Abu Said al-Khudri berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Tiada perbantahan seorang daripada kalian tentang kebenaran yang menjadi haknya di dunia ini yang lebih keras perbantahannya daripada kaum Mukmin kepada Tuhan mereka tentang saudara-saudara mereka yang dimasukkan ke dalam neraka. Mereka berkata, ‘Wahai Tuhan kami, saudara-saudara kami dahulu bersolat bersama-sama kami, berpuasa bersama-sama kami, dan mengerjakan haji bersama-sama kami. Tetapi mereka telah telah Engkau masukkan ke dalam neraka’.
“Allah berfirman, ‘Pergilah dan keluarkan sesiapa antara mereka yang kalian kenali.’ Kemudian mereka mendatangi saudaranya dan mengenali wajah-wajah mereka. Antara mereka itu, ada yang telah terbakar kedua-dua betis mereka hingga separuh dan ada pula yang terbakar hingga kedua-dua lutut mereka. Mereka pun mengeluarkan mereka (saudara-saudara mereka) lalu berkata: ‘Wahai Tuhan kami, kami telah mengeluarkan sesiapa yang Engkau perintahkan kepada kami’.
“Allah berfirman: ‘Keluarkanlah sesiapa yang di dalam hatinya terdapat iman walau seberat satu dinar sekalipun’. “Kemudian Allah berfirman lagi: ‘Sesiapa yang di dalam hatinya terdapat iman seberat setengah dinar’ Hingga firman-Nya: ‘Sesiapa yang di dalam hatinya terdapat seberat zarah (keimanan).”
Demikianlah hadis Rasulullah SAW yang sekali lagi memaparkan kemurahan Allah SWT kepada semua hamba-Nya. Dia terus memberi dan memberi, daripada semasa kita berada di dunia ini hinggalah apabila kita berada di alam akhirat yang abadi. Berdasarkan hadis itu, Dia memberikan kebenaran kepada kita, walaupun sebelum itu kita “bertengkar” dengan-Nya, untuk membantu sahabat kita yang berada di dalam neraka. Maha Suci Allah.
Saya lebih tertarik kepada isu lain daripada hadis itu. Saya menilai diri saya, adakah saya ini merupakan orang yang bercekcok dengan Allah SWT itu lalu kemudiannya berpeluang untuk membebaskan sahabat saya daripada seksaan api neraka. Maksud saya, sayakah orangnya yang dapat menyelamatkan sahabat saya daripada seksaan api neraka itu?
Kalau penyelamat itu bukan saya, adakah saya yang diselamatkan dari dalam api neraka itu? Kalau saya yang diselamatkan, siapakah sahabat yang menjadi penyelamat saya itu? Saya mula menilai dan membelek senarai sahabat saya dan mengangan-angankan bahawa ada antara sahabat saya itu, sama ada yang masih bersama saya atau yang telah pergi mendahului saya — Abdul Aziz Lebai Awang, Tajudin Busu, Zakaria Harun, Mazlan Mahat, Sarip Marus, Hasyim Abdul Manaf, Shah Jahan Abdul Aziz, dan lain-lain (Al-Fatihah untuk kalian) — yang menjadi penyelamat saya.
Walau bagaimanapun, sebaik-baiknya, biarlah saya dan kalian yang menjadi penyelamat — hal ini menggambarkan suatu hakikat, iaitu kita memiliki iman yang tebal hingga kita tidak sempat menghuni neraka. Insya-Allah.
Subhanallah, maha luas rahmat Allah.
ReplyDeleteSalam, Prof,
ReplyDeleteBegitupun Maha Luas Rahmat-Nya, masih banyak yang tidak menjunjung titah perintah-Nya.