Tuesday, August 24, 2010

Menginsafi Pengalaman Silam

Di panggung wayang, suatu waktu dulu, dalam bulan Ramadan. Sebelum masuk panggung, seorang Melayu (selalunya Melayu itu Islam) membeli minuman dalam tin (penulis menyangkakan Coke atau minuman bergas yang lain) dan sedikit makanan remeh.

Ada rasa jengkel di dalam hati penulis terhadap perlakuan lelaki itu, tetapi penulis bersangka baik – mungkin dia penghidap gastrik tahap “gila” yang memerlukan dia makan dan minum.

Di dalam panggung, kebetulan lelaki itu duduk di hadapan penulis. Penulis berada di belakangnya, ke kiri sedikit (apabila dikenang, alangkah jahilnya penulis. Ramadan pun mahu nonton). Beberapa detik, panggung digelapkan. Promosi filem akan datang dan iklan pun bersilih ganti di layar putih.

Tidak lama kemudian, filem yang hendak ditonton belayar di layar putih. Lelaki yang penulis lihat di luar tadi memulakan aksinya. Dia menunduk dan seketika kemudian terdengar akan bunyi desis, tanda air minuman dalam tin dibuka. Penulis mulanya tidak hairan kerana sudah tahu bahawa dia ada membeli air sebentar tadi. Tetapi, beberapa detik berlalu, desis yang keluar mengeluarkan bau yang tidak disangka-sangka, bau kencing syaitan – beer.

Penulis benar-benar terkejut. Penulis benar-benar rasa terkilan sehingga hati penulis bermadah, sudahlah engkau berbuka awal, tidak puasa, bahan yang menjadi juadah engkau berbuka pula kencing syaitan! Alangkah biadabnya! Sangka baik yang awal tadi tidak wajar langsung.

Yang hendak penulis sorot daripada peristiwa itu bukan perlakuan lelaki itu sahaja, tetapi yang lebih besar ialah kebaculan penulis sendiri. Penulis tahu perbuatan lelaki itu menyongsang agama, penulis tahu bahawa perbuatannya buruk tetapi penulis langsung tidak berusaha untuk menegurnya.

Memang di dalam hati penulis, kebencian terhadap diri dan perbuatan lelaki itu bersarang. Tetapi cukupkah dengan kebencian sahaja walhal rasa benci yang hanya bersarang di dalam hati penulis itu berstatus iman yang paling lemah?

Bukankah setiap orang bertanggungjawab untuk membetulkan kemungkaran? Mengapakah penulis lari daripada tanggungjawab yang wajib itu? Barangkali, kalau penulis menegurnya waktu itu, lelaki itu sedikit banyak akan insaf. Barangkali juga dia akan melenting. Tidak mengapa asal tanggungjawab sudah dilunaskan.

Malangnya, penulis tidak menunaikan kewajiban itu dan sekarang penulis kesal. Untuk menghilangkan rasa kesal, penulis berdoa agar Allah SWT telah pun mengurniai lelaki itu hidayah-Nya dan mengampunkan dosa-dosanya kerana barangkali dia jahil waktu itu.

Tetapi, adakah Allah akan mengampunkan kesilapan yang penulis lakukan pada tahun 80-an itu? Ya Allah, ampunilah penulis. Ampunilah kelemahan penulis, ya Allah.

Dan sekarang, penulis tidak pernah masuk panggung pada bulan puasa. Penulis tidak mahu bersubahat kerana penulis yakin bahawa hal yang sama tentu masih berulang. Walaupun barangkali tidak ada yang sampai meneguk kencing syaitan seperti lelaki itu, tetapi yang mengambil kesempatan untuk melampiaskan nafsu makan dan minum dalam bulan puasa di dalam panggung pasti ada.

No comments:

Post a Comment