Aku yakin sangat bahawa pengurus restoran itu mamak Islam walaupun aku tahu bahawa restoran itu bukan milik mamak Islam, tetapi mamak kafir. Keyakinan itu bersebab kerana pengurus itu pernah mengucapkan salam kepadaku dengan baik sekali, malahan aku pernah melihat dia bersolat Jumaat di surau kami. Status restoran yang begini – pemiliknya mamak kafir, tetapi pengurusnya mamak Islam memang bercambah seperti cendawan tumbuh selepas hujan sekarang ini.
Restoran mamak kafir yang pengurusnya mamak Islam ini tidak pernah ketinggalan untuk menjamu jemaah surau taman perumahan aku. Kalau ada program tertentu, kalau diminta, restoran mamak kafir itu bersedia untuk menaja makanan – nasi beriani tentunya. Malah, pernah mamak Islam yang menjadi pengurus itu memperlihatkan kehairanannya kepada pengerusi surau kami kerana sudah lama pihak surau tidak meminta apa-apa tajaan daripada pihaknya.
Mamak Islam yang menjadi pengurus restoran itu pernah membising di telingaku apabila kedai pameran kereta yang berjiran dengannya bertukar menjadi restoran Cina yang mempunyai beberapa gerai. Gerai-gerai itu menjual makanan yang berbeda dan sudah tentulah asap masakan daripada makanan yang digoreng di restoran Cina itu akan menjengah ke restoran yang diurus oleh mamak Islam itu. Dia juga merungut kerana restoran Cina itu menggunakan kami lima sebagai tempat letak gerai-gerai itu.
Aku menjadi benci apabila mendengar rungutannya kerana dia mengata dulang paku serpih. Bertahun-tahun sebelum kewujudan restoran Cina itu, pihak restoran yang diurusnya telah melakukan hal yang sama kesalahannya dengan restoran Cina itu. Lebih daripada sepuluh lot parkir kenderaan awam dibolotnya untuk meletakkan kerusi mejanya. Laluan kaki lima di hadapan restorannya tidak dapat digunakan oleh orang ramai kerana dijadikan sebagai tempat untuk meletakkan tempayan roti nannya, dapur masakan Siam, dan lain-lain.
Jadi, apabila dia mengomel kerana restoran Cina itu meletakkan gerainya di kaki lima, aku memang betul-betul menyampah terhadapnya walaupun dialah yang banyak membuat keputusan untuk menaja makanan jemaah apabila sesuatu program keagamaan dijalankan oleh pihak surau!
Di manakah letaknya peruntukan undang-undang yang sepatutnya dikuatkuasakan oleh pihak PBT? Kaki lima, setahu aku, mesti bebas daripada halangan. Lot parkir, setahu aku, sepatutnya menjadi tempat untuk meletakkan kenderaan bukannya menjadi tempat untuk meletakkan perabot! Mungkin undang-undang yang sepatutnya dikuatkuasakan oleh pihak PBT “sudah tukar” (seperti yang selalu diungkapkan oleh Sathiya dalam leluconnya). Ya, mungkin “sudah tukar”, aku sahaja yang tidak tahu.
Aku, sebenarnya, memang jarang-jarang makan di meja yang terletak di atas lot parkir kenderaan kerana aku tidak mahu menjadi sebahagian daripada perampas hak orang awam. Tambahan pula tempat yang demikian terdedah pada bahaya. Aku tidak mahu kerana secawan milo susu, aku kemudiannya terlantar di ICU menunggu koma bertukar noktah!
Tetapi, kebanyakan orang tidak begitu. Mereka lebih seronok duduk di meja di atas lot parkir kenderaan itu walaupun terdapat banyak meja kosong di dalam restoran. Pelik, bukan?
Undang-undang “sudah tukar” ka, Sathiya?
No comments:
Post a Comment