Thursday, August 5, 2010

Jangan Sengaja Mencari Dosa Kering

Ada orang yang gelak-gelak dan ada yang bernada sinis tatkala bercakap tentang peristiwa itu. Lucu pada mereka, misteri pada segelintir yang lain, walhal di rumah orang yang mencipta peristiwa itu, ahli keluarganya sedang menyejukkan hati masing-masing – sesama mereka, sesama sanak-saudara. Mungkin ada kalangan dansanak yang masih bengkak mata mereka.

Orang yang mencipta peristiwa itu dapatlah dikatakan sebagai telah mencetuskan andaian dan persepsi. Kebetulan orang kita memang suka cerita-cerita seperti ini. Kerana suka, maka muncullah para “pakar” dan para “wartawan”, yang tidak tahu mana hujung mana pangkal, mana betul mana fitnah, menyampaikan persepsi dan andaian masing-masing.

Peristiwa itu terjadi dengan kehendak-Nya. Masa dan tempat telah dipilih-Nya. Kemudian kun, kata-Nya lalu fayakun pun mengikutinya. Sebab tercetus peristiwa itu menjadi rahsia orang yang terlibat dan dirahsiakan Allah. Maka, eloklah kita menutup mulut. Menutup mulut dalam hal ini bukan bermakna kita menyembunyikannya tetapi mengelakkannya daripada fitnah.

Kalau masih juga hendak membuat persepsi, kalau masih juga hendak menebak, buatlah di dalam hati. Kemudian beristighfar. Jangan diluahkan kepada sesiapa pun, takut menjadi fitnah. Seelok-eloknya, bacalah al-Fatihah, sedekahkan kepada roh orang yang terlibat di samping mendoakan kesejahteraan mereka. Sengaja mengutip dosa kering buat apa?

Lagipun, pihak berkuasa sedang menyiasat. Mereka itu kita yang menggajikannya. Biarlah mereka bekerja. Jangan menyibuk! Sebagai orang yang digajikan, mereka akan memaklumkannya kepada kita. Tunggulah sahaja. Tidak lama, seminggu sahaja lagi.

2 comments:

  1. Salam, tuan.
    Syaitan memang suka mencari ruang menghasut kita. Semoga Allah melindungi kita daripada syaitan yang direjam.

    ReplyDelete
  2. Salam, Cikgu;
    Amin, ya Allah! Saya terpanggil untuk menyentuh hal ini kerana ada orang yang menghukumkan sesuatu yang janggal seperti itu sebagai suatu kejahatan lalu memburuk-burukkan orang yang terlibat walhal Allah yang memiliki Rahmat serta bersifat Rahman dan dan Rahim lebih mengetahui di manakah Dia hendak meletakkan hamba-hamba-Nya.

    Seperti kata Cikgu, semoga Allah melindungi kita daripada syaitan yang direjam. Amin, sekali lagi.

    ReplyDelete