Monday, June 7, 2010

Biarlah Dia Bertaruh Sukan Bola Sepak kerana Dia Hendak Berderma

Mari kita anggarkan bersama-sama, berapa banyak keuntungankah yang bakal diperoleh oleh Ascot Sports Sdn Bhd daripada operasi pertaruhan sukan yang diberikan oleh kerajaan? Pada hemat saya, tentu berbilion-bilion RM. Jika tidak mendapat keuntungan yang sebanyak itu, tidak mungkin pemiliknya bersedia untuk mendermakan RM525 juta kepada Better Foundation Malaysia.

Tentulah dia telah membuat unjuran keuntungan daripada pertaruhan itu sehingga dia berani dan bersedia untuk mengeluarkan wang sebanyak itu sebagai derma (atau mungkin saya kurang faham, jumlah derma yang sebanyak itu agaknya diperoleh daripada keuntungan seluruh syarikat miliknya!)

Jikalau ternyata kesediaannya mendermakan RM525 juta itu adalah kerana dia telah mengunjurkan keuntungan pertaruhan sukan itu, bermakna dia telah mengagak keuntungan yang bakal diperolehnya. Sangat lumayan!

Hakikatnya ialah, kalau banyak dan lumayan keuntungan yang diperolehnya, maka banyak jugalah orang yang menanggung rugi. Rugi dalam konteks pertaruhan sukan bermaksud bahawa orang telah kehilangan wang yang berpotensi untuk dimanfaatkan ke arah pembangunan dan kesenangan hidup. Rugi juga bermaksud pembaziran wang oleh sebilangan orang ke jalan yang sia-sia. Sedang wang itu seharusnya dimanfaatkan untuk memperoleh sesuatu yang pasti.

Rasa-rasanya, selepas bulan Jun nanti, semakin banyak rumah yang bakal disimbah cat, semakin banyak orang yang meninggalkan keluarga, semakin banyak orang yang menukar nama dan rupa kerana tuan punya rumah atau mungkin ahli keluarga tuan rumah tidak mampu untuk membayar pinjaman kepada jerung-jerung peminjam wang, ceti-ceti haram. Hm, semakin banyaklah tugas polis!

Yang paling penting daripada pemberian lesen untuk pertaruhan sukan ini kepada pihak Ascot Sports Sdn Bhd ialah kita dapat melihat pendirian dua pihak yang sangat jauh berbeda. Pihak kerajaan, sebagai pemberi lesen, tidak endah akan hal ini dan dengan angkuh tidak mahu memperkatakannya manakala pihak pembangkang menentang hal ini dengan sekeras-kerasnya.

Kalaulah isu pertaruhan sukan ini benar-benar diberi perhatian dan dibenci oleh rakyat dengan seikhlas-ikhlasnya dan mereka terus mengingat dan mendendami pendirian kerajaan ini, sudah pasti kerajaan yang berkuasa sekarang akan menaiki perahu pembangkang pada pilihan raya yang akan datang. Namun, hakikat yang sebenarnya bukan begitu. Orang mudah melupakan isu yang dibangkangi mereka. Maka, oleh sebab itulah kerajaan yang berkuasa sekarang tidak malu untuk melakukan hal-hal yang melanggar hukum agama dan hal-hal yang menyinggung hati mereka.

Isu ini perlu dibangkitkan terus-menerus, sama seperti para pejuang dan pencinta bahasa Melayu yang tidak hangat-hangat tahi ayam membantah dan menentang isu PPSMI. Mereka menentang dan membantah isu PPSMI ini tanpa henti. Sebagai peringatan, untuk menguatkan ingatan kita terhadap isu ini, makanlah kismis, madu, dan kurma.

3 comments:

  1. Salam, tuan.
    Tunggu sahajalah akibatnya apabila niat digunakan bagi menghalalkan cara. Yang salah, tetap salah biar apa sekalipun niat kita. Tidak bolehkah pemimpin kita berfikir dengan bijak?

    ReplyDelete
  2. Orang yang mampu berfikir dengan bijak pertama-tamanya mestilah berilmu (atau bersedia menerima pandangan orang yang berilmu). Apabila keputusan dan pendapat didasarkan pada nafsu dan perasaan, tidak mungkin lahir kebijaksanaan. Malanglah masyarakat/rakyat yang dipimpin oleh orang sedemikian. Maka, tanggungjawab kita ialah bersama-sama mengilmukan masyarakat (termasuk golongan pemimpn).

    ReplyDelete
  3. Salam. Cikgu Marni;
    Ada pepatah asing mengatakan bahawa "Orang pandai kenal akan orang bodoh kerana mereka pernah menjadi bodoh tetapi orang bodoh tidak kenal akan orang pandai kerana mereka tidak pernah menjadi pandai". Pemimpin kita mungkin bijaksana tetapi dibodohkan oleh kuasa. Akibat itu, jika boleh diaturkan, biarlah menimpa diri mereka sahaja.

    Salam, Prof;
    Itulah hakikat pemimpin dan kepemimpinan yang kita cari - bersedia untuk menerima pandangan orang yang berilmu. Malangnya, Prof, banyak antara mereka menulikan telinga dan tidak bersedia untuk menerima pandangan.

    Dalam konteks sekarang, saya fikir, mengilmukan ilmu termasuk juga di dalamnya menyedarkan masyarakat. Mereka perlu dihijrahkan.

    ReplyDelete