Di jalan-jalan raya, khususnya di kawasan kediaman, kawasan sekolah, kawasan hospital, dan kawasan komersial, banyak terdapat bonggol yang menghodohkan jalan raya. Kebanyakan bonggol itu dibina oleh pihak berkuasa tempatan, tetapi ada juga sebilangan penduduk di sesetengah kawasan perumahan dan kawasan komersial yang memandai-mandai untuk membina bonggol serupa itu.
Apakah makna di balik pembinaan atau kewujudan bonggol itu? Tentu banyak orang yang berkata bahawa bonggol itu menggambarkan bahawa rakyat negara ini sangat menitikberatkan soal keselamatan. Kewujudan bonggol yang hodoh itu, kata mereka, dapat mengurangkan kejadian kemalangan di jalan raya kerana kewujudannya menghalang orang daripada memandu atau menunggang kenderaan dengan laju dan melulu.
Sebenarnya, kewujudan bonggol itu pada jalan raya sangatlah memalukan kita kerana yang tergambar daripada kewujudannya itu bukanlah kerana kita ini terkategori sebagai orang yang mementingkan keselamatan. Sebaliknya, yang tergambar daripada kewujudannya itu adalah bahawa kita ini merupakan orang yang sangat tidak berdisiplin dan sangat mementingkan diri.
Buktinya, kalau kita berdisiplin dan tidak mementingkan diri, bonggol itu tidak akan tumbuh di tengah-tengah jalan sehingga mengganggu dan menyusahkan pemanduan kita. Kalau kita sentiasa sedar bahawa kita tidak wajar memandu kenderaan dengan lajudan melulu di kawasan perumahan, sekolah, hospital, dan lain-lain, tentulah bonggol itu tidak akan dibina dan dengan itu belanja pembinaannya dapat disalurkan kepada hal-hal lain yang lebih penting dan utama.
Kalau kita biasa ke surau atau ke masjid pula, kita juga akan berdepan dengan satu situasi yang lebih kurang sama dengan hal yang diperihalkan di atas itu. Dahulu, peti-peti wang kutipan derma di dalam surau atau masjid sekadar berkunci dengan mangga, tidak lebih daripada itu. Malahan, pada zaman kanak-kanak dahulu, ada peti wang kutipan yang langsung tidak berkunci (mungkin tiada wang di dalamnya kerana tiada penderma, wallahua‘lam).
Sekarang, peti wang kutipan derma serupa itu bukan sahaja berkunci dengan mangga, malahan dirantai oleh pihak surau atau masjid. Perbuatan memangga dan mengunci peti wang kutipan derma itu tentulah juga dikatakan orang bahawa kita ini sangat menitikberatkan soal keselamatan harta benda.
Walhal yang sebenarnya, perbuatan memangga dan merantai peti wang kutipan derma itu menggambarkan suatu hakikat yang sangat mengaibkan kita. Rupa-rupanya tahap kejahatan orang kita ini sudah terlalu teruk sehingga wang kutipan derma surau dan masjid pun dijadikan sebagai sumber pendapatan oleh segelintir orang (penyangak) yang saya yakini bahawa mereka itu terdiri daripada kalangan orang kita juga.
Rumah ibadat yang suci murni itu, yang sepatutnya menjadi tempat yang paling selamat untuk apa-apa dan siapa-siapa yang berada di dalamnya, rupa-rupanya sudah menjadi tempat yang tidak selamat lagi. Kalau orang bukan Islam membuat lawatan, dan melihat keadaan ini (peti wang kutipan derma bermangga dan berantai), kita harus berasa malu.
(Tetapi, dalam soal wang kutipan surau dan masjid dikebas orang ini, rasa saya bukanlah pelik sangat pun. Wang zakat yang dipungut oleh pihak yang bertanggungjawab untuk memungut zakat pun dikebas orang, wang dalam tabung untuk orang mengerjakan haji pun pernah dikebas orang, inikan pula wang dalam peti kutipan derma surau dan masjid! Bagaimanakah hendak memangga dan merantai wang pungutan zakat dan wang tabungan haji kalau penjahat memang ada di mana-mana? Selagi ibu bapa mementingkan kerjaya dan harta, pangkat dan jawatan; selagi al-Quran dilihat pada kulitnya sahaja, selagi itulah masalah ini terus melalukan kita.)
No comments:
Post a Comment