Tuesday, September 8, 2009

Jatuhnya “Dia” kerana Balas Dendam

UMNO-BN yang merupakan parti yang telah bertahun-tahun menerajui negara, yang “memperjuangkan” hak Melayu, semakin “dibenci” dan “tersisih” di hati kebanyakan orang Melayu, khususnya di Semenanjung Malaysia. Kebencian majoriti orang Melayu terhadap parti ini begitu ketara belakangan ini. (Mantan PM, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri ada menggambarkan hal ini dalam satu kenyataannya selepas PRU10 dahulu. Antara lain beliau berkata bahawa kejayaan BN mempertahankan majoriti 2/3 pada waktu itu disebabkan oleh sokongan bukan Melayu (khabarnya pada waktu itu hanya sekitar 30%-40% orang Melayu yang menyokong BN, khususnya UMNO). Sokongan itu pulih sementara pada PRU11 semasa Tun Abdullah berkuasa tetapi menjunam pada PRU12. Hal ini berlaku demikian kerana orang Melayu tidak menyokong UMNO-BN lagi, malah bukan sedikit orang Melayu yang telah “melacurkan” pegangan mereka dengan mengundi calon bukan Melayu daripada kalangan parti yang berada di luar BN. Natijah daripada kemerosotan sokongan itu, Tun Abdullah dipersalahkan oleh orang-orang di lingkungannya lalu akhirnya beliau ditunjukkan jalan keluar dari takhta kekuasaan oleh “anak-anak buahnya” sendiri.

Walaupun kebanyakan orang dalam BN-UMNO mendakwa susutnya sokongan Melayu terhadap mereka berpunca daripada “kelemahan” dan “kelembikan” Tun Abdullah, namun pada hemat saya, beliau bukanlah pencetus kepada susutnya sokongan itu. Sebenarnya, hal ini telah bermula sejak sekian lama dan mencapai kemuncaknya pada tahun 1998 apabila Dato’ Seri Anwar Ibrahim dipecat dan disingkirkan daripada UMNO dan kerajaan. Orang Melayu (sama ada yang di dalam UMNO ataupun PAS) sangat marah dan amarah mereka itu dizahirkan pada PRU10 yang kemudiannya menjadi titik tolak kepada lahirnya kumpulan rakyat berbangsa Melayu yang sudah pandai berpolitik (tidak menyokong pemerintah secara membabi buta seperti yang diamalkan oleh datuk nenek mereka dahulu).

Tidak perlulah diperkatakan dalam posting ini tentang punca lain (seperti amalan kronisme, nepotisme, rasuah, dsb) dalam menghuraikan merosotnya sokongan Melayu terhadap UMNO-BN ini kerana hal ini telah diketahui umum. Yang akan saya huraikan ialah punca lain yang dari satu sudut ada kena-mengena dengan salah guna kuasa dan dari satu sudut lain ada kena-mengena dengan kezaliman.

Antara punca yang tidak wajar dipandang remeh yang menyebabkan UMNO-BN semakin dibenci oleh orang Melayu ialah amalan kaedah balas dendam yang mendarah daging dalam batang tubuh UMNO-BN. Taktik ini digunakan mereka dengan sepenuhnya sepanjang mereka berkuasa. Mereka menjauhi beberapa perkara yang menjadi ciri penting demokrasi, iaitu KEADILAN walhal dalam amalan demokrasi, ciri ini perlu dijadikan pegangan oleh kerajaan yang dipilih melalui mana-mana pilihan raya. (Agaknya, kerana menyedari hakikat inilah PKR memanfaatkan kalimat KEADILAN di tengah-tengah nama parti mereka dan memanipulasinya dengan semahu-mahunya.)

Dalam pemerintahannya, UMNO-BN telah menyisihkan dan menganaktirikan kelompok rakyat yang menentang mereka dalam pilihan raya. Kaedah balas dendam ini berlangsung sekian lama dan terus diwarisi oleh pemuka-pemuka UMNO-BN yang terkemudian. Mereka dengan senang hati dan tanpa rasa bersalah telah menafikan hak rakyat yang tidak menyokong mereka untuk menikmati pembangunan sedangkan rakyat yang menyokong mereka dilimpahi pembangunan demi pembangunan demi pembangunan.

Bukti amalan kaedah balas dendam ini tidak sukar dicari. Pergilah ke kawasan tertentu di kampung-kampung, anda akan menemukan buktinya. Sebagai contohnya, penduduk kampung yang menyokong UMNO-BN akan dibekali dengan pelbagai prasarana lalu menjadi rakyat yang membangun. Sebaliknya, di kampung lain yang berdekatan yang penduduknya terdiri daripada penentang, mereka masih ketinggalan lalu menjadi rakyat yang mundur. Sehingga demikian, setiap kali berlangsungnya PRU atau PRK, isu nikmat pembangunan ini akan diuar-uarkan, dilaungkan, dikumandangkan oleh setiap pemuka UMNO-BN kepada rakyat yang mundur ini — anda semaklah kenyataan-kenyataan para pemuka UMNO-BN semasa berlangsungnya PRK Manek Urai dan Permatang Pasir yang baru lalu dan mungkin pada PRK di Bagan Pinang tidak lama lagi.

Kaedah balas dendam yang paling terang lagi jelas di depan mata ialah semasa Terengganu diperintah oleh PAS selepas PRU10 dahulu. Pada waktu itu, hak kerajaan PAS untuk menikmati royalti minyak (petroleum) yang dapat digunakan untuk membangunkan negeri dan rakyat telah dinafikan (royalti itu telah digantikan dengan wang ihsan yang tidak disalurkan kepada kerajaan PAS).

Kesimpulan yang dapat dibuat daripada kaedah balas dendam yang diguna pakai oleh BN-UMNO dalam pemerintahan mereka itu ialah BN-UMNO tidak memahami tuntutan demokrasi. Pada hemat saya, antara fahaman yang betul tentang demokrasi ialah “marilah kita bersengketa” semasa pilihan raya tetapi “marilah kita merapatkan barisan kita” selepas itu. Lupakanlah sengketa yang berlaku dalam tempoh kempen yang pendek semasa berlangsungnya pilihan raya itu kerana persefahaman dan persepakatan sangat diperlukan dalam tempoh selepas pilihan raya yang lebih panjang itu. Seharusnya, mana-mana pihak yang memenangi mana-mana pilihan raya perlu adil kepada semua golongan rakyat, sama ada rakyat itu menyokong mereka atau membangkang mereka.

Seandainya keadilan (bukan balas dendam) yang menjadi inti penting dalam amalan demokrasi dipraktikkan oleh pihak yang dipilih menjadi pemerintah, rakyat akan beroleh manfaat yang besar. Rakyat akan menjadi insan yang bijaksana bukan menjadi rakyat yang takut, jumud, dan emosional. Rakyat akan merasakan hak mereka dihormati dan dihargai dan dengan demikian akan bersikap kritis, analitikal, dan rasional dalam segala tindakan mereka. Apabila sikap ini ada dalam diri mereka, peranan mereka sebagai pengundi akan lebih bermakna. Apabila mendapati parti yang dipilih mereka kurang berkesan, misalnya, mereka akan memilih parti yang satu lagi dan sekiranya parti yang satu lagi itu kurang berkesan, pada pilihan raya yang berikutnya, mereka akan memilih parti yang dipilih mereka sebelum ini. Dengan itu, pertukaran parti pilihan mereka bukan didorong oleh kebencian dan emosi seperti sekarang tetapi didorong oleh perasaan kurang puas hati yang didasarkan kepada kerasionalan dan kebijaksanaan mereka.

Kebaikan di pihak parti yang dipilih pula ialah akan wujud persaingan sihat antara mereka. Masing-masing akan memberikan khidmat yang paling baik demi mempertahankan kuasa pemerintahan. Unsur-unsur yang menjadi kebencian dan rasa tidak puas hati rakyat seperti rasuah, salah guna kuasa, kronisme, nepotisme, dsb akan menjadi perkara yang paling digeruni oleh parti yang terbabit kerana unsur-unsur itu memungkinkan mereka sukar untuk merampas kekuasaan atau memungkinkan mereka untuk kehilangan tampuk kekuasaan.

Kemarahan rakyat sekarang merupakan manifestasi daripada amalan jelik UMNO-BN yang menyisihkan keadilan ini (benar juga kenyataan TG Dato’ Nik Abdul Aziz yang mengatakan Islam yang diamalkan oleh UMNO Islam plastik). Betul, mereka berjaya memerintah negara ini sejak merdeka hingga kini dengan mengamalkan kaedah balas dendam ini. Tetapi sekarang, bagaimana? Kerana cetek pemahaman tentang erti demokrasi yang sebenarnya, mereka dan rakyat sedang berdepan dengan keharu-biruan yang bertali-temali sehingga melilit batang tenggorok masing-masing.

Percayalah, jika PR yang memerintah Selangor, Kedah, Pulau Pinang, dan Kelantan mengamalkan kaedah yang sama, mereka juga akan gulung tikar. Sesungguhnya kaedah balas dendam merupakan penyalahgunaan kuasa yang paling besar dan kezaliman yang paling dahsyat.

6 comments:

  1. Salam singgah tuan.

    www.rantauanakdesa.blogspot.com

    ReplyDelete
  2. Silakan dan terima kasih kerana sudi singgah.

    ReplyDelete
  3. Satu rencana yang menarik dan amat patut dibaca oleh pimpinan UMNO. That why sampai sekarang saya tetap menyokong PR. BN akan tamat riwayat jika tidak menyedari hakikat ini. Salam.

    ReplyDelete
  4. Salam, Anon;
    Sebagai penyokong, kita wajarlah menyokong pihak yang kita sokong. Tetapi, jika mana-mana peneraju negara mengamalkan keadilan dan menghormati hak semua rakyat (bukan yang menyokong mereka sahaja), kita wajar menyokongnya.

    ReplyDelete
  5. Salam. Siapa yang akan membetulkan semua prilaku UMNO yang terlalu pincang ini. Nak harapkan kepimpinan UMNO ..... dari peringkat majlis tertinggi sampailah kekampung-kampung UMNO telah diserang dengan pelbagai virus. Vaksin untuk menyelamatkan UMNO sampai sekarang belum ditemui samalah dengan vaksin untuk selsema BABI.

    ReplyDelete
  6. Syekh Muaz,
    Sehari dua lalu, DS Najib ada menghebahkan kemurahan hati kerajaan BN untuk memberikan bantuan RM8 juta kepada penduduk Manek Urai. Jika hal ini dilakukan lama dahulu, akan berselisih fahamkah kita soal keadilan seperti sekarang?

    ReplyDelete