Saturday, June 4, 2011

Berlelucon – Selangkah ke Neraka

Saya yakin benar, banyak orang – tidak kira kecil atau besar, tua atau muda – sangat suka berlelucon (berkelakar). Tujuan mereka berlelucon itu pelbagai – ada yang memang betul-betul hendak menghiburkan orang di sekelilingnya, ada yang hendak memperlihatkan kebolehannya berlelucon, ada yang hendak membuat orang tidak mengantuk semasa mendengar ceramahnya, dan sebagainya. Yang penting, matlamatnya adalah supaya orang tertawa apabila mendengar leluconnya.

Tentang hal ini, saya juga merupakan salah seorang insan yang suka berlelucon. Kadang-kadang, perkara yang serius akan kelihatan tidak begitu serius oleh lelucon yang saya cipta. Sebenarnya, saya ingin menjadikan lelucon yang saya cipta itu sebagai penanda supaya orang yang sedang mendengar perkara serius itu akan ingat perkara serius yang dibicarakan pada waktu itu kerana perkara itu diiringi oleh lelucon saya. Kaedah ini berkesan pada seorang rakan sepejabat saya.

Rakan saya itu pernah mengadukan perihal kereta baharunya. Menurut beliau, bunyi tayar kereta baharunya itu sangat bising. Keadaan yang demikian sangat mengganggu pemanduannya. Saya berkata, “Kalau engkau tidak mahu bunyi tayar kereta engkau itu mengganggu, engkau bukalah cermin kereta semasa memandu. Engkau pasti tidak akan mendengar bunyi tayar itu.” Dia tertawa dengan sangat kuat kerana dia faham akan maksud saya.

Semasa memandu untuk makan tengah hari, seorang rakan saya yang lain bercerita kepada saya dan tiga orang rakan lain tentang seorang saudaranya yang “sangat-sangat pantang” berada dalam kereta. “Dia pasti akan lelap apabila berada dalam kereta. Baru lima minit kereta bergerak, kita pasti akan mendengar kuapannya dan beberapa detik selepas itu, kita akan dilagukan oleh dengkurannya.” kata rakan saya itu.

“Engkau tahu mengapa dia boleh tidur dalam kereta?” saya menyoalnya. Oleh sebab dia menggeleng, saya pun terpaksalah menjawab soalan saya sendiri, “Sebab tayar kereta bulat,” kata saya. Rakan saya itu kelihatan bingung oleh jawaban bagi soalan saya sendiri itu, tetapi rakan-rakan yang lain tertawa. Dalam terpinga-pinga dia bertanya, “Apa kena-mengenanya tidur dengan tayar kereta bulat?” Dia menyoal kami semua.

“Yalah, kalau tayar empat segi, aku yakin dia tidak akan dapat tidur di dalam kereta,” kata saya. Sekali ini baru dia tertawa, terkekeh-kekeh dan terbatuk-batuk lalu kemudiannya berkata, “Kalau tayar kereta empat segi, bukan dia sahaja yang tak boleh tidur, aku sendiri pun tak boleh memandu. Entah-entah kereta aku pun terberahai di perjalanan,” lalu dia menyambung tawanya sambil kemudiannya mengelap-ngelap matanya.

Sebenarnya, banyak juga lelucon yang pernah muncul secara spontan daripada mulut saya yang menyebabkan orang tertawa kesukaan, tetapi kebanyakannya tidak dapat saya ingat.

Baru-baru ini saya terbaca akan suatu hadis yang diriwayatkan oleh At-Tirmizi daripada Abi Hurairah RA, yang maksudnya seperti demikian ini:

“Sesungguhnya, seseorang itu kadang-kadang bercakap dengan satu percakapan dengan tujuan supaya orang lain tertawa melalui percakapannya itu. (Tetapi) dia tidak menyangka bahawa perkataannya itu akan menyebabkan dirinya dihumbankan ke dalam api neraka selama tujuh puluh tahun.”

Saya tersentak. Seperti yang saya tegaskan, saya memang suka berlelucon kepada sesiapa sahaja. Dan sekarang, oleh sebab banyak antara lelucon spontan saya itu tidak dapat saya ingati langsung, saya menjadi takut kalau-kalau ada antara lelucon yang bertujuan supaya orang lain tertawa itu tergolong sebagai lelucon yang dimaksudkan oleh hadis itu. Na‘uzubillah. Saya perlu mendapat info lebih lengkap tentang maksud hadis ini.

Kita – saya, maksud saya – memang insan yang leka dan kelekaan itu menyerlahkan kejahilan kita, maksud saya, saya.

6 comments:

  1. leka betul saya...tak pernah tahu pon

    ReplyDelete
  2. Salam, Sdr Azam,
    Kita sama. Saya fikir orang yang berlelucon di pentas itu sahaja yang berdosa.

    Beristighfarlah kita bersama-sama.

    ReplyDelete
  3. Sdr. Zul,

    Benar bahawa lelucon yang tidak berlandaskan syariat termasuk dalam tegahan berat oleh Allah dalam hal berbahasa. antara firman Allah yang berkaitan:

    1. Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkan melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang senantiasa bersedia menulisnya (Qaf, 50: 18).

    2. Sesungguhnya beruntunglah orang yang beriman, iaitu orang yang khusyuk solatnya dan orang yang menjauhi perbuatan dan perkataan yang tidak berguna (al-Mukminun, 23: 1-3)

    Seorang pemimpin pernah bergurau (atau mungkin memang ia percaya?) untuk meyakinkan anggota-anggota partinya bahawa parti itu diredhai Allah dengan menyatakan bahawa nama parti itu disebut oleh Allah dalam al-Qur'an, kononnya melalui seruan kepada orang yang beriman, iaitu "Ya Ayyuhallazi na amanu....". Perbuatan itu bukan sahaja sia-sia malahan mengundang dosa besar kerana menghina Allah.

    ReplyDelete
  4. As-Salam;

    Kembara Bahasa,

    Perihal pemimpin yang berusaha meyakinkan para anggota partinya disebut oleh Allah dalam al-Quran kononnya melalui seruan kepada orang yang beriman iaitu "Ya Ayyuhallazi na amanu..." (Wahai orang yang beriman) merujuk kepada tafsiran yang luas iaitu dalam konteks parti tersebut ialah 'memperjuangkan Islam untuk memperingatkan orang yang beriman.'

    “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menepati kesabaran.” (Maksud Surah Al-Asr:1–3).

    Ayat "Ya Ayyuhallazi na amanu..." (Wahai orang yang beriman) tidak boleh ditafsirkan secara literal. Memberi tafsiran harfiah kepada kata-kata pemimpin tersebut sebagai bergurau boleh mengundang kepada perbuatan buruk sangka.

    Parti berperanan sebagai wasilah untuk memperjuangkan agama Islam memandangkan negara yang memiliki majoriti umat Islam mengandungi pelbagai parti yang tidak semestinya memperjuangkan politik menurut landasan tasawwur Islam.

    Justeru, parti turut berfungsi untuk memperingati umat Islam agar tetap berada dalam ruang lingkup Islam sebagai ad-din maka, bersesuaian dengan ayat "Ya Ayyuhallazi na amanu..." (Wahai orang yang beriman).

    ReplyDelete
  5. Salam, Prof;
    Kedua-dua ayat yang Prof lampirkan sangat berguna untuk memperkuat hadis yang saya baca itu. Terima kasih, Prof.

    Kasihan pemimpin itu. "Amanu" dalam ayat itu tidak mungkin sekali merujuk kepada nama parti itu. Kita semua tahu.

    ReplyDelete
  6. Salam, Cik Mistree;
    Saya bersetuju kalau ayat yang disebut oleh Prof Awang (Kembara Bahasa) dimaksudkan oleh parti itu sebagai "memperjuangkan Islam untuk memperingatkan orang yang beriman". Baguslah kalau demikian maksud pemimpin itu.

    Malangnya, pemimpin itu memaksudkan kalimat "Amanu" itu sebagai nama partinya, seperti yang disebut oleh Prof Awang.

    ReplyDelete