Semasa PRK di Permatang Pasir baru-baru ini, Rohaizat Othman telah dipilih oleh UMNO-BN sebagai calon mereka untuk menentang calon PAS-PR, Mohd. Salleh Man. Ternyata, pemilihan Rohaizat (yang mendukung masalah di belakangnya) sebagai calon di Permatang Pasir itu telah membawa musibah kepada UMNO. Beliau kalah dan kekalahan itu ada kaitannya dengan masalah-masalah yang melingkari dirinya itu yang berjaya dimanipulasi dengan sebaik-baiknya oleh pihak PAS-PR.
Sekarang, di Bagan Pinang, nama TS Mohd Isa Abdul Samad dilonjak-lonjakan oleh penyokong-penyokongnya sebagai calon di situ. Mereka seperti melupakan imej Tan Sri itu yang jelas telah tercalar kerana pernah dihukum (digantung keahliannya) selama tiga tahun oleh Lembaga Disiplin Umno atas kesalahan berkaitan amalan politik wang selepas menangi jawatan Naib Presiden dalam Perhimpunan Agung UMNO 2004.
Banyak pihak yang berasa aneh dengan pendirian penyokong-penyokong beliau itu kerana mereka begitu beria-ia hendak mengetengahkan tokoh “comot” itu. Tetapi, saya lebih berasa aneh kerana yang empunya diri tidak menolak gesaan penyokong-penyokongnya itu. Seharusnya, TS Mohd Isa harus menyedari kesan yang bakal timbul ke atas dirinya dan parti yang diwakilinya jika beliau menjadi calon UMNO-BN di situ. Dengan itu, pada pandangan saya, beliau akan menjadi hero jika menolak saranan Pemuda UMNO Teluk Kemang itu. Demi UMNO-BN yang sudah menjadi seperti ais – semakin haus dan haus lalu cair itu – sangat wajar beliau menolak gesaan penyokong-penyokongnya itu supaya tidak menerima nasib yang sama dengan Rohaizat Othman yang dijadikan sasaran bidikan oleh PAS-PR sejak awal pencalonannya sehingga membawa kepada kekalahannya.
Kalah menang adat pertandingan, tetapi tak kan hendak kalah senantiasa!
Biarkan si luncai terjun dengan labu-labunya... Biarkan... Biarkan...
ReplyDeletePada hari ray ketiga yang lalu, saya telah menziarahi seorang pak cik yang tinggal di Port Dickson. Kebetulan, beliau adalah pengundi DUN Bagan Serai (penyokong tegar UMNO juga). Apabila ditanya soalan "Banyakkah yang 'masuk' ke poket sempena PRK tidak lama lagi?", dia hanya tersenyum senang. Apa pun, kami 'faham-faham sendiri' apabila melihat jalan masuk ke kawasan perumahannya begitu cantik kerana baru lepas diturap. Hehehehe...
Salam Raya, Cikgu;
ReplyDeleteFenomena biasa setiap kali PRU atau PRK. Itu yang Dato' Kadir Jasin kata, pendekatan oleh pemerintah kena ubah. Kempen merasuah cara itu tidak dapat diterima pengundi sekarang. Pengundi dulu bolehlah sebab pembangunan perkara baharu bagi mereka pada waktu itu. Sekarang, pembangunan sudah menjadi perkara biasa. Pengundi dulu yang sudah menjadi pengundi sekarang pun jelak dengan janji sedemikian. Betullah tu, biarkan Luncai terjun dengan labu dan labucinya.