Kalau betullah bicara Nasir Ismail, mantan itu memang sudah bersedia sejak awal lagi. Mantan itu tahu, jika menggunakan cek, bala akan menimpa dirinya kalau siasatan dilakukan terhadap dirinya kelak. Oleh itu, setiap bayaran bagi perkhidmatan yang diberikan oleh Nasir dibuat oleh mantan itu secara tunai. Dan kebersediaannya itu memang betul-betul jelas – Nasir tidak perlu memberikan resit bayaran kepadanya. Jadi, bukti urus niaga antara mereka tidak kelihatan.
Begitulah ceritanya, itu pun kalaulah percakapan saksi yang bernama Nasir Ismail itu diterima dan diyakini oleh pihak mahkamah.
Yang membuat banyak orang terkedu (kalau si Nasir itu bercakap benar dan kemudiannya dapat dibuktikan oleh pihak pendakwa) ialah, dari manakah mantan itu mendapat wang tunai sehingga RM6.5 juta itu? Di manakah dia menyimpan wang itu? Di dalam bank atau di bawah tilam dan katil sahaja? Huh, mungkin bukan di dalam bank, atau kalau di dalam bank pun, mungkin bukan bank di negara ini! Kalau benar begitu, mantan itu memang sudah sangat bersedia dalam hal ini.
Tunggu dan lihat sahajalah cerita selanjutnya! Kalau hal ini dibualkan secara berlebih-lebihan, akan mengganggu proses perbicaraan pula.
Cuma, ingatan saya terimbas akan tuduhan rasuah yang dibuat terhadapnya pada tahun 2004 kerana meluluskan projek pembinaan yang dikatakan bahawa telah menceroboh kawasan hutan simpan Bukit Cahaya Seri Alam semasa dia menjadi orang nombor satu negeri dahulu. Walaupun pihak berkuasa pencegahan rasuah negara ini melepaskan mantan itu kerana tiada pendakwaan, keraguan terhadap kemurnian diri mantan itu membunting gajah dalam diri rakyat negeri yang diterajuinya.
Memang perbuatan “salah laku” mantan itu banyak diadukan orang kepada pihak polis, tetapi semuanya tidak dapat dibuktikan, barangkali.
Saya juga teringat akan siasatan dan perbicaraan yang dilakukan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban, dan Ketelusan (Selcat) terhadap mantan itu. Jawatankuasa itu telah membongkar dan mendedahkan pelbagai perkara yang dapat dikategorikan sebagai perbuatan salah guna kuasa yang melibatkan mantan itu. Walaupun tiada apa-apa tindakan yang diambil terhadap mantan itu selepas pembongkaran dan pendedahan itu, tetapi orang berpersepsi buruk terhadapnya.
Dia tidak hadir sepanjang pembongkaran dan pendedahan itu. Sebaliknya, dia memilih untuk mempertikaikan tindakan jawatankuasa itu dari luar.
Saya juga teringat akan ceriteranya di dalam blognya selepas dia didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan (dakwaan yang sedang dihadapinya sekarang inilah). Kata mantan itu dia ingin memulangkan darjah kebesaran negeri kepada Sultan Selangor bagi mengelakkan darjah kebesaran itu ikut terpalit oleh sebarang keaiban sepanjang dia dibicarakan. Hal itu, kata mantan itu, telah dinyatakannya melalui sepucuk surat yang dihantarnya kepada pihak istana pada pertengahan Disember 2010.
Tetapi, suatu laporan lain mengatakan bahawa sebenarnya pihak istana memang awal-awal lagi telah menggantung (buat sementara) darjah kebesaran yang diterimanya itu.
Cerita ini mengganggu proses perbicaraankah? Insya-Allah, tidak. Saya cuma ingin mengajak orang yang mengikuti perihal diri mantan itu membuat penilaian sendiri-sendiri. Kemudian, rujuklah maksud Surah At-Takasur ini:
أَلْهَاكُمُ التَّكَاثُرُ
Bermegah-megah telah melalaikan kamu.
حَتَّى زُرْتُمُ الْمَقَابِرَ
Sampai kamu masuk ke dalam kubur.
كَلا سَوْفَ تَعْلَمُونَ
Janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu itu).
ثُمَّ كَلا سَوْفَ تَعْلَمُونَ
Dan janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui.
كَلا لَوْ تَعْلَمُونَ عِلْمَ الْيَقِينِ
Janganlah begitu, jika kamu mengetahui dengan pengetahuan yang yakin,
لَتَرَوُنَّ الْجَحِيمَ
Nescaya kamu benar-benar akan melihat neraka Jahim.
ثُمَّ لَتَرَوُنَّهَا عَيْنَ الْيَقِينِ
Dan sesungguhnya kamu benar-benar akan melihatnya dengan ainul yakin.
ثُمَّ لَتُسْأَلُنَّ يَوْمَئِذٍ عَنِ النَّعِيمِ
Kemudian kamu pasti akan ditanyai pada hari itu tentang kenikmatan (yang kamu megah-megahkan di dunia itu).
No comments:
Post a Comment