-Iblis itu! Lelaki sepatutnya melindungi gadis dan wanita daripada menjadi mangsa nafsu, daripada menjadi iblis, tetapi si lelaki telah memilih untuk mengibliskan gadis dan wanita itu, yang kemudiannya menjadi iblis seperti mereka!

Sekarang bulan Ogos. Percayalah, fenomena ini akan berterusan hingga bulan September, Oktober, November, dan mungkin Disember! Mengapakah demikian?

“Pesta buang bayi” ini bertitik tolak daripada peristiwa (event), yang dianggap sebagai istimewa oleh para penzina. Mungkin peristiwa bersempena dengan hari lahir salah seorang daripada mereka. Mahkota kekasih menjadi hadiah paling berharga bersempena dengan peristiwa itu.

Mungkin juga “pesta” itu bertitik tolak daripada cuti semester akhir persekolahan, iaitu bulan November tahun lalu. Barangkali ada kalangan pelajar yang ber“cinta monyet” di sekolah telah menjadikan cuti semester akhir persekolahan sebagai pertemuan terakhir mereka. Lalu, ada yang “meminta sedekah” berupa habuan seks dan pihak yang mudah tergoda bersedia untuk “menyedekahkan” mahkota peliharaan mereka. Lantas, si gadis termengandung.

Oleh sebab dalam bulan Ogos sahaja sudah beberapa orang bayi dibuang ­– ada yang mati dan ada yang masih bernyawa hal ini tidak dapat kita sangkal.

Cuba kita hitung bersama-sama. Oktober/November 2009 buat kerja – mengandung. Masuk bulan kedua – Disember 2009, Januari, Februari, Mac, April, Mei, Jun, Julai, dan Ogos. Berapa bulan jumlahnya? Sembilan bulan (lebih)! Inilah waktunya (bulannya) mereka melahirkan bayi.

Mungkin hal ini satu andaian, tetapi seperti yang saya katakan, sukar kita sangkal. (Mujur tahun lalu tiada Pesta Kemerdekaan kerana menghormati Ramadan. Jika tidak, “pesta buang bayi” ini sudah berlaku lebih awal lagi.)

Bulan September akan datang, fenomena ini mungkin berterusan kerana peristiwa cuti persekolahan tahun 2009 berlarutan hingga bulan Disember.

Kemudian, awal Januari 2010, suatu peristiwa besar berlangsung – sambutan Tahun Baharu 2010. Anda boleh mengagak – pesta Tahun Baharu Masihi disambut dengan pelbagai acara. Para pengamal seks bebas berpesta sakan. Jadi, kalau si gadis yang menjadi mangsa pesta seks bebas ini mengandung sembilan bulan (lebih kurang), bayi itu bakal dilahirkan pada bulan Oktober.

Kemudian, pertengahan Februari ada satu lagi peristiwa penting – Valentine’s Day atau diwara-warakan sebagai Hari Kekasih. Hari Kekasih bukan lagi setakat menyerahkan bunga tanda cinta dan kasih, tetapi sudah sampai ke tahap menyerahkan mahkota kegadisan. Apabila hal ini berlaku, akan ada yang mengandung dan kemudiannya akan kita dapati bahawa bulan November akan datang fenomena ini (buang bayi) akan berlaku lagi.

Susah hendak percaya, tetapi peristiwa (event) tertentu memang menjadi titik tolak berlakunya fenomena yang lebih buruk daripada perbuatan masyarakat Arab Jahiliah dahulu.

Sudah-sudahlah berpesta. Sudah-sudahlah memberikan permit pub dan kelab dan sebagainya. Saya bimbang, Karnival Jom Heboh yang selalunya diikuti oleh konsert pada malam hari itu pun menjadi penyumbang fenomena ini.

NOTA

Satu mayat bayi perempuan yang cukup sifat ditemukan di tebing sungai berhampiran dengan asrama Kolej SEGI, di Jalan Teknologi, Kota Damansara, PJU 5, Petaling Jaya, Selangor. Najis terkeluar dari bayi itu, mungkin kerana jatuh terhentak di tebing itu. Di manakah hati pembunuh bayi itu?

Ya Allah, manusia sudah miskin kasih sayang, ya Allah. Manusia sudah pupus segan, ya Allah. Aku takut, hukuman-Mu ke atas mereka akan mengenai kami jua Allah! Ampunilah kami, ya Allah!

4 comments:

  1. salam ramadhan sdrku zul
    membaca tulisanmu yang ini...
    andaianmu ada kebenaran...
    baru-baru ini aku menulis puisi 'Ibu Yang Agung'
    yang membicarakan perkara yang sama...fenomina buang bayi..
    tapi tulisanmu menjelaskan sebab-musabab yang padaku sangat logik untuk difikirkan bersama...

    ReplyDelete
  2. Salam Ramadhan jua, Sdrku Faziz;
    Pihak pemerintah sedang mencuba untuk melaksanakan hukuman ke atas pelaku buang bayi - BUNUH atau PERCUBAAN MEMBUNUH. Mereka tidak memikirkan punca mereka membuang bayi - bermula dengan hubungan luar nikah yang bertitik tolak daripada event-event yang saya katakan itu.

    Sajak-sajak Sdr yang dekat dengan masyarakat itu telah dan akan terus saya baca. Teruskan berkarya.

    ReplyDelete
  3. Salam Sdra. Zul.
    Saya bersetuju dengan kupasan saudara.
    Kalangan pemimpin kita banyak yang memikirkan apa yang perlu dibuat untuk menangani gejala yang makin membarah itu. Lantas berbagai-bagai jalan diusulkan, pusat penjagaan bayi yang dilahirkan hasil zina, kemudiannya digagaskan pula sekolah untuk pelajar-pelajar yang hamil akibat perbuatan zina. Malang lagi istilah zina makin dikesampingkan, digunakan pula istilah zumbang mahram, hubungan terlarang, hubungan luar nikah dan seumpamanya yang muluk-muluk. Akibatnya zina itu dipandang biasa-biasa saja oleh masyarakat, walhal agama amat mengharamkan perbuatan itu.
    Memang amat mengecewakan, apabila punca-punca yang menjerumuskan kepada kativiti zina itu dikesampingkan, sebaliknya kalangan berwajib sibuk mahu membantu mengatasi dengan mengemukakan pelbagai idea dan jalan.
    Malang lagi yang bercakap juga kurang merujuk kepada para ulama...Ulama pula tidak mahu kehadapan dalam memberikan jalan yang terbaik yang digariskan oleh agama kita untuk panduan pemimpin.

    ReplyDelete
  4. Salam, Sdr Mendewa;
    Kebanyakan idea Sang Penguasa bukan mencegah tetapi mengubati. Inilah masalah pokoknya. Sekarang pembuang bayi akan disabitkan kesalahan jenayah - membunuh (kalau mati) atau cubaan membunuh (kalau tidak mati) - tindakan ini ubat. Bagaimanakah hendak mencegah puncanya? Bagaimanakah hukuman terhadap para pelaku zina (yang seperti saudara katakan dimuluk-mulukkan dengan istilah "sumbang mahram", "hubungan terlarang", "hubungan luar nikah", dan seumpamanya itu)?

    Menjadi ibu bapa sekarang sesuatu yang menggerunkan!

    ReplyDelete