Saturday, June 11, 2011

YAB PM: Janganlah Pelik bin Ajaib

Heh, heh, heh. PM kita berasa pelik bin ajaib kerana PAS, katanya, baru sekarang terfikir untuk membentuk negara berkebajikan. Beliau berkata bahawa kerajaan BN sudah lama melakukan kebajikan. Penubuhan pelbagai agensi kerajaan seperti FELDA dan FELCRA, kata beliau, sudah menepati ciri kebajikan kerana semuanya sudah dinikmati oleh rakyat sejak sekian lama.

Sebagai orang di luar PAS yang tinggal di dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, PM kita boleh bercakap apa-apa sahaja. Samalah dengan PAS, mereka pun boleh melancarkan apa-apa sahaja dasar yang dipersetujui parti, sama ada matlamatnya itu untuk memikat pengundi ataupun memang mereka benar-benar ikhlas.

Apakah negara berkebajikan itu? Saya berharap agar yang berlegar dalam otak kepemimpinan PAS tentang negara berkebajikan ini ialah negara yang pemerintahnya berperibadi seperti Umar Abdul Aziz, khalifah Bani Umaiyah yang ulung dan zuhud itu. Maksudnya ialah, pemimpin PAS akan menjadi hamba rakyat, bukan menghambakan rakyat. Apa-apa yang dilakukan oleh PAS kelak haruslah demi rakyat bukan demi kroni dan famili.

Kalau demikianlah maksud negara berkebajikan, yang dihadapkan kepada kita oleh kerajaan BN pada hari ini, jelas bahawa bedanya seperti langit dengan bumi. Malah maksud yang demikian menyebabkan kita sukar untuk menerima kenyataan YAB PM kita itu. Alasan paling mudah untuk kita berkata demikian ialah kebanyakan rakyat tidak menikmati kehidupan seperti yang dinikmati oleh para pemimpin, termasuk PM.

Kenaikan harga tarif elektrik, yang sebenarnya merupakan satu daripada keperluan asas rakyat –sama halnya dengan bekalan air, jalan raya, hospital, dan sekolah – membuktikan hal ini. Di manakah pemimpin dirawat kalau mereka tiba-tiba pengsan semasa berucap atau tiba-tiba demam dan selesema – di wad kelas tiga seperti rakyat marhaen yang miskin atau di wad yang eksklusif untuk mereka?

Adakah mereka benar-benar membayar setiap unit tenaga elektrik yang digunakan atau kadar itu dibayar dengan menggunakan wang kerajaan atas kapasiti mereka sebagai pemimpin? Kalau mereka menggunakan wang kerajaan, rakyat manakah yang membenarkannya? Saya tidak pernah memberikan kebenaran, malahan mereka tidak pernah pun meminta kebenaran daripada saya. Dengan gaji dan elaun yang mencecah puluhan ribu, rasa saya tidak perlulah kerajaan membayar penggunaan bekalan tenaga elektrik itu bagi pihak mereka.

Kalau PAS benar-benar ingin melakukan kebajikan apabila kelak mereka sama-sama menerajui negara dengan parti yang berada dalam Pakatan mereka, pandang-pandanglah hal ini. Kami bukan mengharapkan harga bahan api yang rendah sahaja, tetapi kami juga mengharapkan pemimpin yang benar-benar mengutamakan dan mendahulukan rakyat, bukan pemimpin yang mendahulukan rakyat tetapi mengutamakan pencapaian.

Islam mengutamakan kesamarataan yang menjadi asas keadilan. Saya pun ingin juga dirawat di wad yang eksklufif kalau sakit.

No comments:

Post a Comment