Tuesday, May 31, 2011

Kenaikan Tarif Elektrik: Rasionalisasi yang Tidak Rasional

Di Malaysia ini, harga barang tampaknya sama sifatnya dengan umur kita – terus naik dan naik, tidak akan turun-turun! Usaha perasionalisasian harga barang tampaknya lebih menjurus kepada kenaikan bukan penurunan ataupun setidak-tidaknya ketetapan. Tampaknya, tiada kaedah yang rasional untuk menurunkan atau menetapkan harga, tarif, dan sebagainya. Yang ada ialah kenaikan harga barang mengikut rasional mereka.

Seperti selalu, apabila ada sesuatu kenaikan, mereka akan berhujah bahawa kenaikan itu tidak akan menjejaskan pihak yang itu atau yang ini. Atau, kalau mengikut kaedah tidak cerdik mereka, mereka akan membandingkan harga barangan yang dinaikkan dengan harga di negara di seberang sempadan Malaysia. Harga gula di negara ini masih murah berbanding dengan harga di Indonesia yang dijual pada harga RM3.80 sekg, misalnya.

Samalah dengan kenaikan tarif elektrik di bawah selenggaraan TNB yang akan/telah berkuat kuasa sekarang. Pihak yang berkenaan berkata bahawa, kenaikan tarif sebanyak 7.12% (2.23 sen) itu hanya melibatkan 25% pengguna domestik sahaja (1.52 juta). Selebihnya (75% atau 4.4 juta pengguna) tidak terlibat dengan kenaikan itu. Masuk akal ke?

Siapakah yang 25% yang dikatakan terlibat itu? Pak-Pak Menteri bukan kerana mereka dapat bekalan elektrik percuma, rasa saya. Kalau saya tidak salah, kebanyakan pengusaha dalam sektor perindustrian (perkilangan) akan merasai keperitan kenaikan tarif itu. Bedanya ialah, kalau kita rakyat yang menderitai keperitan itu, mahu tidak mahu kita perlu melaluinya. Kalau kita tidak mampu, kita duduklah dalam gelap.

Sebaliknya, pihak pengilang dapat mengalihkan keperitan itu dengan mencari mangsa yang sesuai. Siapakah mangsa itu kalau bukan kita? Kerana kenaikan tarif itu akan meningkatkan kos elektrik mereka (kerana kadar penggunaan elektrik mereka bukan di bawah 300 kilowatt sejam atau di bawah RM20.00 sebulan, atau di bawah RM77 sebulan). Kadar yang digunakan mereka sangat tinggi!

Jadi, dengan kenaikan tarif elektrik yang melibatkan mereka itu, adakah mereka akan bermurah hati untuk tidak menaikkan harga produk mereka walaupun kos operasi mereka meningkat 7.12%? Kerana mereka belum dan tidak gila, mereka pasti akan menaikkan harga apa-apa sahaja produk mereka?

Maka, kalau kenaikan harga produk berlaku, benarkah yang 75% itu tadi tidak terlibat dengan kenaikan tarif itu?

Orang gila pun tahu jawabannya.

CATATAN

Tarif baharu ini akan dikenakan kepada pengguna domestik mulai 1 Jun 2011.

Pengguna elektrik domestik berjumlah 5.92 juta.

Tarif elektrik akan dinaikkan sebanyak 7.12% atau 2.23 sen setiap kWj (dari 31.31 sen setiap kWj kepada 33.54 sen setiap kWj).

Pihak yang berkenaan mendakwa hanya 25% atau 1.52 juta pengguna domestik sahaja yang terlibat, iaitu pengguna yang menggunakan melebihi 300 kilowatt sejam.

Hal ini bermakna bahawa, kata pihak yang berkenaan lagi, 4.4 juta pengguna domestik yang menggunakan elektrik di bawah 300 kilowatt sejam tidak akan terkesan dalam kenaikan itu.

Pengguna domestik yang menggunakan elektrik dengan bil RM20 ke bawah tidak perlu membayar apa-apa.

Pengguna domestik yang dikenakan bil di bawah RM77 tidak mengalami sebarang kenaikan.

Pengguna yang dikenakan bil pada harga RM77 ke atas pula cuma mengalami kenaikan sekitar RM6 sahaja.

8 comments:

  1. As-salam

    Bagi saya, kisah kenaikan tarif elektrik & minyak RON 95 yg tidak jadi ini hendak mencanangkan 'kami (BN) sebenarnya prihatin kpd rakyat, maka undilah kami lagi dalam pilihan raya ke-13'.

    ReplyDelete
  2. gua dah bercadang-cadang mau tolak kipas letrik sama ekon rumah gua kat kedai besi buruk. Gua nak pakai kipas tangan jer. Selain jimat, dapat juga buat senaman tangan. Kemudian duit yang gua dapat dari menjual kipas letrik sama ekon tu, gua akan gunakan untuk beli gula.

    ReplyDelete
  3. hahaha... Mat Jack
    bagusnya buah fikiran...
    apa kata kalau menteri-menteri kita juga buat benda yang sama... atau sekurang-kurangnya mula membayar bil-bil mereka daripada duit gaji kerajaan mereka, dan bukannya daripada "ihsan rakyat".

    kekadang tu yang paling saya benci ialah apabila mereka sebut pasal subsidi... atau bonus yang diberi kepada kakitangan kerajaan (yang bertahun dah tak dapat)... mereka kata "ihsan"... who the hell do they think they are la beb..? apa mereka tu sedekah pada kita ke..? yang sebenarnya mereka tu yang hidup mewah hasil daripada "sedekah" kami semua rakyat Malaysia..!!

    ReplyDelete
  4. Salam, Cik Mistree,
    Begitulah kehendak dan rasional mereka. Kita mesti pandai berpolitik. Kalau pemerintah tak ngam dengan kita, kita TUKAR. Kalau yang dah ditukar pun tak ngam, kita tukar lagi. Kuasa pada kita.

    ReplyDelete
  5. Salam, Bro,
    Gua plak lain. Gua ingat gua nak sapu meter elektrik. Tak pun kita ubah suai meter, biar gerakannya lebih perlahan daripada siput.

    (Kita pakat ramai-ramain buat senam tangan. Kita hayun penampar kat muka mamat-mamat kat atas tu, amacam?

    ReplyDelete
  6. Salam, Anon,
    Saya setuju sangat dengan cakap-cakap Sdr tu. Bukankah depa yang dok minta sedekah undi kita masa pilihan raya. Tuih!

    ReplyDelete
  7. Sebenarnya diaorang bangsawan tuh dah mula membiarkan kita lebih rasional dalam memilih pemimpin.

    moto mereka kita didahulukan pencapaian keutungan sebagai sasaran memang sangat kena pada tempatnya.

    ReplyDelete
  8. Salam, Sdr Azam,
    Tapi masih banyak antara kita yang enggan memanfaatkan rasional mereka walaupun sebenarnya moto itu tampaknya lebih tepat dikatakan sebagai "Rakyat Dikenakan Dahulu demi Pencapaian".

    ReplyDelete