Kali ini hamba hendak melarikan diri daripada bercerita tentang hal-hal yang serius – daripada hal yang berkait dengan kesihatan hinggalah hal yang berkait dengan politik. Bukan jelak, tetapi sekadar untuk meredakan keadaan. (Kita tidak boleh jelak dan beralah dalam menyentuh hal-hal yang serius itu kerana hal tersebut tetap datang dan mengacau kita.) Hal yang hendak hamba ketengahkan ini sebenarnya merupakan minat hamba, iaitu perihal bahasa. Kalau tuan hamba mengikuti posting hamba yang awal, akan tuan hamba temukan hakikat ini.
Sewaktu menelaah hal-hal yang berkaitan dengan puasa, hamba temukan sepotong hadis tentang perkara yang sunat dilakukan sewaktu berbuka puasa. Hamba dapati terjemahan hadis itu “mampu” untuk menimbulkan salah faham dan salah pengertian dalam kalangan pembaca. (Tidak usahlah hamba nyatakan judul kitab yang menjadi sumber rujukan itu tetapi yang pasti kitab itu sangat baik dan menjadi rujukan kebanyakan orang. Penulis asalnya yang merupakan seorang ulama muktabar tidak silap dalam hal ini. Yang silap ialah penterjemahnya.)
Sebab itulah kita perlu melazimkan diri kita berbahasa Melayu dengan betul. Hal ini perlu dilakukan begitu kerana melalui bahasa yang betul (baku ejaannya, betul penggunaan sendi namanya, tepat penggunaan imbuhannya, baik susunan ayatnya, dsb), apa-apa idea dan buah fikiran yang hendak kita sampaikan dapat difahami orang dengan mudah serta dapat pula mengelakkan berlakunya salah faham dalam kalangan audiens. Malah, hamba sangat yakin, dengan menggunakan bahasa yang betul dan baik, darjat si pemberi idea akan “meninggi”.
Sebagai contoh, kita sering mengabaikan dan memandang remeh soal penggunaan kata sendi nama dalam pertuturan dan tulisan kita. Sebagai akibatnya, maksud ayat dalam pertuturan dan tulisan kita menjadi kabur dan mengelirukan orang. Perhatikanlah ayat contoh ini:
- Beliau memangku jawatan sebagai pengerusi syarikat itu tahun ini.
- Kapal nelayan itu karam setelah terlanggar kapal kargo.
Dalam ayat 1, disebabkan tidak memanfaatkan kata sendi nama di bahagian predikat, khalayak pembaca kurang jelas tentang maksud ayat tersebut lalu mereka membuat tiga tanggapan yang berbeza sekurang-kurangnya. Tanggapan itu ialah sama ada Beliau memangku jawatan pengerusi syarikat itu sebelum tahun ini, dari/sejak tahun ini, pada/dalam tahun ini, atau hingga/sampai tahun ini. Tanggapan itu timbul hanya kerana ayat itu menafikan peranan kata sendi nama.
Dalam ayat kedua, kita berada dalam kekaburan dan kekeliruan kerana kita tidak tahu “siapa” yang melanggar “siapa” sehingga menyebabkan “kapal nelayan” itu karam. Kita dapat memahami maksud ayat itu jika frasa “terlanggar kapal kargo” disertakan dengan kata sendi nama oleh atau akan menjadi “terlanggar oleh kapal kargo” atau “terlanggar akan kapal kargo”. Jika sendi nama oleh digunakan, tahulah kita bahawa “kapal kargo itu yang melanggar kapal nelayan”. Sebaliknya, jika sendi nama akan digunakan, tahulah kita bahawa “kapal nelayan itu yang melanggar kapal kargo”.
Cukuplah dengan memberikan dua contoh itu untuk membuktikan betapa kealpaan sebilangan orang dalam memanfaatkan kata sendi nama dalam pertuturan dan penulisan mereka akan menimbulkan kekeliruan kepada audiens.
Berbalik tentang hadis yang hamba katakan itu, hamba pasti tuan hamba akan berasa keliru, aneh, dan mungkin lucu. Hal ini demikian kerana penterjemah hadis itu tidak menggunakan kata sendi nama yang sesuai dengan maksud ayat dalam hadis tersebut. Perhatikanlah hadis yang hamba ambil daripada kitab tersebut.
Maksudnya:
“Jikalau seseorang daripada engkau semua itu berbuka, maka berbukalah atas kurma, sebab sesungguhnya kurma itu ada berkahnya, tetapi jikalau tidak menemukan kurma, maka hendaklah berbuka atas air, sebab sesungguhnya air itu suci.”
Apakah pandangan tuan hamba tentang terjemahan hadis itu jika ayat itu difahami mengikut sistem bahasa Melayu? Aneh dan lucu bukan? Rasa aneh dan lucu itu timbul kerana melalui terjemahan hadis itu, kita disunatkan berbuka di atas kurma dan jika tiada kurma kita disunatkan pula berbuka di atas air! Bagaimanakah kita hendak melakukannya? Tergamakkah tuan hamba hendak memijak kurma supaya tuan hamba dapat mencangkung atau berdiri untuk berbuka di atasnya? Atau mampukah tuan hamba untuk berdiri di atas air? Mungkin boleh jika air itu bertakung di dalam lopak tetapi tidakkah tuan hamba kelak akan dikatakan sebagai gila oleh orang kerana setiap kali berbuka tuan hamba keluar mencari lopak-lopak air!
Sebenarnya, yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW melalui hadis Baginda itu ialah:
“Jikalau seseorang daripada kalian berbuka, maka berbukalah dengan (memakan) kurma, sebab sesungguhnya kurma itu ada barokahnya, tetapi jikalau tidak menemukan kurma, maka hendaklah berbuka dengan (meminum) air, sebab sesungguhnya air itu suci.”
Begitulah sedikit kisah tentang kata sendi nama yang menimbulkan pelbagai kekeliruan jika penggunaannya tidak dipraktikkan dengan betul. Kalau kita mengikuti tazkirah dalam bulan puasa ini, kita diberitahu bahawa lailatul qadr itu perlu dicari, perlu diusahakan bukan sekadar menantinya mencari kita. Begitu jugalah halnya dengan bahasa. Kita perlu belajar, perlu berusaha untuk menjadi penutur bahasa Melayu yang baik bukan duduk diam tidak melakukan apa-apa (kerana beranggapan bahawa bahasa kita betul kerana kita Melayu). Perjuangan kita menyanggah pelaksanaan PPSMI mestilah seiring juga dengan perjuangan kita untuk berbahasa dengan betul!
Salam.
ReplyDeleteItulah uniknya bahasa. Itulah istimewanya bahasa kita. Bahasa yang baik adalah cermin kepada minda dan pemikiran yang baik. Bahasa yang bercampur-aduk pula adalah cermin kecelaruan minda dan pemikiran. Malangnya, lebih ramai orang Melayu yang berbangga memiliki minda yang bercelaru dengan menggunakan bahasa yang bercelaru.
Salam, Cikgu Marni;
ReplyDeleteSangat benar lagi betul kata-kata Cikgu itu. Barangkali keadaan yang bercelaru dalam negara kita kini sangat berkaitan dengan kata-kata cikgu: "Bahasa yang bercampur-aduk pula adalah cermin kecelaruan minda dan pemikiran". Persoalannya, dapatkah kita membetulkannya.
Cikgu bacalah komen Pyanhabib tentang PPSMI dalam pojoknya "Racau" dalam Gedung Kartun keluaran 1 September.