Sunday, June 13, 2010

Judi Sukan: Muktamadkan Segera

Salah satu daripada dua pihak ini – Berjaya Corporation dan Kerajaan Malaysia –sangat saya yakini bahawa telah bercakap jujur dan benar. Sebagai ingatan, yang dikatakan oleh pihak Berjaya Corporation adalah bahawa mereka telah mendapat kelulusan kerajaan untuk menjalankan operasi pertaruhan sukan secara sah. Pihak Kerajaan Malaysia pula berkata bahawa hal ini belum dimuktamadkan lagi.

Dalam waktu kedua-dua pihak sedang berusaha untuk meyakinkan rakyat yang jelas menentang “pemberian” lesen itu, Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia sudahpun bermula. Sudah dimulakankah oleh Ascot Sports Sdn Bhd pertaruhan untuk kehohanan itu?

Semalam, pihak Berjaya Corporation mempertahankan pengumuman yang telah dibuatnya kepada kepada Bursa Malaysia pada 12 Mei lalu bahawa mereka akan mengambil alih 70% pegangan dalam syarikat yang memiliki lesen pertaruhan sukan – Ascot Sports Sdn Bhd. Ketegasan ini sekali gus menyanggah kenyataan Menteri Kewangan yang mengatakan pemberian lesen itu “belum muktamad”.

Kita faham bahawa kesungguhan pihak Berjaya Corporation mempertahankan pengumuman itu adalah untuk meyakinkan para pemegang saham dan pihak yang berminat untuk membeli saham mereka. Sebarang ketidaktentuan sudah pasti akan menjejaskan reputasi dan prestasi mereka di Bursa Malaysia. Di pihak kerajaan, pendirian untuk “tidak memuktamadkan” pemberian lesen itu adalah untuk menjaga hati dan meredakan kemarahan dan penentangan rakyat.

Kerajaan yang memerintah (BN yang dikepalai UMNO) memang sangat berhati-hati dalam hal ini – seperti memalu ular: tanah tidak lembang, kayu tidak patah tetapi ular biar mati. Hal ini demikian kerana Berjaya Corporation sangat berjasa kepada mereka (ada pihak yang mendakwa bahawa Berjaya Corporation adalah antara penyumbang dana kepada BN-UMNO, wallahua‘lam). Mereka (BN-UMNO) sudah pasti tidak mahu mengecewakan Berjaya dan pada masa yang sama tidak mahu mengesampingkan penentangan rakyat yang mengundi mereka – dalam keadaan tertentu, kedua-dua pihak ini “menjadi penentu kemenangan” mereka dalam pilihan raya.

Oleh sebab itulah, ada pihak yang meragui penentangan kerajaan negeri (Selangor dan Pulau Pinang) yang tidak membenarkan operasi pertaruhan sukan ini dilakukan di negeri mereka. Adakah mereka menentangnya kerana judi bersalahan dengan tuntutan agama dan moral atau kerana mereka bimbang kerajaan BN-UMNO akan memperoleh dana yang besar daripada Berjaya bagi membiayai perbelanjaan PRU akan datang yang akan menyukarkan PR merealisasikan cita-cita mereka?

Walau apa-apa pun hasrat kerajaan negeri, masyarakat, dan lain-lain, kita tidak harus sama sekali menyisihkan hakikat bahawa JUDI adalah salah satu punca keruntuhan sistem sosial masyarakat yang akhirnya merugikan negara, bangsa, dan agama.

Kepada Menteri Kewangan, hal ini perlu difikirkannya – keterlibatan orang Melayu dalam hal-hal yang negatif melebihi bangsa lain. Majoriti penghidap HIV/AIDS ialah Melayu-Islam, majoriti penagih dadah juga Melayu-Islam, majoriti remaja merempit pun Melayu-Islam, majoriti orang yang membuang anak dan membuat anak haram Melayu-Islam juga. Fikir-fikirkanlah natijah daripada judi ini juga.

3 comments:

  1. Percayalah, tuan... isu ini akan 'disenyapkan' begitu sahaja...

    ReplyDelete
  2. apakah kita membiarkan mereka yang mengamalkan matlamat menghalalkan cara terus memerintah kita?

    ReplyDelete
  3. Salam, Cikgu Marni;
    Saya pun merasakan demikian juga. Yang hairannya, dalam hal kita hendak menukar Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam, misalnya, Sultan marah kalau tukar sesuka hati tanpa memberitahukan hal itu kepadanya tetapi dalam hal ini Sultan jadi apa?

    Mufti pun berapa kerat yang memberikan respons tentang hal ini?

    Salam Sdr Faziz;
    Saya dengan tegas mengatakan TIDAK.

    ReplyDelete