Thursday, June 2, 2011

Pemilihan PAS: Kalau Mohd. Sabu Kalah, Apakah Puncanya?

Pemilihan pucuk pimpinan PAS akan berlangsung tidak lama sangat lagi. Oleh sebab kerusi Presiden tidak dipertandingkan, maka selamatlah kedudukan TGHA. Memang pun, rasa saya, kerusi Presiden itu tidak perlu dipertandingkan sepenggal dua ini. Biarkanlah Presiden itu meneruskan usaha untuk memantapkan gabungan PAS dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat demi memastikan usaha mereka untuk menguasai Kerajaan Persekutuan menjadi kenyataan.

Yang menarik sekarang ialah persaingan untuk merebut jawatan Timbalan Presiden. Penyandang jawatan – Ustaz Nasharuddin Mat Isa – dicabar oleh dua orang tokoh penting dalam PAS, iaitu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Tuan Haji Mohd Sabu. Berdasarkan pertandingan dalam pemilihan lalu, kejayaan Ustaz Nasha menumpaskan YB Husam yang didukung oleh penyokong yang kuat, memang menjadi bualan, tetapi dalam PAS, hal itu khabarnya diterima sebagai ketentuan Allah.

Oleh itu, dalam pertandingan yang akan berlangsung tidak lama lagi, kekuatan Ustaz Nasha tidak boleh dipandang enteng, walaupun Tuan Ibrahim diwara-warakan mempunyai keupayaan untuk menewaskan kedua-dua calon lain. Kita berharap agar keupayaan Datuk Tuan Ibrahim untuk menang itu bukanlah kerana kedudukan beliau sebagai anak saudara isteri TGNA. Kalau hal itu yang menjadi asas kemenangan, macam ada yang tidak kena pula.

Pada saya, yang lebih menarik perhatian ialah Tuan Haji Mohd Sabu. Beliau merupakan calon awal yang menyatakan pendirian untuk merebut jawatan Timbalan Presiden. Sehubungan dengan hal itu, gerak kerja untuk memenangkan beliau segera diaktifkan oleh penyokongnya. Kemudian, timbullah cerita bahawa pihak UMNO takut kalau-kalau kelak beliau memenangi kerusi nombor dua itu. Ketakutan UMNO itu timbul kerana kononnya Mohd. Sabu sangat menentang idea perpaduan.

Jadi, kalau sebagai orang tidak berjawatan pun beliau begitu lantang menentang idea perpaduan UMNO-PAS itu, kalau kelak beliau duduk di kerusi Timbalan Presiden, idea itu lebih payah untuk direalisasikan, begitulah pandangan UMNO, kononnya. Maka, agaknya, supaya impian Mohd. Sabu untuk menjadi Timbalan Presiden tidak menjadi kenyataan, UMNO pun akan masuk kakilah dalam perebutan jawatan itu. Bagaimanakah caranya UMNO hendak campur tangan itu, hanya orang yang membuat dakwaan itulah agaknya yang tahu.

Pandangan saya mudah sahaja. Kalau kelak Tuan Haji Mohd. Sabu tewas dalam persaingan itu, kekalahan beliau itu tidak ada kena-mengena dengan campur tangan UMNO kerana ahli-ahli PAS sangat matang membuat pilihan. Saya berpendapat bahawa kalau beliau kalah, sebabnya ialah ahli PAS masih menginginkan dua jawatan penting PAS itu – Presiden dan Timbalan Presiden – diterajui oleh ulama. Ahli-ahli PAS, rasa saya, tidak peduli sangat sama ada UMNO takut atau tidak.

Lagipun, idea perpaduan itu tidak akan menjadi kenyataan kalau ahli-ahli PAS tidak bersetuju. Yang dilakukan oleh UMNO selama ini mungkin suatu provokasi supaya PAS berpecah belah lalu mereka terus dominan sebagai parti untuk orang Melayu. Usaha untuk memecahbelahkan itu tampak berjaya juga apabila ada puak dalam PAS yang percaya dan tuduh-menuduh dalam hal ini.

Jangan bimbanglah, Allahyarham Tan Sri Asri dahulu pun terbang ke seberang juga. Dato Nakhaie pun terbang ke seberang juga. PAS rebah tak?

No comments:

Post a Comment