Friday, June 15, 2012

Peribahasa Warisan Bangsa: Buah Fikiran Melayu Janganlah Dirosakkan

PERIBAHASA adalah antara harta bangsa Melayu yang paling bernilai. Menerusi ungkapan yang terjalin dalam peribahasa seperti perumpamaan, bidalan, pepatah, simpulan bahasa, dsb, dapat kita ketahui perihal akrabnya bangsa Melayu dengan alamnya dan betapa mereka begitu menghargai anugerah Allah SWT yang besar nilainya itu. Melalui peribahasa, dapat kita ketahui tahap kepekaan bangsa Melayu terhadap apa-apa yang ada dan semua yang menjadi peristiwa di sekelilingnya. Melalui peribahasa juga, dapat kita ketahui betapa sopan dan bertertibnya bangsa Melayu dalam menilai kehidupan bermasyarakat (yang kemudiannya diambil kesempatan/dimanipulasi oleh bangsa penjajah dan pendatang). Yang paling penting, peribahasa menyerlahkan kebijaksanaan bangsa Melayu dalam menanggapi seluruh aspek kehidupan yang menjadi budaya dan agama mereka.

Walau bagaimanapun, selepas melalui peredaran masa yang panjang dan ditokok pula oleh ketidakcermatan bangsa Melayu yang terkemudian dalam menuturkan peribahasa, kita dapati bahawa ada peribahasa yang tidak diujarkan dengan tepat. Hal ini berlaku demikian kerana tahap kepekaan umat Melayu yang terkemudian tidak sehebat tahap kepekaan umat masyarakat Melayu silam; tahap keakraban umat Melayu yang terkemudian terhadap unsur-unsur alam yang mengelilingi mereka juga tidak berbanding dengan masyarakat silam. Sebagai contohnya, peribahasa “sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga” diujarkan dan ditulis orang dengan meluas. Benarkah peribahasa itu diungkapkan demikian oleh masyarakat silam yang peka itu? Benarkah semua tupai, betapa pandai sekalipun melompat, akhirnya akan jatuh ke tanah?

Hakikat yang sebenarnya bukan begitu. Jika pembaca manusia yang teliti, tupai merupakan sejenis haiwan yang handal melompat. Tupai hanya akan terjatuh kalau tersilap dalam semasa membuat lompatan. Dalam erti kata yang lain, tupai jarang-jarang jatuh, kecuali sekali dua. Hakikat ini sangat disedari oleh masyarakat Melayu zaman silam. Oleh sebab itu, mustahil manusia yang teliti dan akrab dengan imej/unsur alam mengungkapkan peribahasa “sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga”. Perkataan akhir pada peribahasa itu menggambarkan tupai pasti jatuh ke tanah. Sebenarnya, yang diungkapkan oleh nenek moyang kita dahulu ialah “sepandai-pandai tupai melompat, sesekali gawal juga” (rujuk kepada Kamus Istimewa Peribahasa Melayu (KIPM)). Untuk pengetahuan pembaca, peribahasa ini bermaksud “sepandai-pandai manusia, ada kalanya tersilap juga”.

Begitu juga halnya dengan peribahasa yang ada kaitannya dengan cili seperti “kecil-kecil cili melaka”, “siapa makan cili dialah berasa pedas” atau “kecil-kecil cili api, besar-besar limau abung”, dan “belum tahu dipedas cili”, dll. Pada hemat saya, tidak mungkin orang Melayu silam mengungkapkan peribahasa itu demikian. Hal ini saya katakan demikian kerana perkataan cili itu bukan berasal daripada bahasa Melayu/Sanskrit melainkan daripada bahasa Eropah (Sepanyol, Portugis, atau Inggeris) yang datangnya ke alam Melayu ini agak baharu. Saya berpandangan bahawa kewujudan perkataan cili dalam peribahasa itu berpunca daripada kesilapan yang sama dengan peribahasa yang berkaitan dengan tupai tadi — ketidakcermatan dan keserampangan bangsa Melayu terkemudian dalam mengungkapkan peribahasa, sama ada dalam pertuturan ataupun penulisan.

Semua peribahasa itu, pada fikiran saya, diungkapkan sebagai “kecil-kecil cabai/lada melaka”, “siapa makan cabai/lada dialah berasa pedas” atau “kecil-kecil cabai/lada api, besar-besar limau abung”, dan “belum tahu dipedas cabai/lada”, dan seterusnya yang lain-lain juga.

Tidak tahulah pula saya jikalau ada yang berkata bahawa peribahasa ada evolusinya dan dengan demikian apa-apa perubahan pada peribahasa itu halal dilakukan. Jikalau demikian halnya, maka rosaklah kemurnian buah fikiran bangsa kita menerusi kata-kata yang indah dan berkias itu.

2 comments:

  1. Salam,
    Tentu pernah kita dengar orang menyebut ungkapan "jin bertendang", malah ada yang menuliskannya dalam ayat. Misalnya, "Rumah Pawang Senik nun jauh di pedalaman, di tempat jin bertendang."
    Tak masuk akal langsung bentuk ungkapan dan penggunaan "jin bertendang" dalam ayat berkenaan. Rupa-rupanya, sesudah dicari dan dikaji, ungkapan yang betul ialah "jin bertandang"! Nah, barulah tepat bentuk ungkapannya dan penggunaannya!
    Kalaulah KAMUS senantiasa dijadikan rujukan, tak akan ada kekeliruan/kesilapan melulu yang sedemikian, dan juga pada hal-hal bahasa yang lain. (Agak-agaknya, masih banyakkah orang yang merujuk kepada kamus, hatta guru dan pelajar?) Terima kasih.

    ReplyDelete
  2. Salam, Mi,
    Ya, kita yang terkemudian ini sedap menyebut, selalunya. Kita jarang-jarang memikirkan ungkapan itu sendiri, logik ataupun sebaliknya. Jin, kalau nak bertendang, di mana-mana sahaja. Tempat yang dirujuk sebagai tempat jin bertandang, tentu di tempat yang terceruk.

    Indahnya pemikiran tuk moyang kita.

    ReplyDelete