Wednesday, September 30, 2009

Kecurangan Isteri di dalam Mimpi: Bagaimanakah Perasaan Anda?

Saya beberapa kali bermimpi tentang isteri saya bermain kayu tiga, isteri saya diurat orang, dan beberapa keadaan lain yang ada kaitannya dengan hal yang sedemikian walhal sehingga kini isteri saya, alhamdulillah, sangat setia dan jujur, malah banyak membantu saya (walaupun kadang-kadang beliau mudah “berangin”).

Semasa saya bermimpi tentang perkara seperti itu pada kali pertama, rasa marah, rasa cemburu, dan rasa yang seangkatan dengannya begitu membuak-buak walhal tahap kecemburuan saya hanya 0.001 pada skala Richter! Dalam mimpi itu, saya merasakan seperti hendak membelasah kedua-duanya, iaitu isteri saya dan pasangannya, tetapi saya tidak ingat adakah perasaan untuk membunuh kedua-duanya wujud dalam diri saya semasa saya bermimpi itu.

Perasaan itu (cemburu dan marah) terbawa-bawa sehingga saya dapat merasa dan mendengar nafas saya mendengus-dengus dan apakala mata dicelikkan, saya hampir-hampir tidak berjaya mengawal kemarahan dan kecemburuan itu. Cuma setelah saya dapat menguasai situasi “mamai” selepas terjaga daripada mimpi itu, barulah kewarasan kembali menguasai fikiran. Namun demikian, debar sebagai akibat marah dan cemburu itu masih berbaki.

Sehingga malam tadi, saya bermimpi tentang hal yang serupa lagi (tetapi tahap kemarahan dan kecemburuan saya pada kali ini sangat minimal). Sekarang saya terfikir, seandainya perasaan dan fikiran saya yang di dalam mimpi itu terjelma dalam alam realiti dan kemudiannya syaitan laknatullah menunggangi perasaan dan fikiran saya itu, apakah natijahnya? Na‘uzubillah, jauhkanlah saya daripada kejahatan syaitan itu. Saya sayang akan isteri saya!

Jadi, nasihat saya kepada anda, basuhlah kaki sebelum tidur!

[PEMBETULAN!!! Saranan membasuh kaki itu cuma idea tuk nenek kita kerana yang sebenarnya, yang lebih baik, yang lebih afdal ialah basuhlah muka, basuhlah tangan, basuhlah dahi, dan kemudian sekali barulah membasuh kaki – setiap satunya perlu dibasuh tiga kali! Dengan kata yang lebih mudah, BERWUDUKLAH sebelum membuta!]

Tuesday, September 29, 2009

TG Nik Abdul Aziz dan DP Ibrahim Ali: Yang Menuntut Jasa dan Yang Melupakan Jasa

Hendak dikatakan ANEH, macam TIDAK ANEH; hendak dikatakan TIDAK ANEH, macam ANEH pulak! Tetapi, itulah realiti yang berlaku dalam POLITIK. Yang pernah duduk bergesel bahu, makan sepinggan, minum secawan pun boleh berseteru sampai mencaci maki. Yang saling mencaci maki pula tup-tup boleh tidur sekatil dan sebantal tetapi alhamdulillah tidaklah sampai ke tahap saling merodok (maaf, kasar sikit) atau bertukar-tukar pasangan. Malah, ada kalangan tokoh politikus yang dibebaskan dari penjara dengan usaha sahabatnya dalam kerajaan (politikus juga) yang melawan sahabatnya yang berjasa itu.

Saya tertarik untuk menyentuh hal ini apabila mengikuti telatah Dato’ Paduka (DP) Ibrahim Ali yang telah ber“perang mulut” dengan tokoh besar PAS, TG Dato’ Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Kita semua sangat sedia maklum bahawa DP Ibrahim Ali ini ialah tokoh Bebas yang bertanding dengan menggunakan lambang “Bulan” PAS dalam PRU yang lalu dengan restu TG itu. Tetapi, kita semua berasa janggal apabila DP itu tergamak untuk memberikan 10 dalil/hujah yang mewajarkan TG Dato’ Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat mengosongkan kerusi MB Kelantan yang disandangnya sejak tahun 1990 itu.

Yang berikut ini ialah 10 hujah yang dikemukakan oleh DP Ibrahim:

  • TG Dato’ Nik Abdul Aziz sudah terlalu lama bergelar wakil rakyat dan Menteri Besar. Beliau “barang lama” manakala naluri manusia pula sentiasa berkehendakkan sesuatu yang baharu.
  • TG Dato’ Nik Abdul Aziz sudah nyanyuk kerana bercakap tanpa usul periksa apabila menerima maklumat selain melupakan jasa Ibrahim yang bekerjasama sewaktu kerajaan PAS Kelantan berada pada kedudukan getir.
  • TG Dato’ Nik Abdul Aziz kerap uzur sedangkan kesihatan yang baik ialah syarat utama untuk menjadi ahli politik.
  • TG Dato’ Nik Abdul Aziz tidak menumpukan tugasnya sebagai Menteri Besar kerana asyik berceramah selain diperalat oleh beberapa individu dalam PAS Kelantan.
  • TG Dato’ Nik Abdul Aziz tidak cekap mentadbir dan jauh sekali mempunyai idea dan kreativiti yang amat diperlukan dalam era dunia tanpa sempadan.
  • TG Dato’ Nik Abdul Aziz menjadi alat DAP walaupun parti itu secara terang-terangan menentang pelaksanaan negara Islam yang menjadi cita-cita PAS.
  • TG Dato’ Nik Abdul Aziz menjadi alat pakatan pembangkang untuk menghalalkan agenda memecahkan perpaduan umat Islam dan bangsa Melayu selain mempergunakan Islam untuk kepentingan politik.
  • Banyak pemimpin PAS Kelantan dan pusat mahu beliau meletak jawatan cuma mereka tidak berani bersuara.
  • TG Dato’ Nik Abdul Aziz mempunyai sikap riyak dan takbur kerana menganggap hanya beliau sahaja yang betul dari segi Islam sehingga sanggup menghukum bahawa ibadah orang yang tidak sehaluan dengannya tidak diterima Tuhan.
  • TG Dato’ Nik Abdul Aziz gagal mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat Kelantan walaupun mempunyai kekuatan modal insan yang rajin bekerja selain kaya dengan hasil bumi, budaya, mahupun kepelbagaian makanan.

Sebab-musabab yang mendorong DP Ibrahim Ali menggariskan 10 hujah tersebut adalah kerana TG Dato’ Nik Abdul Aziz telah mengulangi desakannya supaya DP itu meletakkan jawatan jika mahu amal baiknya diterima Allah SWT kerana rezeki yang diperoleh melalui jawatan tersebut adalah “tidak betul”. Desakan itu dibuat oleh TG itu kerana tindak-tanduk politik DP itu semakin berlawanan dengan hala tuju PAS.

Semasa menggariskan hujah itu, DP Ibrahim Ali menjelaskan bahawa saranan beliau itu bukan bermotifkan dendam peribadi, malah beliau turut mengakui bahawa beliau juga mempunyai kelemahan. Menurut beliau, yang mendorongnya untuk meluahkan saranan dan hujah itu adalah kerana orang lain tidak mempunyai keberanian untuk mengatakannya.

“Saya tahu perkara ini akan menyebabkan saya ‘dibelasah’ dalam blog tapi saya menerimanya dengan senang hati.

“Saya tiada masalah peribadi dengan Nik Aziz, beliau nak kecam saya, hukum saya masuk neraka pun saya tak kecil hati tetapi saya kena tegur untuk kebaikan agama bangsa dan negara,” katanya lagi.

Kerana hujah dan saranannya yang menyuruh TG Nik Abdul Aziz meletakkan jawatan sebagai MB dan Wakil Rakyat itu, Tuan Guru itu telah berkata, “Tua apa salahnya, kalau muda pun hanya sampah apa guna?”

Menarik jawaban TG Dato’ Nik Abdul Aziz itu tetapi jawaban itu akan lebih menarik jika beliau mencabar DP Ibrahim supaya mereka sama-sama meletakkan jawatan dan kemudian bertanding antara satu sama lain. TG itu mencabar kerusi Parlimen P22 Pasir Mas yang “diduduki” oleh DP itu manakala DP itu mencabar kerusi DUN N6 Cempaka yang “diduduki” oleh TG itu. Kalau UMNO-BN rasa perlu, jadikanlah DP Ibrahim sebagai calonnya. Kalau tidak, selitkanlah diri untuk bertanding di celah-celah kedua-duanya. Yang lebih bagus, oleh sebab pertarungan itu bersifat peribadi, biarlah kedua-duanya itu bergasak sesama sendiri.

Apa-apa pun tidak mungkin hal itu akan menjadi realiti. Silap-silap DP Ibrahim akan memanfaatkan taktik yang diguna pakai oleh Amru al-As yang telah memperdayakan Abu Musa as-Syaari dalam peristiwa tahkim yang berlangsung selepas gencatan senjata di Siffin semasa Sayidina Ali menjadi khalifah dahulu. Itu pun kalau beliau menjangkakan TG itu tidak cerdik dan memang benar-benar sudah uzur dan nyanyuk!

DP Ibrahim Ali pasti mendapat sokongan moral dari Y. Bhg Tun Dr Mahathir yang tampaknya menyokong saranan DP itu.

Politik, politik! Memang serba mungkin.

Monday, September 28, 2009

Berani: Apakah yang Kita Dapat?

EDI RIZAL RAMLI, 32 tahun – anak ketiga pelakon veteran, Norlia Ghani – meninggal dunia kerana terjatuh dari tingkat tujuh Pangsapuri Murni Titiwangsa. Tragedi itu berlaku sekitar jam 1:40 petang tatkala dia berusaha untuk memberkas pencuri yang bersembunyi di anjung sebuah rumah di tingkat itu. Dalam usahanya hendak memberkas pencuri itu, dia telah bertindak menyeberang tembok koridor tetapi usahanya itu gagal kerana dia telah tergelincir dan jatuh ke bumbung sebuah rumah di tingkat dua sebelum terjatuh ke tingkat bawah. Dia dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) oleh penduduk dan disahkan meninggal dunia sebaik-baik sahaja tiba di hospital. Al-Fatihah untuk beliau dan sama-samalah kita berdoa agar beliau ditempatkan bersama-sama dengan para syuhada, insya-Allah.

SEORANG JURUTERA SEBUAH SYARIKAT MINYAK TERKEMUKA WARGA AMERIKA SYARIKAT cedera ditembak dari jarak dekat oleh salah seorang daripada dua orang penjenayah tatkala beliau hendak menyelamatkan seorang wanita warga emas daripada disamun oleh kedua-dua orang penjenayah itu. Kejadian itu berlaku pada jam 1:30 tengah hari di Plaza Mont Kiara. Sebelum ditembak, berlaku pergelutan antara warga AS itu dengan salah seorang penjenayah yang mencuba untuk menyamun warga emas itu. Rakan penjenayah yang melihat kejadian itu telah melepaskan satu das tembakan dari jarak kurang daripada lima meter dan menembusi dada kiri jurutera itu sebelum rebah dan tidak sedarkan diri. Beliau telah dikejarkan ke hospital berhampiran untuk menerima rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil.

Alangkah malangnya nasib mangsa-mangsa daripada dua tragedi itu! Niat murni mereka untuk membanteras jenayah bagi menjamin kemananan setempat telah menyebabkan nyawa mereka diancam maut. Yang satu benar-benar maut dan yang satu lagi di ambang maut.

Apakah kesan daripada kejadian itu? Saya yakin, dengan kejadian itu, kita akan lebih menghargai nyawa kita. Dengan kata lain, banyak orang yang akan berpendirian “lihat dan biarkan” kejadian seperti itu berlaku. Jangan menyibuk! Jangan cuba-cuba untuk memperlihatkan ketangkasan dan keberanian walaupun ilmu seni pertahahanan diri yang dipelajari sudah sampai ke tahap tali pinggang hitam dan sebagainya. Ingat, kehebatan dalam ilmu seni pertahanan diri bukan untuk bertempur melawan musuh tetapi untuk mengutip pingat emas, perak, atau gangsa dalam Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Olimpik, dan sebagainya. Biarlah pencuri, penyamun, perogol bermaharajalela asalkan nyawa kita selamat. Biarlah dan lihatlah sahaja warga emas itu disamun, janganlah bertindak berani membabi buta untuk menyelamatkannya.

Mengapakah banyak orang berpendirian demikian? Jawabannya sudah tentulah kerana mereka merasakan nyawa mereka lebih berharga daripada mangsa curi dan mangsa samun itu. Mungkin juga mereka berpendirian demikian kerana sedar bahawa mereka tidak akan dikurniai gelaran Dato’ atau sekurang-kurangnya Pingat Gagah Berani (PGB) daripada keberanian dan pengorbanan mereka itu nanti. Atau pendirian itu mungkin juga timbul kerana mereka beranggapan bahawa kerja membanteras jenayah itu tanggungjawab polis, bukan tanggungjawab mereka.

Sebenarnya, tanggungjawab membanteras jenayah demi mewujudkan keamanan di negara ini merupakan tanggungjawab pemimpin, tidak kiralah di peringkat setempat, mukim, daerah, negeri, ataupun negara. Merekalah yang harus memulakannya supaya dapat diteladan oleh rakyat jelata. Bukankah hal ini telah dilakukan oleh DYMM Sultan Alauddin Ri‘ayat Syah semasa menjadi raja Melaka dahulu? Mengapakah iltizam baginda itu tidak dijadikan teladan?

Biasalah, selagi tidak kena batang hidung sendiri, kita tetap akan berpeluk tubuh, mengejapkan sila, dan memicingkan mata apabila berdepan dengan situasi begitu. EDI RIZAL RAMLI dan JURUTERA WARGA AMERIKA SYARIKAT itu hanya sebahagian kecil daripada orang yang berbeda pendirian dengan kita. Akan di‘PGB’kankah mereka itu? Jangan mimpilah.

Friday, September 25, 2009

Menanti Waktu untuk Menjadi Hero

Semasa PRK di Permatang Pasir baru-baru ini, Rohaizat Othman telah dipilih oleh UMNO-BN sebagai calon mereka untuk menentang calon PAS-PR, Mohd. Salleh Man. Ternyata, pemilihan Rohaizat (yang mendukung masalah di belakangnya) sebagai calon di Permatang Pasir itu telah membawa musibah kepada UMNO. Beliau kalah dan kekalahan itu ada kaitannya dengan masalah-masalah yang melingkari dirinya itu yang berjaya dimanipulasi dengan sebaik-baiknya oleh pihak PAS-PR.

Sekarang, di Bagan Pinang, nama TS Mohd Isa Abdul Samad dilonjak-lonjakan oleh penyokong-penyokongnya sebagai calon di situ. Mereka seperti melupakan imej Tan Sri itu yang jelas telah tercalar kerana pernah dihukum (digantung keahliannya) selama tiga tahun oleh Lembaga Disiplin Umno atas kesalahan berkaitan amalan politik wang selepas menangi jawatan Naib Presiden dalam Perhimpunan Agung UMNO 2004.

Banyak pihak yang berasa aneh dengan pendirian penyokong-penyokong beliau itu kerana mereka begitu beria-ia hendak mengetengahkan tokoh “comot” itu. Tetapi, saya lebih berasa aneh kerana yang empunya diri tidak menolak gesaan penyokong-penyokongnya itu. Seharusnya, TS Mohd Isa harus menyedari kesan yang bakal timbul ke atas dirinya dan parti yang diwakilinya jika beliau menjadi calon UMNO-BN di situ. Dengan itu, pada pandangan saya, beliau akan menjadi hero jika menolak saranan Pemuda UMNO Teluk Kemang itu. Demi UMNO-BN yang sudah menjadi seperti ais – semakin haus dan haus lalu cair itu – sangat wajar beliau menolak gesaan penyokong-penyokongnya itu supaya tidak menerima nasib yang sama dengan Rohaizat Othman yang dijadikan sasaran bidikan oleh PAS-PR sejak awal pencalonannya sehingga membawa kepada kekalahannya.

Kalah menang adat pertandingan, tetapi tak kan hendak kalah senantiasa!

Friday, September 18, 2009

Salam Kemaafan dan Selamat Berlebaran

Berblog dan meluahkan apa-apa yang terbuku dan terpendam di dalam hati sangatlah menyeronokkan dan dapat dikatakan sangat memuaskan hati. Makumlah, apa-apa yang membuku dan mengetul dapat diluahkan dan kemudiannya dikongsi bersama-sama dengan pemblog lain. Alhamdulillah, kita menjadi sebahagian daripada warga pemblog (blogger) yang berhemah dan bersantun seperti Melayu yang ditanggapi oleh Almarhum Datuk Dr. Usman Awang:

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan


Namun, selembut mana pun bicara, selincah mana pun kita menyusun kata, upaya kita untuk menyisihkan rakan dan teman daripada terluka hati, tersentuh rasa sangatlah terbatas. Ada rakan yang menyimpannya dan ada yang terasa sebentar dan kemudian lupa dan memaafkan.

Maka, atas nama persahabatan, atas nama setia kawan, atas nama hormat, atas nama kasih sayang, dengan sedetik demi sedetik berlalunya Ramadhan untuk mengucapkan ahlan wa sahlan kepada Syawal, hamba memohon ampun dan maaf – zahir dan batin – kepada rakan-rakan di Blog jika selama ini hamba tersilap kata, terlangsung bicara. Kepada pemuka-pemuka negara yang sering menjadi bahan teguran (bukanlah hamba hendak mencela tetapi membetulkan dan mengingatkan), hamba juga memohon ampun dan maaf kepada kalian. Semoga kita mendapat maghfirah Allah SWT sepanjang bulan Ramadhan ini dan dibebaskan daripada api neraka pada penutup Ramadhan. Jika tidak, tiadalah KEMENANGAN untuk diraikan!

Selamat Berlebaran. Peliharalah diri dan IMAN pada hari itu dan hari-hari seterusnya seperti kita memelihara diri dan IMAN kita sepanjang Ramadhan.

Wednesday, September 16, 2009

Dua Keping Gambar yang Bercerita

YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, dan Pengerusi Proton, Datuk Nazmi Mohd Salleh, menunjukkan replika kereta F1 1Malaysia. Pasukan F1 1Malaysia akan membuat penampilan sulung dalam Kejuaraan Formula Satu (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mulai tahun depan.

YAB Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan sumbangan zakat kepada bekas anggota polis bersempena dengan majlis tahlil dan sumbangan zakat kepada fakir miskin serta majlis berbuka puasa di Surau Saadiah, Muar.

Yang manakah yang perlu didahulukan atau diutamakan — RAKYAT atau PENCAPAIAN? Yang manakah yang penting — mengegahkan dan menguar-uarkan gagasan 1Malaysia dengan cara membazir atau mewujudkan kesejahteraan dan kemakmuran kepada rakyat dengan cara memberikan bantuan kepada mereka? Kita kurang jelas kerana mereka mengambil langkah yang mengaburkan kita.

Apakah manfaat yang diperoleh oleh bekas anggota polis (serta jutaan rakyat yang senasib dengannya) yang jasa mereka sebesar gunung itu daripada pasukan F1 1 Malaysia itu kelak? Sedangkan sehingga kini, penganjuran F1 yang sudah berlanjutan selama bertahun-tahun oleh negara ini tampaknya tidak memberikan manfaat apa-apa kepada bekas anggota polis di dalam gambar itu. Kalau ada manfaatnya, tentulah manfaat itu telah melimpah-ruah kepada rakyat marhaen dan dengan demikian tidaklah sampai bekas anggota polis itu terkategori sebagai salah seorang asnaf.

Pasukan F1 1Malaysia itu kelak akan dibiayai oleh gabungan sektor awam dan swasta dengan pembabitan kerajaan menerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Proton Holdings Berhad. Alangkah baiknya kalau biaya itu disalurkan kepada bekas-bekas polis, tentera, bomba dan penyelamat, dan lain-lain yang hidup susah dan melarat! Jika dilihat kepada jasa yang dicurahkan mereka, mereka tidak sepatutnya susah dan melarat.

Lagipun, sejauh manakah penubuhan pasukan F1 1Malaysia itu dapat membantu kerajaan 1 Malaysia menambah undi mereka dalam mana-mana pilihan raya kelak? Taburkanlah kesenangan dan kemakmuran kepada rakyat, rakyat pasti akan menaburkan tanda terima kasihnya dengan memberikan undi tidak berbelah bahagi kepada pemerintah.

Saya seperti terpandang-pandang, RAKYAT dan PENCAPAIAN (daripada gagasan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan) tidak boleh jalan seiring.
(*Sumber gambar: Bernama dan Berita Harian)

Monday, September 14, 2009

Makna Hari Raya kepada Orang-orang Tertentu

Pada dua hari yang berbeza, saya bertanya kepada dua orang kenalan yang bekerja di syarikat swasta seperti saya, bagaimanakah persediaan mereka dalam menyambut hari raya pada tahun ini. Saya sekadar bertanya, bukan nak tahu sangat pun. Tetapi, oleh sebab kedua-duanya memberikan jawaban yang hampir sama, iaitu “Tak tahu lagi”, keinginan untuk tahu itu sedikit membuak.

“Eh, kenapa pulak tak tahu lagi? Ada yang tak kena ke?”

“Raya kan 20 hari bulan....” Begitulah kata mereka, lebih kurang sama walaupun saya menanyakan soalan itu pada dua hari yang berbeza, di lokasi yang berbeza, dan kepada kenalan yang berbeza.

Saya tidak faham. “Kalau 20 hari bulan, mengapa pulak?”

Kenalan saya yang pertama hanya menjawab, “Faham-faham sajalah!” sambil tersenyum dan saya tidak bertanya lebih mendalam lagi kerana saya mengagak bahawa kenalan wanita saya itu mungkin kecewa kerana terpaksa mengambil cuti lebih awal dan lebih panjang untuk pulang ke kampung suaminya.

Tetapi lain pula halnya dengan kenalan lelaki saya. Sewaktu saya mengungkapkan pertanyaan “Kalau 20 hari bulan, mengapa pulak?”, dia seperti “marah”.

“Ai!” Tinggi sekali “ai”nya. “20 haribulan engkau ingat dah gaji ke? Aku ni di swasta, tak ada Union yang nak fight untuk dapatkan gaji awal daripada majikan. Kalau tak ada gaji, nak Raya macam mana?”

Dahi saya berkerut. Oh, itu puncanya! Gaji yang menjadi masalah untuk beraya. (Dengan “kemarahan” itu, barulah terjawab akan makna senyuman kenalan wanita saya sebelum itu. Saya telah berdosa kepadanya kerana berprasangka buruk terhadapnya.)

“Kita ni, Zul, Raya tak ada apa-apa maknanya sangat. Dapat sempurnakan puasa, buat ibadat sikit-sikit, kemudian pada Hari Raya bermaaf-maafan dengan mak bapak, adik-beradik, sahabat handai, cukuplah. Tapi anak-anak lain. Mereka nak baju Raya, nak kasut Raya, nak duit Raya, nak balik kampung. Kalau balik kampung kena isi minyak, kena bayar tol. Tol pergi balik sudah hampir RM60.00, petrol lebih kurang RM400.00. Mak bapak, adik-adik, dan anak-anak buah perlu juga diberi sedikit duit raya. Mana nak cekau duit kalau tak gaji?”

“Tapi, kan engkau dah beli baju Raya anak-anak engkau?” spontan saya bertanya.

“Sebab itulah gaji awal tu perlu. Duit gaji bulan lepas habis untuk persiapan mereka dan untuk tempahan kuih raya. Bukannya engkau tak tahu, baik seluar baik baju, baik kuih Raya semuanya mahal! Minyak pun mahal!”

Saya diam. Memang semua barang mahal, kata hati saya. Dan apabila otak saya mencerna “kemarahannya” itu, saya menyimpulkan bahawa gaji memang penting, apatah lagi semasa perayaan. Sesungguhnya, kepada orang yang banyak mempunyai anak, yang kampung halamannya jauh, yang isterinya suri rumah sepenuh masa, yang pendapatannya sekadar cukup untuk dibelanjakan tetapi tidak cukup untuk ditabung, pemberian gaji yang lebih awal memberikan makna yang sangat besar kepada mereka untuk menyambut Hari Raya.

Kakitangan awam beruntung. Mereka dapat gaji awal pada setiap perayaan. Tetapi kakitangan swasta bergantung pada majikan sepenuhnya. Kalau majikan memang berpegang pada prosedur syarikat – bahawa gaji hanya diberikan pada akhir bulan (antara 27-31 hari bulan) – jilat sahajalah jari.

Kalau Sayidina Umar al-Khattab bergegas mengambil bahan makanan untuk seorang ibu yang semasa baginda meronda sedang memasak batu untuk “mensaiko” anaknya yang kelaparan, apakah yang dilakukan oleh pemerintah kita kepada keluarga yang seperti ini? Tidak mahukah mereka (sebulan atau dua bulan sebelum Hari Raya) menasihati syarikat swasta supaya memberikan gaji awal kepada pekerja mereka bersempena dengan sambutan Hari Raya yang bakal menjelang? Bukan apa, sekadar memperlihatkan keprihatinan!

Dan saya terfikir, sambutan Hari Raya para peminta sedekah (di bazar-bazar Ramadhan sepanjang bulan puasa ini) mungkin lebih meriah daripada kakitangan swasta yang tidak menerima gaji awal.

Thursday, September 10, 2009

Kepala Lembu yang Melembukan Banyak Orang

Kesian orang Melayu, kesian orang Islam di negeri berdaulat yang beragamarasmikan Islam, berajakan Melayu-Islam, berMenteriBesarkan Melayu-Islam, bermuftikan Melayu-Islam ini. Kesian, sangat kesian! Berkaca-kaca mata saya apabila mengenangkan hal ini. Segala-gala yang dilakukan banyak sudah yang tidak menyebelahi mereka. Raja, Menteri Besar, Mufti semuanya seperti tidak hendak membantu mereka.

Kesian Melayu-Islam. Tidak banyak orang yang ambil peduli akan rintihan mereka, keluhan mereka, permintaan mereka. Kesian. Mereka tidak suka kuil besar dibina di tengah-tengah mereka. Bantahan itu sesuai dengan keadaan semasa di tempat mereka. Mereka terdiri daripada sekitar 290 buah keluarga sedangkan orang yang hendak menggunakan kuil itu hanya terdiri daripada sekitar 40 buah keluarga!

Kesian Melayu-Islam. Kerana rintihan mereka, keluhan mereka, permintaan mereka tidak ada yang hendak ambil peduli, bertindaklah mereka dengan cara mereka. Sekerat dua orang Melayu-Islam telah menggunakan idea pelik tetapi “simbolik” untuk menggambarkan bantahan mereka. Mereka telah membawa KEPALA LEMBU. Saya ulang, KEPALA LEMBU! Kesian KEPALA LEMBU. Kesian Melayu-Islam.

Mereka membawa KEPALA LEMBU – saya ulang, KEPALA LEMBU – bukan untuk apa-apa tetapi bukan juga saja-saja. Ada tujuannya, ada matlamatnya. Tujuannya hanyalah hendak menggambarkan otak ORANG YANG MEMBUAT KATA PUTUS dalam hal pembinaan kuil besar di tempat mereka itu tidak cerdik sama seperti otak yang ada dalam KEPALA LEMBU yang dibawa mereka. Itulah sahaja matlamat mereka.

Memanglah mereka tidak patut menggambarkan si pembuat kata putus tidak cerdik macam otak lembu tetapi begitulah kelazimannya. Orang marah sering menghalalkan cara untuk memuktamadkan matlamat. Memang begitu sifatnya orang marah apatah lagi setelah keluhan, rintihan, permintaan mereka ditongsampahkan, dialamflorakan. Marahnya mereka itu sampai ke tahap memijak-mijak KEPALA LEMBU. Kesian KEPALA LEMBU! Kesian Melayu-Islam.

Hendak dijadikan cerita, rupa-rupanya KEPALA LEMBU ialah “makhluk suci” bagi orang-orang yang hendak membina kuil besar itu. Rupa-rupanya, selama ini orang-orang yang hendak membina kuil besar itu mempertuhankan KEPALA LEMBU, mempersuci KEPALA LEMBU! (Terkejut saya kerana tidaklah saya ketahui demikian halnya! Rasa saya, orang Melayu-Islam yang membuat protes itu juga tidak tahu akan hal itu.)

Oleh sebab KEPALA LEMBU “makhluk suci”, perbuatan sekerat dua orang Melayu-Islam membawa dan memijak KEPALA LEMBU itu telah “menggores” hati orang yang hendak membina kuil besar. Hal ini demikian kerana perbuatan sekerat dua orang Melayu-Islam membawa dan memijak KEPALA LEMBU itu “seperti” mempersenda-sendakan kepercayaan mereka, memperolok-olokkan “Tuhan” atau “makhluk suci” mereka.

Hendak dijadikan cerita juga, rupa-rupanya bukan hati orang yang hendak membina kuil besar itu sahaja yang “tergores” oleh perbuatan sekerat dua Melayu-Islam itu. Hati orang yang memegang leher rakyat pun “tergores” juga rupa-rupanya. Sehingga demikian, berkatalah orang-orang yang memegang leher rakyat bahawa kita tidak boleh menghina agama orang lain. Kita mesti bersefahaman demi perpaduan!

Kesian Melayu-Islam, kerana selalunya mereka sahajalah yang diminta memperlihatkan persefahaman dengan orang yang bukan Melayu atau bukan Islam walaupun sepatutnya orang yang bukan Melayu atau bukan Islamlah yang harus memahami kehendak majoriti. Kesian. (Khabarnya, di negeri orang yang hendak membina kuil besar itu terdapat lebih daripada 810 buah kuil (tidak termasuk yang ilegal) bagi menampung “ibadat” 647 000 orang penganutnya. Tidak bersefahamankah Melayu-Islam dengan orang yang bukan Melayu atau bukan Islam?

Cerita itu rupa-rupanya tidak tamat di situ sahaja. Orang-orang yang memegang leher rakyat merasakan perbuatan sekerat dua Melayu-Islam itu ada unsur hasutan “yang memungkinkan perbalahan kaum”. Maka, pada 09.09.09, diangkutlah orang Melayu-Islam yang mengusung KEPALA LEMBU itu ke mahkamah. (Apabila diangkut ke mahkamah, timbullah persepsi bahawa mereka itu BERSALAH.) Kesian Melayu-Islam.

Dua belas orang telah dituduh di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan atas tuduhan pilihan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana “menimbulkan rasa tidak puas hati dan permusuhan penganut agama ***** dan sengaja melukakan perasaan penganut agama *****”. Mereka kemudiannya bersama dengan enam orang yang lain dihadapkan di Mahkamah Majistret atas tuduhan menyertai perhimpunan haram mengikut Seksyen 27(5)(a) Akta Polis.

Allahu Akbar, Melayu-Islam!

[CATATAN: Saya tertanya-tanya, betulkah KEPALA LEMBU makhluk suci orang yang hendak membuat kuil besar itu? Ah, kalau kita bertanya kepada orang yang hendak membuat kuil besar itu sendiri, saya yakin bahawa mereka akan berkata TIDAK! Sebabnya? Kerana yang suci kepada mereka ialah keseluruhan LEMBU, bukan KAKI LEMBU, EKOR LEMBU, PUTING LEMBU, KO*** LEMBU, TE*** LEMBU, atau KEPALA LEMBU semata-mata.

Pada saya, orang yang menganggap KEPALA LEMBU itu makhluk suci orang yang hendak membuat kuil besar itu memang LEMBU
! Dan saya hendak bertanya, betulkah yang diusung oleh sekerat dua orang Melayu-Islam yang kini telah dikenakan pertuduhan seperti di atas itu KEPALA LEMBU? Entah-entah KEPALA SELEMBU!]

Wednesday, September 9, 2009

Nota Singkat untuk Fikiran yang Panjang

Rakyat kita di Indon sedang diugut oleh segelintir rakyatnya yang benar-benar marah kepada kita. Khabarnya, mereka (rakyat Indon itu) membawa bambu runcing di tengah-tengah kota Jakarta (Jalan Deponegoro) untuk mengesan, menahan, mengusir, (dan membunuh?) rakyat Malaysia. Tindakan mengikut hati dan perasaan itu dilakukan mereka gara-gara:
  1. kita telah “menganiaya” pembantu rumah bangsa Indon – Siti Hajar, Nirmala Bonat (tidak kita beri pembelaan?);
  2. KONONNYA kita telah menganiaya buruh rakyat Indon – yang ditahan di kem tahanan Semenyih (pekerja sah?);
  3. KONONNYA pembesar kita telah menzalimi rakyat mereka – Manohara (“ratu hati” dan “ikon kesopanan” wanita Indon?);
  4. KONONNYA kita telah mencuri dan mengakui budaya mereka sebagai budaya kita – tarian Pendet (yang lemah-gemalai, yang separa bogel, yang menyakitkan tubuh jika tidak ditarikan hari-hari?);
  5. KONONNYA kita telah memeras tenaga rakyat mereka dengan mengganjarkan mereka dengan upah yang sedikit – pembantu rumah bangsa Indon (yang kita babu-babukan?);
  6. KONONNYA kita telah menciplak lagu mereka menjadi lagu kebangsaan kita – “Terang Bulan” (penggubah asalnya, Pierre-Jean de Béranger (1780-1857) orang Indonesia dan negeri Perak itu jajahan Indonesia?);
  7. KONONNYA kita telah “menempatkan” pengganas kita di Indon – Azahari (sudah jadi arwah) dan Noordin Mat Top (untuk menjahanamkan Indon?).

Gugatan yang terlahir daripada mainan media massa Indon itu ternyata telah berjaya membangkitkan sentimen anti-Malaysia di hati sebilangan kecil rakyat Indon. Mainan dan provokasi media mereka telah menyebabkan tertubuh beberapa badan sukarela dan sukarelawang (suka dan rela kerana wang) seperti sukarelawan ilmu kebal dan Benteng Demokrasi Rakyat (BENDERA) yang matlamatnya hendak “berperang” dengan Malaysia. (Ah, perang? Pejuang Gerakan Aceh Merdeka yang bilangannya tidak banyak itu pun tidak berjaya diperangi apatah lagi ditumpaskan, hendak berperang dengan Malaysia pula?)

Yang menyebabkan otak saya dihujani ribuan tanda soal ialah mengapakah semenjak DS Mohd. Najib menjadi PM ini, pelbagai isu timbul sehingga menghangatkan sudut-sudut tertentu hubungan Malaysia-Indonesia? Ya, memang sebelum ini (sebelum DS Mohd. Najib bergelar PM) memang ada sosek-sosek panas yang menghangatkan hubungan Malaysia-Indon, terutama selepas Pulau Sipadan (yang menjadi tuntutan bertindih antara dua negara) menjadi milik Malaysia. Mereka telah menjadi sangat sensitif!

Tetapi, tampaknya keadaan semasa agak berbeda pada waktu DS Mohd. Najib mejadi PM. Saya katakan berbeda kerana mereka (rakyat Indon) sampai tergamak membakar Jalur Gemilang dan berhasrat pula hendak membamburuncingkan rakyat Malaysia di negara mereka semata-mata kerana tarian Pendet, kerana Manohara, kerana Terang Bulan vs Negaraku, kerana pembantu rumah, kerana PATI, kerana Noordin Mat Top. (Berapa ya jumlahnya rakyat Malaysia di Indon dan rakyat Indon di Malaysia?)

Ya, saya sangat curiga dengan situasi ini kerana provokasi-provokasi ini seperti mahu memperlekeh kePerdanaMenterian DS Mohd. Najib. Hal yang berlaku sekarang seakan-akan sama dengan sejarah Soekarno memperlekeh kePerdanaMenterian Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj! Susilo Bambang Yudhoyono bermasalahkah dengan DS Mohd. Najib? Tidak mungkin!

CATATAN:

  1. Kita dicurigai di Ambalat tetapi akhirnya Exxon-Mobil dengan mudah dapat menguasai dan mengelola Blok Natuna di Riau.
  2. Kita berharap agar memang benar bahawa orang yang membawa bambu runcing, yang membakar Jalur Gemilang, dan yang lain-lain itu hanyalah orang Indon upahan yang memerlukan (membutuhkan?) wang. Orang yang memerlukan wang di Indon memang tega untuk melakukan apa-apa pun hatta mati sekalipun (tragedi perebutan wang zakat di Pasuruan adalah antara contohnya).
  3. Saya ragu-ragu, benarkah orang yang mati dihujani peluru di Temanggung, Jawa Tengah selepas peristiwa pengeboman hotel Ritz Carlton dan JW Marriot itu bukan Noordin Mat Top tetapi orang yang namanya Ibrahim?
  4. Saya tidak suka permusuhan dan peperangan kerana kita serumpun malah makhluk yang sama, yang tinggal di bawah langit yang sama, dicahayai oleh matahari yang sama, dipisahkan oleh laut yang sama.

Tuesday, September 8, 2009

Jatuhnya “Dia” kerana Balas Dendam

UMNO-BN yang merupakan parti yang telah bertahun-tahun menerajui negara, yang “memperjuangkan” hak Melayu, semakin “dibenci” dan “tersisih” di hati kebanyakan orang Melayu, khususnya di Semenanjung Malaysia. Kebencian majoriti orang Melayu terhadap parti ini begitu ketara belakangan ini. (Mantan PM, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri ada menggambarkan hal ini dalam satu kenyataannya selepas PRU10 dahulu. Antara lain beliau berkata bahawa kejayaan BN mempertahankan majoriti 2/3 pada waktu itu disebabkan oleh sokongan bukan Melayu (khabarnya pada waktu itu hanya sekitar 30%-40% orang Melayu yang menyokong BN, khususnya UMNO). Sokongan itu pulih sementara pada PRU11 semasa Tun Abdullah berkuasa tetapi menjunam pada PRU12. Hal ini berlaku demikian kerana orang Melayu tidak menyokong UMNO-BN lagi, malah bukan sedikit orang Melayu yang telah “melacurkan” pegangan mereka dengan mengundi calon bukan Melayu daripada kalangan parti yang berada di luar BN. Natijah daripada kemerosotan sokongan itu, Tun Abdullah dipersalahkan oleh orang-orang di lingkungannya lalu akhirnya beliau ditunjukkan jalan keluar dari takhta kekuasaan oleh “anak-anak buahnya” sendiri.

Walaupun kebanyakan orang dalam BN-UMNO mendakwa susutnya sokongan Melayu terhadap mereka berpunca daripada “kelemahan” dan “kelembikan” Tun Abdullah, namun pada hemat saya, beliau bukanlah pencetus kepada susutnya sokongan itu. Sebenarnya, hal ini telah bermula sejak sekian lama dan mencapai kemuncaknya pada tahun 1998 apabila Dato’ Seri Anwar Ibrahim dipecat dan disingkirkan daripada UMNO dan kerajaan. Orang Melayu (sama ada yang di dalam UMNO ataupun PAS) sangat marah dan amarah mereka itu dizahirkan pada PRU10 yang kemudiannya menjadi titik tolak kepada lahirnya kumpulan rakyat berbangsa Melayu yang sudah pandai berpolitik (tidak menyokong pemerintah secara membabi buta seperti yang diamalkan oleh datuk nenek mereka dahulu).

Tidak perlulah diperkatakan dalam posting ini tentang punca lain (seperti amalan kronisme, nepotisme, rasuah, dsb) dalam menghuraikan merosotnya sokongan Melayu terhadap UMNO-BN ini kerana hal ini telah diketahui umum. Yang akan saya huraikan ialah punca lain yang dari satu sudut ada kena-mengena dengan salah guna kuasa dan dari satu sudut lain ada kena-mengena dengan kezaliman.

Antara punca yang tidak wajar dipandang remeh yang menyebabkan UMNO-BN semakin dibenci oleh orang Melayu ialah amalan kaedah balas dendam yang mendarah daging dalam batang tubuh UMNO-BN. Taktik ini digunakan mereka dengan sepenuhnya sepanjang mereka berkuasa. Mereka menjauhi beberapa perkara yang menjadi ciri penting demokrasi, iaitu KEADILAN walhal dalam amalan demokrasi, ciri ini perlu dijadikan pegangan oleh kerajaan yang dipilih melalui mana-mana pilihan raya. (Agaknya, kerana menyedari hakikat inilah PKR memanfaatkan kalimat KEADILAN di tengah-tengah nama parti mereka dan memanipulasinya dengan semahu-mahunya.)

Dalam pemerintahannya, UMNO-BN telah menyisihkan dan menganaktirikan kelompok rakyat yang menentang mereka dalam pilihan raya. Kaedah balas dendam ini berlangsung sekian lama dan terus diwarisi oleh pemuka-pemuka UMNO-BN yang terkemudian. Mereka dengan senang hati dan tanpa rasa bersalah telah menafikan hak rakyat yang tidak menyokong mereka untuk menikmati pembangunan sedangkan rakyat yang menyokong mereka dilimpahi pembangunan demi pembangunan demi pembangunan.

Bukti amalan kaedah balas dendam ini tidak sukar dicari. Pergilah ke kawasan tertentu di kampung-kampung, anda akan menemukan buktinya. Sebagai contohnya, penduduk kampung yang menyokong UMNO-BN akan dibekali dengan pelbagai prasarana lalu menjadi rakyat yang membangun. Sebaliknya, di kampung lain yang berdekatan yang penduduknya terdiri daripada penentang, mereka masih ketinggalan lalu menjadi rakyat yang mundur. Sehingga demikian, setiap kali berlangsungnya PRU atau PRK, isu nikmat pembangunan ini akan diuar-uarkan, dilaungkan, dikumandangkan oleh setiap pemuka UMNO-BN kepada rakyat yang mundur ini — anda semaklah kenyataan-kenyataan para pemuka UMNO-BN semasa berlangsungnya PRK Manek Urai dan Permatang Pasir yang baru lalu dan mungkin pada PRK di Bagan Pinang tidak lama lagi.

Kaedah balas dendam yang paling terang lagi jelas di depan mata ialah semasa Terengganu diperintah oleh PAS selepas PRU10 dahulu. Pada waktu itu, hak kerajaan PAS untuk menikmati royalti minyak (petroleum) yang dapat digunakan untuk membangunkan negeri dan rakyat telah dinafikan (royalti itu telah digantikan dengan wang ihsan yang tidak disalurkan kepada kerajaan PAS).

Kesimpulan yang dapat dibuat daripada kaedah balas dendam yang diguna pakai oleh BN-UMNO dalam pemerintahan mereka itu ialah BN-UMNO tidak memahami tuntutan demokrasi. Pada hemat saya, antara fahaman yang betul tentang demokrasi ialah “marilah kita bersengketa” semasa pilihan raya tetapi “marilah kita merapatkan barisan kita” selepas itu. Lupakanlah sengketa yang berlaku dalam tempoh kempen yang pendek semasa berlangsungnya pilihan raya itu kerana persefahaman dan persepakatan sangat diperlukan dalam tempoh selepas pilihan raya yang lebih panjang itu. Seharusnya, mana-mana pihak yang memenangi mana-mana pilihan raya perlu adil kepada semua golongan rakyat, sama ada rakyat itu menyokong mereka atau membangkang mereka.

Seandainya keadilan (bukan balas dendam) yang menjadi inti penting dalam amalan demokrasi dipraktikkan oleh pihak yang dipilih menjadi pemerintah, rakyat akan beroleh manfaat yang besar. Rakyat akan menjadi insan yang bijaksana bukan menjadi rakyat yang takut, jumud, dan emosional. Rakyat akan merasakan hak mereka dihormati dan dihargai dan dengan demikian akan bersikap kritis, analitikal, dan rasional dalam segala tindakan mereka. Apabila sikap ini ada dalam diri mereka, peranan mereka sebagai pengundi akan lebih bermakna. Apabila mendapati parti yang dipilih mereka kurang berkesan, misalnya, mereka akan memilih parti yang satu lagi dan sekiranya parti yang satu lagi itu kurang berkesan, pada pilihan raya yang berikutnya, mereka akan memilih parti yang dipilih mereka sebelum ini. Dengan itu, pertukaran parti pilihan mereka bukan didorong oleh kebencian dan emosi seperti sekarang tetapi didorong oleh perasaan kurang puas hati yang didasarkan kepada kerasionalan dan kebijaksanaan mereka.

Kebaikan di pihak parti yang dipilih pula ialah akan wujud persaingan sihat antara mereka. Masing-masing akan memberikan khidmat yang paling baik demi mempertahankan kuasa pemerintahan. Unsur-unsur yang menjadi kebencian dan rasa tidak puas hati rakyat seperti rasuah, salah guna kuasa, kronisme, nepotisme, dsb akan menjadi perkara yang paling digeruni oleh parti yang terbabit kerana unsur-unsur itu memungkinkan mereka sukar untuk merampas kekuasaan atau memungkinkan mereka untuk kehilangan tampuk kekuasaan.

Kemarahan rakyat sekarang merupakan manifestasi daripada amalan jelik UMNO-BN yang menyisihkan keadilan ini (benar juga kenyataan TG Dato’ Nik Abdul Aziz yang mengatakan Islam yang diamalkan oleh UMNO Islam plastik). Betul, mereka berjaya memerintah negara ini sejak merdeka hingga kini dengan mengamalkan kaedah balas dendam ini. Tetapi sekarang, bagaimana? Kerana cetek pemahaman tentang erti demokrasi yang sebenarnya, mereka dan rakyat sedang berdepan dengan keharu-biruan yang bertali-temali sehingga melilit batang tenggorok masing-masing.

Percayalah, jika PR yang memerintah Selangor, Kedah, Pulau Pinang, dan Kelantan mengamalkan kaedah yang sama, mereka juga akan gulung tikar. Sesungguhnya kaedah balas dendam merupakan penyalahgunaan kuasa yang paling besar dan kezaliman yang paling dahsyat.

Friday, September 4, 2009

Kerana Pulut Santan Binasa, Kerana Mulut Iman Binasa

KiSaH SaTu

Ustaz Muda pergi ke klinik panelnya untuk mendapat rawatan ringan. Kerana belum tiba gilirannya, beliau pergi ke restoran di sebelah klinik itu untuk membasahkan tekaknya. Tatkala sedang mencicip teh, Ustaz Muda terpandang akan Lelaki Berumur keluar dari dalam kedai TOTO di sebelah restoran itu.

Ustaz Muda menggamit Lelaki Berumur. Lelaki Berumur agak terkejut apabila digamit oleh orang yang tidak dikenalinya tetapi setelah digamit berkali-kali dan yakin bahawa dirinyalah yang dimaksudkan oleh orang yang menggamitnya itu, dia pun mendekatinya.

“Duduklah Pak Cik,” kata Ustaz Muda. Lelaki Berumur tersenyum lalu duduk. Ustaz Muda memanggil pelayan restoran. Lelaki Berumur memesan air minuman kegemarannya – teh tarik. Keadaan hening seketika.

“Jangan marah kalau saya bertanya, pak cik. Errr, berapa ringgit beli TOTO tadi?” Ustaz Muda menyoal. Lelaki Berumur memandang wajah Ustaz Muda.

“Sepuluh ringgit je...,” jawab Lelaki Berumur, kelihatannya seperti bangga.

“Jangan marah, Pak Cik. Err, Pak Cik tak rasa bersalah ke masih buat dosa besar lagi?” Ustaz Muda bertanya dengan tujuan hendak menyedarkan Lelaki Berumur yang seagama dengannya itu.

Lelaki Berusia yang tidak tahu bahawa pemuda yang bertanya itu sebenarnya ustaz, berkata, “Pak Cik ni, Anak Muda tak suka buat dosa kecil. Tak berbaloi!”

Ustaz Muda terkejut. Sangat terkejut sehingga menyebabkan matanya terbeliak.

Lelaki Berusia menyambung, “Sebab kalau buat dosa kecil, di akhirat nanti, Tuhan tak berapa marah dan Dia akan mencampak Pak Cik perlahan saja lalu Pak Cik akan terus masuk ke neraka. Tapi kalau buat dosa besar, Allah akan marah dan kerana terlalu marah Pak Cik akan dicampakkan dengan kuat sehingga terlepas daripada lubang neraka dan terlajak ke syurga”.

Ustaz Muda bangun, pergi ke kaunter untuk membayar minumannya.

KiSaH DUa
Selepas solat, Suri Rumah duduk di hadapan rumahnya sementara menunggu kepulangan Sang Suami dari pejabat. Si Anak yang keletah yang masih belajar di tadika duduk di sisinya. Si Anak bertanya itu dan ini dan Suri Rumah menjawab segala pertanyaan Si Anak dengan senang hati.

“Bu, mengapa kita disuruh membaca Bismillah sebelum makan?” Si Anak bertanya.

“Supaya syaitan tidak menyertai kita makan.” Suri Rumah menjawab secara mudah.

“Kalau kita lupa, syaitan buat apa, Bu?”

“Oh..., dia akan cemarkan makanan kita dengan najisnya, dengan ludahnya, macam-macam!” jawab Suri Rumah. Si Anak percaya.

Tiba-tiba Orang Tua, jiran Suri Rumah, keluar dengan membawa sesuatu. Orang Tua mendekati suatu pondok di depan rumahnya dan kemudian membakar bahan yang dibawanya. Kemudian, bahan yang dibakarnya itu diletakkan di suatu tempat. Bahan itu mengeluarkan asap dan bau.

Si Anak, yang sejak tadi memerhatikan perilaku Orang Tua dengan penuh minat, bertanya kepada Suri Rumah.

“Apa yang Orang Tua tu bakar, Bu?”

“Colok,” jawab Suri Rumah, sepatah.

Kemudian Si Anak melihat Orang Tua mendekatkan kedua-dua tangan di dadanya dan beraksi seperti menyembah-nyembah. Si Anak bertanya lagi.

“Mengapa Orang Tua tu tunduk-tunduk pada asap tu, Bu?”

“Oh, dia sembah Tuhan dia!” jawab Suri Rumah dengan yakin.

Si Anak tidak berkata apa-apa.

KiSaH TiGa

Tiga Samdol membaca akhbar sambil mendengar radio pada suatu pagi Ahad. Program pilihan mereka ialah carta lagu-lagu popular di stesen radio itu. Samdol Satu selesai membaca akhbar. Dia bersandar di sofa.

Pengendali rancangan itu mengumumkan lagu yang berada pada kedudukan ketiga.

“Caaantiklah...!” kata Samdol Satu, tiba-tiba. “Minggu lepas nombor sebelas, sekarang nombor tiga. Hebat, hebat!”

Kemudian, dia ikut menyanyikan lagu yang memang diminatinya itu.

Apabila mendengar Samdol Satu menyanyi, Samdol Tiga meletakkan surat khabar. Samdol Dua pun demikian juga. Kedua-duanya berpandangan sambil tersenyum.

“Dol, engkau boleh tolong kami tak?” soal Samdol Tiga.

Samdol Satu berhenti menyanyi lalu bertanya, “Tolong apa pulak?”

“Kita orang nak keluar kejap lagi,” kata Samdol Tiga.

“Habis tu?” Samdol Satu bertanya lagi, kebingungan.

“Jadi, kita orang nak pesan kat engkau, tolong jangan nyanyi. Kejap lagi, elok-elok hari panas turun pulak hujan,” kata Samdol Dua dan diikuti derai tawa kedua-duanya.

Samdol Satu mencuka, bukan kerana derai tawa Samdol Tiga dan Samdol Dua, tetapi kerana kedunguannya.

UlaSaN

Daripada KiSaH SaTu – jelas bahawa Lelaki Berumur melakukan kezaliman ke atas dirinya. Dia melakukan dua dosa besar – berjudi dan mempersendakan Allah. Rosak aqidahnya dan jika tidak bertaubat, nerakalah tempatnya (ah, nanti ada yang akan menuduh saya sebagai “istimewa” kerana dapat menentukan siapa dapat masuk ke syurga, siapa dapat masuk ke neraka?)

Daripada KiSaH DuA – Suri Rumah tidak sedar bahawa kalimat “Oh, dia sembah Tuhan dia!” yang dilafazkannya itu telah merosakkan aqidahnya juga. Kalimat itu secara tersirat memperlihatkan suatu hakikat, iaitu Suri Rumah mengaku bahawa ada Tuhan lain selain Allah!

Daripada KiSaH TiGa – Samdol Tiga dan Samdol Dua mungkin bergurau. Tetapi gurauan itu juga merosakkan aqidah mereka. Dengan mengatakan nyanyian Samdol Satu akan menyebabkan hujan turun, mereka telah memperlekehkan Allah. Allah tidak akan menyebabkan sesuatu itu terjadi dengan nyanyian seseorang!

Berfikirlah sebelum berkata-kata. Sayangilah aqidah anda.

Thursday, September 3, 2009

Meredhokan (ﻤﺮﻴﻀﺎﻜﻦ) Hakikat Diri

Sebelum memulakan tulisan ini, hamba memohon maaf kepada tuan hamba sekalian jika apa-apa yang hamba nukilkan ini menyentuh perasaan tuan hamba yang budiman atau terkena akan batang hidung tuan-tuan hamba. Hal ini demikian kerana hamba sangat menentang perbuatan yang hendak hamba nukilkan ini, baik sekecil mana pun juga, kecuali jika hal yang dilakukannya itu memang perlu dilakukan kerana jika tidak dilakukan akan menyusahkan mereka menjalani kehidupan normal. Hamba mengakui bahawa hamba memang “kolot” dalam hal ini, jika itulah yang bakal muncul dalam diri dan fikiran tuan hamba sekalian. Tetapi, hamba lebih rela digelar sebagai “kolot” daripada menjadi “seteru” Allah SWT.

Tidak perlulah hamba berlanjut untuk memukaddimahkan hal yang menyebabkan hamba sampai perlu meminta maaf itu. Adapun hal yang hamba tentang itu ialah sikap segelintir manusia yang tidak memperlihatkan wujudnya ciri-ciri insan yang redho (ﺮﻀﺎ) dan ciri-ciri insan yang bersyukur terhadap apa-apa yang telah diciptakan Allah SWT untuk dirinya. Sehingga demikian, banyak orang yang mengubahsuaikan fizikal diri, khususnya rupa paras, yang sebenarnya telah disempurnakan oleh Allah SWT dengan secantik-cantik kejadian. (Tidak mengapalah kalau sekdar memakai bedak, celak atau inai.)

Tuan hamba sekalian barangkali pernah berselisih dengan insan-insan yang pada suatu ketika dahulu kelihatan hitam dan lebam kulit mukanya, tetapi tiba-tiba merah berkilat dan terangkat pipinya; atau tuan hamba sekalian mungkin pernah menemukan insan yang bibirnya mongel dan nipis pada suatu ketika dahulu tetapi tiba-tiba menggelembung dan tebal bibirnya; atau tuan hamba mungkin pernah melihat manusia yang sebelumnya berhidung pesek kini hidungnya tegak terpacak seperti Menara KL; atau tuan hamba tentu biasa menemukan orang-orang yang semacam kita yang tuan hamba sangat pasti rambutnya hitam seperti tuan hamba tetapi telah bertukar menjadi merah, perang, dan kuning! Tuan hamba juga tentu pernah menemukan orang-orang yang sebaya dengan hamba atau yang lebih tua sedikit daripada hamba yang sudah memutih rambut di kepala tetapi kerana menolak hakikat, yang putih itu dihitamkan keseluruhannya. Dan yang lazim tuan hamba temukan tentulah orang-orang yang menghaluskan bulu kening mereka sedangkan sebelumnya kening itu tebal hitam dan menawan.

Hamba sangat bersetuju bahawa apa-apa yang hamba ungkitkan itu merupakan hak masing-masing, hak individu, supaya mereka kelihatan “lebih cantik”. Tetapi, hak Allah tidakkah diingati mereka? Dan benarkah dengan mengubahsuaikan penampilan dan rupa paras sebegitu rupa akan menjadikan mereka lebih cantik sedangkan Allah telah berfirman dalam surah Tin, ayat 4 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.”

Melalui kalimat “Sesungguhnya” itu, dapatlah hamba dan tuan hamba sendiri fahami penegasan Allah tentang hakikat keelokan kejadian manusia yang diciptakan-Nya. Malangnya, mengapakah ada manusia daripada kalangan hamba dan tuan hamba yang berani mengubah kejadian yang telah diciptakan-Nya itu? Tidak cantikkah berambut hitam, tidak cantikkah berbibir nipis, tidak cantikkah bermata hitam atau coklat, tidak cantikkah berhidung pesek, tidak cantikkah kening yang lebat dan hitam? Bukankah dengan mengubah rupa bentuk seperti yang hamba senaraikan itu memperlihatkan betapa jauhnya rasa syukur dalam diri mereka? Bukankah perbuatan itu memperlihatkan betapa mereka tergolong sebagai orang yang terpedaya seperti yang dinyatakan Allah SWT dalam surah Al-Hadid ayat 20:

“Ketahuilah sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan senda gurau (yang melalaikan) serta perhiasan dan bermegah-megah antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak-pinak; samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu melihatnya menjadi kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; Dan di akhirat (nanti) ada azab yang berat dan keampunan besar serta keredaan daripada Allah (disediakan untuk orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang palsu.”

Sebenarnya, kecenderungan sebilangan sahabat hamba dan sahabat tuan hamba mengubahsuaikan wajah mereka memperlihatkan suatu hakikat, iaitu mereka mengejar kecantikan rupa fizikal walhal yang dinilai Allah SWT bukan kecantikan rupa paras dan rupa fizikalnya tetapi kecantikan iman dan taqwanya seperti yang dikatakan oleh Rasulullah SAW kepada Abu Zar:

Lihatlah, sesungguhnya engkau tidak dinilai mulia kerana kulit merah dan juga kerana hitam, sebaliknya mulianya kamu dengan sebab taqwa.”
(Riwayat Ahmad)
Allah SWT memang menyukai kecantikan dan hal ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW kepada Ibnu Mas‘ud:

Sesungguhnya Allah itu cantik. Ia sangat suka akan (sesuatu) yang indah dan cantik.”
(Riwayat Muslim dan At-Tirmizi)
Tetapi untuk kelihatan cantik, Allah SWT tidak pernah menyuruh hamba-Nya mengubahsuaikan wajah yang telah diciptakan untuk seseorang hamba-Nya. (Allah Maha Mengetahui mengapakah diri hamba ini dijadikan-Nya berkulit sawo matang, berbibir tebal, dan berkening lebat manakala diri tuan hamba dijadikan-Nya berkulit putih, berbibir nipis, dan berkening nipis.) Baik hamba mahupun tuan hamba, kita tidak pernah diberi-Nya hak dan “kuasa” untuk mengubahsuaikan wajah kita. Oleh itu, mengapakah hamba dan tuan hamba perlu memberikan hak kepada pakar rawatan kulit untuk menciptakan bentuk hidung yang baharu, bentuk pipi yang baharu, bentuk bibir yang baharu, bentuk kening yang baharu, dan sebagainya sedangkan Allah SWT telah pun mengisytiharkan zat-Nya sebagai Yang Maha Pencipta?

Redholah dengan rupa paras yang kita miliki, bersyukurlah dengan kurnia-Nya, janganlah memandai-mandai sehingga akhirnya hamba dan tuan hamba kelihatan bodoh dan ... hodoh! Yang paling malang, kerana wajah telah berubah, ada yang terpaksa menipu (sesetengahnya mengatakan susu, tempe, dan sebagainya dapat memutihkan kulit! Nasihat hamba, terimalah hakikat sekiranya hakikat itu tidak menyusahkan diri. Ada rahsianya Allah menjadikan kita begini dan begitu.

Wednesday, September 2, 2009

Makan atas Tamar, Minum atas Air

Kali ini hamba hendak melarikan diri daripada bercerita tentang hal-hal yang serius – daripada hal yang berkait dengan kesihatan hinggalah hal yang berkait dengan politik. Bukan jelak, tetapi sekadar untuk meredakan keadaan. (Kita tidak boleh jelak dan beralah dalam menyentuh hal-hal yang serius itu kerana hal tersebut tetap datang dan mengacau kita.) Hal yang hendak hamba ketengahkan ini sebenarnya merupakan minat hamba, iaitu perihal bahasa. Kalau tuan hamba mengikuti posting hamba yang awal, akan tuan hamba temukan hakikat ini.

Sewaktu menelaah hal-hal yang berkaitan dengan puasa, hamba temukan sepotong hadis tentang perkara yang sunat dilakukan sewaktu berbuka puasa. Hamba dapati terjemahan hadis itu “mampu” untuk menimbulkan salah faham dan salah pengertian dalam kalangan pembaca. (Tidak usahlah hamba nyatakan judul kitab yang menjadi sumber rujukan itu tetapi yang pasti kitab itu sangat baik dan menjadi rujukan kebanyakan orang. Penulis asalnya yang merupakan seorang ulama muktabar tidak silap dalam hal ini. Yang silap ialah penterjemahnya.)

Sebab itulah kita perlu melazimkan diri kita berbahasa Melayu dengan betul. Hal ini perlu dilakukan begitu kerana melalui bahasa yang betul (baku ejaannya, betul penggunaan sendi namanya, tepat penggunaan imbuhannya, baik susunan ayatnya, dsb), apa-apa idea dan buah fikiran yang hendak kita sampaikan dapat difahami orang dengan mudah serta dapat pula mengelakkan berlakunya salah faham dalam kalangan audiens. Malah, hamba sangat yakin, dengan menggunakan bahasa yang betul dan baik, darjat si pemberi idea akan “meninggi”.

Sebagai contoh, kita sering mengabaikan dan memandang remeh soal penggunaan kata sendi nama dalam pertuturan dan tulisan kita. Sebagai akibatnya, maksud ayat dalam pertuturan dan tulisan kita menjadi kabur dan mengelirukan orang. Perhatikanlah ayat contoh ini:

  1. Beliau memangku jawatan sebagai pengerusi syarikat itu tahun ini.
  2. Kapal nelayan itu karam setelah terlanggar kapal kargo.

Dalam ayat 1, disebabkan tidak memanfaatkan kata sendi nama di bahagian predikat, khalayak pembaca kurang jelas tentang maksud ayat tersebut lalu mereka membuat tiga tanggapan yang berbeza sekurang-kurangnya. Tanggapan itu ialah sama ada Beliau memangku jawatan pengerusi syarikat itu sebelum tahun ini, dari/sejak tahun ini, pada/dalam tahun ini, atau hingga/sampai tahun ini. Tanggapan itu timbul hanya kerana ayat itu menafikan peranan kata sendi nama.

Dalam ayat kedua, kita berada dalam kekaburan dan kekeliruan kerana kita tidak tahu “siapa” yang melanggar “siapa” sehingga menyebabkan “kapal nelayan” itu karam. Kita dapat memahami maksud ayat itu jika frasa “terlanggar kapal kargo” disertakan dengan kata sendi nama oleh atau akan menjadi “terlanggar oleh kapal kargo” atau “terlanggar akan kapal kargo”. Jika sendi nama oleh digunakan, tahulah kita bahawa “kapal kargo itu yang melanggar kapal nelayan”. Sebaliknya, jika sendi nama akan digunakan, tahulah kita bahawa “kapal nelayan itu yang melanggar kapal kargo”.

Cukuplah dengan memberikan dua contoh itu untuk membuktikan betapa kealpaan sebilangan orang dalam memanfaatkan kata sendi nama dalam pertuturan dan penulisan mereka akan menimbulkan kekeliruan kepada audiens.

Berbalik tentang hadis yang hamba katakan itu, hamba pasti tuan hamba akan berasa keliru, aneh, dan mungkin lucu. Hal ini demikian kerana penterjemah hadis itu tidak menggunakan kata sendi nama yang sesuai dengan maksud ayat dalam hadis tersebut. Perhatikanlah hadis yang hamba ambil daripada kitab tersebut.

ﻋﻦ ﺍﻟﻨﺒﻰ ﺼﻟﻰ ﷲ ﻋﻟﻴﻪ ﻮﺴﻟﻢ ﻘﺎﻞ: ﺍﺫﺍ ﺃﻔﻄﺮ ﺃﺤﺪﻜﻢ ﻔﻠﻴﻔﻄﺮ ﻋﻠﻰ ﺘﻣﺮ ﻔﺈﻨﻪ ﺒﺮﻜﺔ ﻔﺈﻦ ﻠﻢ ﻴﺠﺪ ﺘﻣﺮﺍ ﻔﺎﻠﻤﺎﺀ ﻔﺈﻨﻪ ﻄﻬﻮﺮ

Maksudnya:

“Jikalau seseorang daripada engkau semua itu berbuka, maka berbukalah atas kurma, sebab sesungguhnya kurma itu ada berkahnya, tetapi jikalau tidak menemukan kurma, maka hendaklah berbuka atas air, sebab sesungguhnya air itu suci.”

Apakah pandangan tuan hamba tentang terjemahan hadis itu jika ayat itu difahami mengikut sistem bahasa Melayu? Aneh dan lucu bukan? Rasa aneh dan lucu itu timbul kerana melalui terjemahan hadis itu, kita disunatkan berbuka di atas kurma dan jika tiada kurma kita disunatkan pula berbuka di atas air! Bagaimanakah kita hendak melakukannya? Tergamakkah tuan hamba hendak memijak kurma supaya tuan hamba dapat mencangkung atau berdiri untuk berbuka di atasnya? Atau mampukah tuan hamba untuk berdiri di atas air? Mungkin boleh jika air itu bertakung di dalam lopak tetapi tidakkah tuan hamba kelak akan dikatakan sebagai gila oleh orang kerana setiap kali berbuka tuan hamba keluar mencari lopak-lopak air!

Sebenarnya, yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW melalui hadis Baginda itu ialah:

“Jikalau seseorang daripada kalian berbuka, maka berbukalah dengan (memakan) kurma, sebab sesungguhnya kurma itu ada barokahnya, tetapi jikalau tidak menemukan kurma, maka hendaklah berbuka dengan (meminum) air, sebab sesungguhnya air itu suci.”

Begitulah sedikit kisah tentang kata sendi nama yang menimbulkan pelbagai kekeliruan jika penggunaannya tidak dipraktikkan dengan betul. Kalau kita mengikuti tazkirah dalam bulan puasa ini, kita diberitahu bahawa lailatul qadr itu perlu dicari, perlu diusahakan bukan sekadar menantinya mencari kita. Begitu jugalah halnya dengan bahasa. Kita perlu belajar, perlu berusaha untuk menjadi penutur bahasa Melayu yang baik bukan duduk diam tidak melakukan apa-apa (kerana beranggapan bahawa bahasa kita betul kerana kita Melayu). Perjuangan kita menyanggah pelaksanaan PPSMI mestilah seiring juga dengan perjuangan kita untuk berbahasa dengan betul!

Tuesday, September 1, 2009

Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan

Apabila konsep 1Malaysia diuar-uarkan, yang terlintas dalam otak ini ialah hasrat untuk merealisasikan peneguhan perpaduan yang selama ini tenang di permukaan berkocak di dasar. Itulah yang pertama berkunjung dalam otak ini walaupun pada dasarnya banyak orang – termasuk yang cendekia – kabur tentang konsep ini. Sehingga demikian, kerana konsepnya kabur, ada sebilangan pihak yang merasakan diri dan golongan mereka tertindas sejak sekian lama, mula meminta kesamarataan. Lalu, waktu itu kelihatan keserbasalahan di pihak orang dalam jemaah menteri – hendak diberikan mati ibu, tidak diberikan mati ayah. Maka, untuk membolehkan rakyat tahu akan konsep 1Malaysia itu, penjelasan pun dilakukan walaupun tindakannya samar dan samar dan samar.

Sehinggalah 1 September 2009, apabila harga petroleum dinaikkan tatkala banyak orang yang menukar karier mereka kepada penanam anggur atau singkatannya penganggur. Dalam hal ini, harga harga petrol gred baharu – RON95 – dijual pada harga RM1.80 seliter manakala harga petrol sedia ada – RON97 – dijual pada harga RM2.05. Padahal, pada pertengahan Mei 2009, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (sekarang Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, dan Kepenggunaan), mengumumkan bahawa pada 1 September 2009 harga petrol gred baharu – RON95 – akan dijual pada harga RM1.75 seliter manakala harga petrol sedia ada – RON97 – akan dijual pada harga RM2.00.

Dengan kenaikan itu, barulah ada sedikit kejelasan daripada kegelapan dan kelegapan konsep 1Malaysia itu, iaitu rakyat 1Malaysia perlu membantu untuk mengurangkan beban kerajaan (beban tanggungan subsidi petrol ini ialah satu contoh). Rakyat 1Malaysia perlu menanggung beban yang dialihkan kepada mereka kerana kerajaan tidak berupaya untuk memikulnya sendirian (sebenarnya kita juga menanggung para pembuat dasar malah wakil-wakil rakyat juga kerana mereka boleh membuat tuntutan perbatuan [mileage claims] atas setiap titis petrol yang digunakan mereka). Barulah jelas inti pati kalimat keramat “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” itu.

Sesungguhnya, kini 1Malaysia sedikit banyak mula tahu akan kebenaran ungkapan “bikin tak serupa cakap” dan “cakap tak serupa bikin”. Janjinya RM1.75, bikinnya RM1.80. Janjinya RM2.00, bikinnya RM2.05. Kita perlu membayar RM1.80 untuk petrol yang lebih rendah kualitinya, walhal pada suatu ketika – sehingga 31 Ogos 2009 – kita membayar RM1.80 untuk petrol yang lebih tinggi kualitinya. Patutlah semasa pengumuman tentang pengenalan RON95 dibuat oleh mantan Menteri yang berkaitan (Dato’ Sharir Ahmad) dahulu, ada pihak yang mendakwa bahawa usaha pengenalan petrol RON95 itu merupakan suatu usaha kerajaan untuk menaikkan harga petrol dengan cara terhormat. Macam ada kebenarannya pula!

Adakah kita terasa seperti dibodohkan atau terasa seperti tertipu? Jangan berfikiran demikian! Ingat, rakyat perlu didahulukan (dalam menanggung apa-apa beban) supaya pencapaian yang menjadi keutamaan kerajaan dapat direalisasikan. Eleh, sebenarnya harga petrol tak naik pun! Bukankah memang sebelum ini kita membayar RM1.80 untuk seliter petrol?