Kalau mendengar cerita orang atau membaca akhbar, macam-macam hal yang dapat kita dengar dan kita ketahui. Seorang teman yang bersolat di beberapa buah surau berkata bahawa arah kiblat di beberapa buah surau yang disinggahinya beralih hingga memaksa pihak surau membetulkan arah kiblat mereka. Buktinya, kata teman saya, line kuning pada permaidani di surau tempatnya bersolat sudah tidak tepat untuk dijadikan sebagai panduan untuk menghadap kiblat. Pihak surau itu, katanya, membuat penanda kiblat yang baharu sebagai panduan untuk berdiri menghadap kiblat.
Kita ikut merasai gegaran yang terhasil daripada gempa bumi yang berlaku di Sumatera. Seperti biasa, gegaran yang kita rasai itu hanyalah gegaran yang bersifat susulan. Hal ini bermaksud bahawa gegaran yang dirasai kurang kuat dan berlaku dalam jangka waktu yang pendek. Walau bagaimanapun, keadaan itu telah mencemaskan kita.
Kemudian, kita membaca berita tentang mantan PM, Tony Blair, yang mengaku bahawa dia membaca al-Quran (tafsir) hampir saban hari kerana mendapati Islam agama yang baik. Akan menjadi Islamkah beliau. Insya-Allah, jika Allah menghidayahi beliau, akan Islamlah beliau.
“Saya membaca al-Quran setiap hari. Antara tujuannya adalah untuk memahami beberapa perkara yang berlaku di dunia ini, tetapi lebih penting, ia (al-Quran) banyak memberikan maklumat berguna,” begitulah antara lain butir percakapannya.
Gunung Berapi Dubbi di Eritrea, Afrika yang kali terakhir meletus pada tahun 1861, tiba-tiba telah mengaktifkan dirinya sehingga memuntahkan debu tebal yang mencapai ketinggian hingga 15,000 meter. Sebagai akibat keaktifannya, Setiausaha Negara AS terpaksa memendekkan lawatannya ke Afrika (kerana beliau bimbang akan terkandas di Afrika kalau kelak debu itu mengganggu aktiviti penerbangan sehingga memaksa pengusaha penerbangan membatalkan penerbangan mereka).
Tidak ada perkara lain yang wajar kita lakukan apabila berhadapan dengan beberapa keadaan ini melainkan bermuhasabah (berintrospeksi) dan kemudian beristighfar, seboleh-bolehnya setiap detik. Pandanglah isi alam ciptaan Allah SWT ini. Di manakah kehebatan dan keluarbiasaannya? Tidak ada yang hebat dan luar biasa, sebenarnya, kerana yang luar biasa, pada pendapat saya, akan terlihat pada Hari Pembalasan kelak.
Pada Hari Pembalasan itu kelak, semua anggota badan dapat bercakap – luar biasa, bukan. Pada Hari Pembalasan juga, segala macam hukuman dan seksaan yang dikenakan terhadap manusia yang berdosa tidak menyebabkan kematian – luar biasa, bukan? Lidah pendusta, misalnya, dipotong tetapi kita tidak mati olehnya. Syurganya sangat besar dan luas dan menyediakan pelbagai nikmat tanpa had – luar biasa, bukan?
Jadi, jangan biarkan segala peristiwa berlalu begitu sahaja. Pandanglah dengan hati dan belailah hati ini dengan ketakutan dan ketakwaan supaya saranan yang nenghendaki kita menjadi lebih baik pada hari ini berbanding semalam dapat direalisasikan.
Ketakutan itu janganlah sampai menyebabkan kita asyik duduk di masjid dan surau – kehidupan perlu diteruskan, tetapi yang penting kehidupan perlu diisi dengan iman dan takwa.
No comments:
Post a Comment