Wednesday, June 9, 2010

Dari 4 hingga 40: Di Manakah Sialnya?

Sesetengah orang beranggapan bahawa angka 4 (EMPAT) membawa sial. Oleh sebab angka itu dianggap sebagai sial, maka sedapat yang mungkin orang yang beranggapan bahawa angka 4 itu membawa sial mencuba untuk mengenyahkan angka itu daripada kehidupan mereka.

Dalam hal ini, bukan sedikit jumlah orang yang menolak penggunaan angka itu pada plat kenderaan mereka. Begitu juga, bukan sedikit pemilik bangunan yang “takut” untuk menyenaraikan angka 4 sebagai tingkat-tingkat bangunan mereka. Kerana takut, tingkat-tingkat yang berkait dengan nombor 4 ditulis sebagai tingkat 3A, 13A, 23A, dan seterusnya atau mereka langsung melangkaukan tingkat yang berkenaan ke nombor-nombor yang berikutnya.



Seorang rakan saya yang meyakini kesialan angka 4 itu memperlekeh kereta adik saya kerana satu daripada nombor yang tertera pada plat kereta adik saya itu ialah nombor 4. Saya membiarkannya berkata apa-apa yang diyakininya dengan nombor 4 itu dan dia kelihatan begitu angkuh dengan kefahamannya itu. Mujurlah adik saya yang panas baran tidak mendengar perbualan kami itu. (Mungkin tidak berlaku pergaduhan kalau adik saya sampai mendengar perbualan kami itu, tetapi pasti ada pertengkaran jika dia ikut mendengarnya.)

Setelah membiarkan kawan saya itu berhujah, akhirnya saya berkata kepadanya, setiap orang termasuklah awak sendiri, kata saya, akan memiliki angka 4 dalam hidup mereka – bermula dari usia awak 4 saat, 4 minit, 4 jam, 4 hari, 4 minggu, 4 bulan, sehinggalah umur awak yang sudah melewati 40 tahun sekarang ini. Awak sekarang sudah mewarisi perniagaan bapa awak. Perniagaan itu semakin maju dan saya tidak nampak apa-apa tanda kesialan pada diri dan perniagaan awak pada usia 40 tahun awak. Malah, kata saya, bapa awak sendiri tidak mati pada usianya 40 tahun, tetapi mati pada usia 60 atau 70 tahun. Jadi, di manakah sialnya angka 4 itu, saya menyoalnya.

Dia diam. Matanya, saya lihat, terkebil-kebil. Ada senyuman yang kemalu-maluan di bibirnya. Barangkali hujah saya masuk ke dalam fikirannya, wallahua‘lam. Buat seketika, idea yang muncul tiba-tiba sehingga mendorong saya berkata sedemikian menyebabkan saya berasa lebih bijak daripadanya (walhal Allah SWT jualah yang menghadirkan idea yang membolehkan saya memperosokkan keangkuhannya itu).

Saya jarang-jarang berjumpa dengan orang yang berbeda pendirian dengan rakan saya itu – tidak meyakini kesialan angka 4 melainkan semuanya berkata hal yang sama – bahawa angka 4 sial, sial, sial! Tetapi bekas jiran saya sejak tahun 1994 hingga tahun lalu sangat terbuka dalam hal-hal seperti ini. Daripada pemerhatian saya, saya mendapati mereka sekeluarga tidak mengendahkan kefahaman itu. Nombor plat kedua-dua buah kereta mereka mempunyai angka 4, malah mereka “berhenti beranak” setelah mereka beroleh 4 orang anak (yang bongsu lelaki). Saya lihat, tiada kesialan dalam hidup mereka. Buktinya, selepas mengambil VSS daripada syarikatnya bekerja, si suami beroleh pekerjaan baharu yang memerlukannya selalu ke luar kawasan hingga ke luar negara. Tidak beberapa lama dia bekerja di syarikat baharu, mereka suami isteri membeli rumah berbandung dua tingkat (sebelum itu rumah teres dua tingkat) dan berpindah ke situ pada tahun lalu. Sialkah itu?

Saya memanjanglebarkan hal ini kerana ada pihak lain yang berkata bahawa Life begin at fourty. Maksudnya ialah usia 40 tahun menjadi penanda aras kepada kehidupan yang sebenarnya. Dalam erti kata yang lain, angka 4 (40) itu langsung tidak mencerminkan kesialan tetapi kematangan, sama ada kepada lelaki ataupun kepada wanita (walaupun ada segelintir wanita yang mendakwa bahawa usia 40 tahun ialah usia kematangan untuk wanita dan usia kegatalan untuk lelaki. Hm, marilah kita berdoa agar Allah SWT menghidayatkan wanita yang berfikiran demikian kerana kegatalan lelaki bermula jauh lebih awal daripada usia itu).

Barangkali, kerana kematangan (bukan kesialan) manusia bermula dari usia 40 tahunlah, maka Nabi Muhammad SAW diangkat oleh Allah SWT sebagai Rasul-Nya pada usia itu. (Agaknya, para Rasul yang terdahulu daripada Nabi Muhammad SAW pun diangkat sebagai Rasul pada usia 40 tahun, wallahua‘lam.)

Sama ada orang akan benar-benar matang pada usia itu (lebih banyak memperbaik diri sendiri dan orang sekitarnya atau lebih banyak merosakkan dirinya dan orang sekitarnya), bergantung pada kecenderungan mereka. Jangan menyerahkan hal ini (perubahan) kepada keadaan semata-mata tetapi berusaha dan berikhtiarlah. Ada doa yang elok dibaca tatkala menginjak usia ini. Doa tersebut terkandung dalam surah Al-Ahqaf, ayat 15 yang bermaksud:

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: Wahai Tuhanku, ilhamkanlah aku supaya tetap bersyukur akan nikmat yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu, dan sesungguhnya aku dalam kalangan orang Islam (yang tunduk patuh kepada-Mu)”.

Saya yakin, tidak ada apa-apa kesialan pun yang dilekatkan oleh Allah SWT pada sesuatu perkara, keadaan, dan unsur-unsur lain yang dicipta-Nya di muka bumi ini. Kita saja yang memandai-mandai dan mereka-reka cerita. Sebagai akibatnya, kita yang takut sendiri.

4 comments:

  1. Salam Adinda Zul

    Setelah sering membaca tentang no 13 sebagai no "sial" di kalangan mereka yang "omputih" atau yang hidup mengamalkan gaya "omputih", Uda tak rasa hairan sangat ada pula orang yang begitu "orientalis" atau hidup berpegang kuat kepada faham sesetengah "puak" di sebelah Timur pelosok alam ini ... meletakkan no 4 sebagai no sialan . . . (waduh, waduh banyak yang sudah terikut-ikut nampaknya!)

    Tak apalah bro . . . kalau mereka itu anti no 4, kita jangan sampai jadi 44 sudah . . . Itu dua kali sialan namanya . . . (terkenangkan dialog pelakon Farouk Afero dalam filem Indonesia tahun 1970-an . . . berjudul "Akhirnya Sebuah Impian" . . . kalau tak silap.)

    Pada Uda "sial" itu sendiri yang cari ...

    Pendek cerita,

    S = Siapa
    I = Ingkar
    A = Atau
    L = Lalai

    akan menimpa mereka yang membentuk sendiri
    kepercayaan 'songsang' terhadap sesuatu . . . bukan angka semata-mata!

    Teringat pula zaman dulu-dulu ... ketika ramai orang sibuk bermain TOTO ... he he

    ReplyDelete
  2. Salam. Terima kasih kepada tuan yang sudi berkongsi ilham bagaimana mahu mematahkan hujah mereka yang tidak bijak ini. Saya suka angka empat sebab bentuknya serupa seperti orang sedang duduk sambil goyang kaki, simbol senang hati kan? hehehehee...

    ReplyDelete
  3. Salam, Uda,
    Angka 13 itu "hitam" sekali kepada kita di Malaysia, iaitu pada Mei 1969. Omputih, angka 13 tu hitam dan sial kepada mereka sepanjang masa. Tentu bersebab. Adakah Jesus mereka "dibunuh" pada tarikh itu? Mujur kita tidak terikut-ikut sangat seperti halnya dengan Valentine's Day itu.

    Alhamdulillah, kita telah berhijrah, Uda terutamanya.

    Salam, Cikgu Marni,
    Saya menelek nombor empat selepas Cikgu menggambarkan "karakter"nya. Betullah. Saya suka nombor enam kerana saya dilahirkan pada bulan itu (Jun) dan dalam tempoh tahun itu (60-an).

    ReplyDelete
  4. Salam Adinda Zul,

    Orang kata no 69 tu tunggang terbalik . . . Uda pula nampak 69 sebagai pembuka dan penutup kata . . . maka 69 tu mengikut persepsi masing-masing le tentunya. Wallahualam.

    Seperkara lagi, bila sempat lihat le blog teman. Ada teman beri respons terhadap komen adinda tentang BMDK tu . . .

    ReplyDelete