Menteri Dalam Negeri berkata, “Kemeja-T Bersih ada berkaitan dengan perhimpunan haram, maka apa sahaja yang mereka pakai adalah haram”. Hal ini bermaksud bahawa Kerajaan telah memutuskan bahawa kemeja-T Bersih 2.0 itu haram dipakai. Sampai bila-bilakah kemeja-T itu haram dipakai, Datuk?
Kita berharap sangatlah agar tidak ada pemimpin lain yang mengharamkan orang memakai apa-apa baju yang di mana-mana bahagian baju itu tertulis perkataan “Bersih”. Janganlah sampai baju yang bertulis dengan cogan kata “Negara Bersih, Rakyat Sihat” dan sebagainya diharamkan juga.
Kadang-kadang kita ini alergi dan fobia tidak tentu fasal. Kerana alergi terhadap lambang bulan PAS, misalnya, seorang pemimpin wanita meminta pihak PETRONAS mengubah logonya yang mirip dengan bulan yang menjadi lambang PAS. Maka, terpaksalah PETRONAS membazirkan wang untuk memenuhi “kealergian” pemimpin wanita itu (pemimpin wanita itu pun semakin tersisih, rasanya).
Yang terlihat pada waktu ini ialah “Bersih” sudah kelihatan sangat kotor dan jijik. “Bersih” sudah menjadi satu perkataan yang digeruni dan dibenci. Bukan sedikit yang marah terhadap Bersih ini. PERKASA marah, Pemuda UMNO marah, pesilat-pesilat pun marah. Malah, gambaran telah pun diberikan oleh puak dan pihak tertentu bahawa mereka bersedia untuk beramuk-amukan dengan pihak Bersih itu.
Kita harus menyokong mana-mana pihak yang menuntut pilihan raya yang bersih. Kaedah tuntutan itu, rasa saya, perlulah waras dan menggunakan “saluran yang betul”. Cuma pada sebilangan orang, di negara ini, “saluran yang betul” itu seperti tersumbat dan dengan itu penggunaannya tidak diminati orang (mungkin kerana IWK tidak membersihkan “saluran yang betul” itu).
Janganlah kerana takut, alergi, fobia terhadap Bersih 2.0 itu, kelak ada pula puak dan pihak yang meminta perkataan “Bersih” dihincitkan daripada Kamus Dewan....
(Sekarang, sudah ada kawan-kawan yang takut untuk menyarung baju berwarna kuning. Tuanku-tuanku jangan pula takut.)
gambaran orang yang dalam ketakutan kot.
ReplyDeletepenguasa rakus yang sudah hilang kewarasan
ReplyDeleteSalam, Syeikh, Muaz,
ReplyDeleteBegitulah nampaknya. Yang menghairankan kita, mereka hendak melarang perhimpunan itu tanpa mengusik SPR sedikit pun.
Salam, Syeikh Faziz,
ReplyDeleteYang tidak waras itu menjadi wajar kepada mereka, tampaknya. Kerakusan memang sebahagian daripada mereka.
Salam, Tuan.
ReplyDeleteLama benar tidak berkunjung ke sini. Kami di universiti pun akan menyertai program BERSIH hujung minggu ini. Kami BERSIHkan sungai sempena kempen alam sekitar, hahahaa.. Apa pun, semakin ramai pula mahasiswa kami yang berbaju kuning semasa menghadiri kuliah minggu ini. Tak tahulah jikalau emang sekian lama mereka memakai baju kuning dan saya sahaja yang tidak perasan. Memang warna kuning sudah menjadikan kita paranoid nampaknya! heheehe
Salam, Cikgu Marni,
ReplyDeleteTerima kasih kerana masih sudi berkunjung ke Blog ini.
Tahniah dan syabas, Cikgu. Menjaga alam sekitar satu usaha yang sangat-sangat murni.
Zaman dahulu orang haram berpakaian kuning kerana warna itu warna diraja.
Puas saya hendak mengingat perkataan "paranoid" untuk menggantikan perkataan "fobia" dalam Blog saya ini kerana semasa menulis itu saya rasa perkataan fobia itu kurang tepat.
Entah, seminggu dua ini daya ingatan agak tumpul.