Friday, March 5, 2010

Syarifah Humairah kemudian K. Hareswarral

Genap seminggu selepas pemergian Syafiah Humairah, K. Hareswarral pula menyusulinya. Kedua-duanya meninggal dunia oleh sebab yang sama – didera. Penderaan yang dilakukan terhadap kedua-dua kanak-kanak ini bukan seperti yang biasa kita dengar – dicucuh dengan puntung rokok, dipukul dengan objek tertentu, dan sebagainya. Mereka bukan didera dengan kaedah itu tetapi dengan kaedah yang pada hemat saya tidak dilakukan oleh manusia yang bernama Firaun sekalipun.

Kita tahu, Firaun sendiri terlibat dengan pembunuhan kanak-kanak. Dia melakukannya setelah nujumnya meramalkan bahawa pada suatu masa kelak dia akan ditewaskan oleh seorang pemuda. Dengan kata lain, Firaun membunuh kanak-kanak (lelaki sahaja) kerana hendak mengekalkan kuasanya. Rasa saya, Firaun membunuh kanak-kanak dengan cara memancung atau menikamnya.

Pada zaman jahiliah dahulu, masyarakat Arab yang hatinya masih bersalut dengan kegelapan, turut terlibat dengan pembunuhan kanak-kanak. Mereka membunuh kanak-kanak (perempuan) kerana masyarakat pada zaman itu percaya bahawa perempuan hanya memalukan mereka. Mereka menanam kanak-kanak perempuan itu hidup-hidup.

Syafiah Humairah dan K. Hareswarral tidak dibunuh dengan cara itu. Mereka tidak ditanam hidup-hidup apatah lagi dipancung atau ditikam. Kedua-duanya dibunuh dengan cara yang lebih kejam. Kedua-duanya dibunuh dengan cara disepak seperti bola, dipijak seperti memadatkan tanah. Barangkali, dengan melakukan perbuatan sedemikian, mereka mendapat keseronokan yang luar biasa.

Kerana perbuatan sedemikian, buah pinggang Humairah rosak, otak Humairah mengalami pendarahan, kulit kepala Humairah terkoyak. Kerana perbuatan sedemikian, enam tulang rusuk Hareswarral patah, hati Hareswarral lumat, kepala Hareswarral parah. Mereka, pasti menjerit semasa disepak dan dipijak, mereka pasti menderitai kesakitan yang tidak terhingga sebelum mati.

Humairah baru tiga tahun. Hareswarral baru 18 bulan. Yang membunuh (suspek) lelaki dewasa. Seorang 28 tahun, yang seorang 33 tahun. (28 tahun lawan tiga tahun, 33 tahun lawan 18 bulan. Isy, tidak berasa baculkah?) Suspek beruntung kerana tidak diperlakukan sedemikian semasa seusia dengan Humairah dan Hareswarral. Kalau tidak, pasti Humairah dan Hareswarral masih hidup kerana kedua-duanya sudah tiada. Mereka tidak berfikir sedemikian.

Kita biasa melihat orang mengadakan demonstrasi oleh sesuatu sebab. Kerana orang luar campur tangan dalam kes DS Anwar Ibrahim, orang berdemonstrasi. Kerana harga minyak naik, orang berdemonstrasi. Banyak kali orang berdemonstrasi, kebanyakannya ada kaitan dengan politik. Hal seperti ini – penderaan kanak-kanak – orang tidak mahu berdemonstrasikah? Berdemonstrasi supaya manusia berkasih sayang. Berdemonstrasi supaya manusia lebih bertanggungjawab.

Macam pelik, tetapi salahkah?

8 comments:

  1. demontrasipun ada yang dikatakan aman dan ada yang dilabelkan haram...kitapun jadi pening..

    inilah bala..bila persepsipun sudah terbalik..
    manusia lebih rendah darjat dari binatang...

    ReplyDelete
  2. DERA dan kezaliman sudah menjadi tradisi moden yang menarik untuk dikaji.

    ReplyDelete
  3. Salam Sdr Faziz;

    Memang persepsi sudah terbalik dan pelik. Hendak menunjukkan perasaan kasih sayang (terhadap bahasa, misalnya), ambil berat (tentang kenaikan minyak, misalnya), kita kena meminta kebenaran. Ada pula halal dan haram! Sama-samalah kita pening.

    Tuan Imlan;
    Takut saya apabila Tuan mengkategorikan PENDERAAN sebagai suatu tradisi. Tetapi memang ada benarnya. Adakah ini juga sudah menjadi sebahagian daripada unsur dalam tamadun?

    ReplyDelete
  4. "Banyak kali orang berdemonstrasi,kebanyakannya ada kaitan dengan politik".

    saya setuju dengan kenyataan sdr itu.

    mungkin soal penderaan juga boleh dipolitikkan untuk menarik orang berdemonstrasi? ya?
    tetapi soalnya apakah dengan berdemo menyelesai masalah? atau sekadar permainan politik?

    ReplyDelete
  5. Salam, Anon;
    Yang berkepentingan politik, akan mempolitikkannya, itu sudah pasti. Demo ini bukan untuk menekan mana-mana pihak tapi untuk menyedarkan orang, macam masyarakat antarabangsa berdemo kerana pemanasan global, kerana kemusnahan hutan, dsb.

    ReplyDelete
  6. ini juga membuktikan bhw dunia semakin tua.manusia sekarng sudah mulai menjalani kehidupan zaman jahiliah dulu....jd sama2 kite fkirkan...apa yg boleh mengubah masalah ini atau mana2 masalah pon...pkre ptame adalah DIRI SENDIRI...lepas tu baru lah pihak2 yg terbabit...yg pasti hukuman kpd pesalah perlulah berat dan setimpal...kesalahan membunuh,jd hukuman mstilah MATI...yg mgkin membuatkan org lain tkot untuk membuat ksalahan yg sama, buatlah hukuman mati itu secara LIVE...mcm hukuman islam,bg org2 yg melakukan zina..direjam smpai mati...kalau itupon xsedarkan lg org2 yg melakukan jenayah itu,xtahulah,mgkn hatinyer sudah tiada niat untuk bertaubat dan mgkn dorg tu kurg kasih syg dan perhatian..

    ReplyDelete
  7. Sdr Anon,
    Garis panduan pencegahan kejahatan, daripada yang paling kecil hinggalah yang paling besar, sudah disebut di dalam al-Quran dan al-Hadis. Hukuman rejam yang Sdr katakan itu sudah ada tetapi kita mengelak untuk melakukannya. Bahana yang seperti inilah yang kita dapat.

    ReplyDelete
  8. pendapat saya sebelum mereka(pesalah)dijatuhi hukuman mati seeloknya dera mereka sebagaimana mereka mendera mangsa.kerana jika gantung sahaja that's it..mereka x rasa azab seperti mana mangsa menderita sebelum mati.ataupun ketika hukuman dijalankan seperti sebat dan gantun seeloknya siarkan dikaca tv secara live.sekurang2nya akan memberi keinsafan kepada 'bakal penjenayah'

    ReplyDelete