Thursday, August 12, 2010

Solat Berjemaah: Sebenarnya Kita Tiada Pilihan

Ada seorang rakan sepejabat berkata kepada saya, dia kurang menyukai perangai sebilangan orang yang rajin berjemaah di surau atau masjid (yang beliau namakan sebagai “orang surau”). “Orang surau” ini, kata kawan itu, seperti memandang rendah atau kurang mesra terhadap dirinya. Hal ini berlaku demikian, kata kawan sepejabat saya lagi itu, kerana dia jarang-jarang pergi berjemaah ke surau. Hal ini bukan sahaja berlaku di tempat dia menghuni sekarang, katanya lagi, tetapi pernah juga menimpa dirinya semasa dia menghuni kawasan perumahan sebelumnya.

Saya langsung tidak bersimpati terhadap beliau. Hal ini berlaku demikian kerana saya tahu bahawa beliau salah sangka, salah anggap. Saya, sebagai seorang yang pernah menjadi “orang surau” (meminjam kata beliau), tahu bahawa beliau telah tersilap. Sesungguhnya memang ada suara-suara sekerat dua “orang surau” yang menyarankan orang yang liat berjemaah di surau dipulaukan. Selalunya suara itu keluar daripada mulut “orang surau” peringkat bawahan. “Orang surau” peringkat bawahan itu, maksud saya, ialah “orang surau” yang cetek pengetahuan, bercakap mendahulukan emosi dan nafsu daripada akal yang waras dan rasional.

“Kita jangan pergi menghadiri apa-apa majlis yang dianjurkan mereka,” kata suara-suara sumbang itu. “Kalau mereka menghendaki air, tentulah mereka perlu pergi ke kolam atau sungai.” Salah seorang daripada pencadang itu beranalogi. “Maksud saya,” kata pencadang itu, “kalau surau ini air, mereka perlu datang ke sini untuk mendapatkannya”.

Pengerusi kami hendak bercakap, tetapi saya lebih dahulu bersuara, “Kita perlu berusaha untuk memujuk mereka. Kita tidak boleh terus menghukum tanpa mendekati mereka lebih dahulu”.

“Azan itu bukankah pujukan, bukankah pelawaan? Tidak cukupkah? Tak kan mereka tak faham?” Demikian si pencadang membalas, beremosi.

“Saudara,” kata saya, “marilah kita melihat ke dalam diri kita. Adakah azan yang kita kumandangkan dari surau itu berjaya memujuk seluruh ahli keluarga kita? Tidak, bukan! Yang berlaku, yang saya nampak, azan kita hanya berjaya menarik kedatangan kita sedangkan anak-anak kita, malah bapa dan adik kita masih enggan menyertai kita. Jadi, itulah juga yang berlaku kepada orang-orang seperti ini. Mereka masih belum dihidayahi Allah. Azan tidak mengisi jiwa mereka yang kosong. Berilah mereka peluang. Kita hadiri kenduri-kendara mereka dan dalam ucapan alu-aluan kita, kita tarbiahi mereka,” kata saya.

Pencadang itu termangu. Orang lain yang turut mendengar pun terdiam.

Mujur kami mempunyai pengerusi yang berfikiran terbuka. Beliau tidak endah akan saranan itu dan tetap mengajak ahli jemaah pergi menghadiri majlis kenduri yang dianjurkan oleh orang yang jarang-jarang datang ke surau. Dan dalam ucapan penghargaan kepada penganjur, beliau akan berucap dengan penuh diplomasi sambil mempelawa penganjur yang jarang-jarang ke surau itu sama-sama bermasyarakat dengan cara mengimarahkan surau. Malah, kadang-kadang beliau bercakap secara peribadi dengan tuan rumah yang menjadi penganjur. Daripada perbualan itu, barulah kadang-kadang kami ketahui bahawa ada orang yang jarang-jarang ke surau itu sesetengahnya bekerja ikut syif atau selalu pulang lewat dan hanya sempat bersolat di hentian rehat di tepi lebuh raya!

Seorang rakan setaman pernah berkata hal yang sama dengan yang diungkapkan oleh bekas teman sepejabat saya itu. Peristiwa ini berlaku lama dahulu, jauh lebih awal daripada saya mendengar kata kawan sepejabat ini.

“Kawan-kawan surau engkau pandang semacam je kat aku. Mentang-mentang aku jarang-jarang ke surau,” kata rakan setaman saya itu. Saya diam kerana saya sangat tahu bahawa yang berlaku ialah hanya beliau yang berperasaan begitu. Beliau yang “terasa” dan “malu-malu alah” kerana merasakan dirinya bukan sebahagian daripada ahli tegar surau kami.

Ternyata tanggapan saya betul. Selepas lebih sepuluh tahun, sekarang beliau bukan “orang surau” sembarangan. Sekarang beliau imam kami merangkap pengerusi surau kami. Baru-baru ini, beliau mengungkitkan hal yang sama.

Beliau berkata, “Ada orang taman kita ini yang beranggapan bahawa kami “orang surau” pandang serong dan tidak melayan orang yang jarang-jarang ke surau. Yang betulnya, kami langsung tidak bersikap demikian. Kami layan semua orang. Cuma, mungkin mereka yang terasa sendiri. Mereka yang malu-malu alah.”

Sama seperti dahulu, saya diam tatkala mendengar kata-kata beliau itu. Saya segera teringat akan salah tanggapan yang diluahkannya kepada saya dahulu. Saya yakin, yang diperkatakannya sekarang adalah berasas pada salah tanggapannya dahulu.

Kepada teman sepejabat itu, suka saya ingatkan, bahawa kamu telah salah anggap. Kamu silap. Pelawaan kawan kamu yang menjadi “orang surau” itu supaya kamu berjemaah solat Isyak dan solat sunat tarawih pada sepanjang Ramadan itu wajar kamu sambut dengan dada yang lapang.

Hayatilah dua potong sabda Rasulullah SAW yang berikut:

Demi zat yang diriku di tangan-Nya, aku ingin menghimpunkan kayu api, lalu kusuruh seseorang mengumandangkan azan solat, dan kusuruh pula imam memimpin solat berjemaah, dan kudatangi mereka yang tidak bersolat jemaah, kubakar mereka bersama dengan rumah-rumahnya!”

(Hadis riwayat Bukhari-Muslim)

“‘Sesiapa yang mendengar seruan azan tetapi tidak memenuhinya tanpa sebarang keuzuran, maka solat yang dikerjakannya tidak akan diterima.’ Para sahabat bertanya: ‘Apakah keuzurannya?’ Jawab Rasulullah SAW: ‘Ketakutan atau sakit.’”

(Hadis riwayat Abu Daud, Ibnu Hibban, Ibnu Majah)

Jadi, wahai sahabatku, fikir-fikirkanlah. Barangkali pelawaan kawan kamu itu timbul kerana beliau menyedari kewujudan hadis-hadis yang berkait dengan solat manakala kamu hanya mengetahui hadis memang wujud tetapi tidak pernah menyemaknya. Sebenarnya kewajiban bersolat jemaah sangat jelas dan kita (orang lelaki) tiada pilihan lain selain daripada berjemaah.

No comments:

Post a Comment