Wednesday, June 22, 2011

Politik yang Merosakkan...

Seorang lelaki menjadi seorang anggota agensi keselamatan. Beliau sangat komited dan ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawabnya. Kerana sangat komited dan ikhlas, beliau cepat meningkat ke jawatan-jawatan yang lebih tinggi hinggalah pada suatu ketika beliau diberi tanggungjawab sebagai ketua pasukan agensi keselamatan di sebuah daerah yang terkategori sebagai kawasan hitam.

Sebelum ditugaskan ke daerah itu pun, beliau memang terkenal sebagai seorang pegawai yang tidak pernah memilih bulu dalam menguatkuasakan undang-undang kerana beliau memiliki semboyannya sendiri — “Untuk Mewujudkan Keamanan, Orang Jahat Tidak Harus Wujud”. Oleh itu, setiap unsur yang dilihatnya dapat mencetuskan suasana tidak aman, akan segera diatasinya.

Kebetulan di daerah yang terkategori sebagai kawasan hitam itu, orang yang sebangsa dengannyalah yang banyak mencetuskan masalah, yang banyak menjadi samseng. Beliau mendapati bahawa samseng yang sebangsa dengannya itulah yang banyak melakukan jenayah. Cuma beliau kurang pasti sama ada orang yang sebangsa dengannya itu memang rakyat negara ini atau terkategori sebagai PATI.

Lalu, setelah intipan, risikan, dan usaha-usaha lain dilakukan oleh orang bawahannya, terbukti bahawa memang ada PATI yang terlibat dalam aktiviti kesamsengan di daerah itu dan aktiviti mereka ditunjangi oleh warganegara yang sebangsa dengannya. Oleh itu, beliau telah mengerahkan anggotanya mengawal dan bertindak pada setiap masa. Kawasan panas di kawasan hitam itu ditempur dan banyak samseng ditahan.

Hal ini dilakukannya secara berterusan, bukan mengikut musim atau mengikut mood. “Untuk mendapat hasil tuaian yang baik, tanaman itu harus dijaga sejak hari pertama benihnya ditanam,” begitu kata beliau. Sebagai hasil daripada ketekalan beliau dan orang-orang bawahannya yang pelbagai bangsa itu, orang menjadi sangat takut dan gentar terhadap beliau dan anggota-anggotanya. Keamanan sudah mula bertunas.

Walaupun keamanan sudah mula bertunas, ketua-ketua masyarakat yang sebangsa dengannya tidak puas hati kerana kononnya beliau hanya menumpukan perhatian untuk menempur dan menahan orang-orang yang sebangsa dengannya. Ketua-ketua masyarakat beranggapan bahawa pegawai itu sepatutnya melindungi bangsa mereka, tidak kira mereka PATI apatah lagi warganegara.

“Soal bangsa bukan soal pokok dalam tindakan saya kerana saya bukan menempur dan menangkap bangsa saya tetapi saya menempur dan menangkap penjenayah! Tamadun manakah yang membenarkan kita melindungi bangsa kita yang melakukan jenayah hingga kamu, wahai ketua-ketua masyarakat, menghendaki saya melindungi mereka?” Begitu beliau membidas rungutan ketua-ketua masyarakat itu dalam suatu majlis.

Keegoan untuk melindungi bangsa mereka, walau sejahat mana sekalipun bangsa itu, tetap bertapak di dada ketua-ketua masyarakat yang sebangsa dengan pegawai itu. Saluran politik digunakan. Maka berkumandang dan bersiponganglah suara pemanipulasi di saluran-saluran politik bahawa kononnya tindakan pegawai itu akan mengurangkan sokongan bangsa mereka terhadap kerajaan hingga mengecutkan telur sang politikus.

Kerana politik memandang kuasa sebagai Tuhannya, ancaman yang dimulakan oleh ketua-ketua masyarakat bangsa itu dibincangkan dan dibahaskan. Pegawai itu dipanggil dan dinasihati supaya mengendurkan tindakannya. Kerana pegawai itu enggan berkompromi, dengan kuasa politik yang ada, pegawai itu telah ditukarkan ke bahagian yang tidak memerlukan beliau mengepalai operasi.

Ketua masyarakat menang, melalui saluran politik. Saluran politik pula telah “menggaungkan” seorang pegawai yang berdedikasi yang berusaha untuk mewujudkan keamanan. Diam-diam, pegawai itu menerima hakikat bahawa semboyan “Untuk Mewujudkan Keamanan, Orang Jahat Tidak Harus Wujud” tidak wujud dalam dunia politik. Demi kuasa, politik memang dunia serba mungkin, bisik hatinya.

Beliau segera teringat akan ungkapan keramat Mao Zedong — Politik ialah peperangan tanpa menumpahkan darah. Peperangan ialah politik dengan menumpahkan darah.

2 comments:

  1. Macam dalam filem Kolly/Bollywood pulak...
    tapi hakikatnya itula dia... politicians dengan kepentingan sendiri

    ReplyDelete
  2. Salam, Anon,
    Susah hendak membetulkan yang salah di negara ini. Menyatakan yang benar pula berdosa. Meminta yang patut dikatakan sebagai derhaka.

    ReplyDelete