Monday, June 21, 2010

Benarkah Mantan Mufti Itu akan Berpakaian UMNO?

Kalangan penyokong UMNO begitu gembira apabila Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin dikhabarkan akan menjadi ahli parti itu bersama-sama dengan ratusan pengikutnya. Saya yakin, hal yang sama juga akan dirasai oleh para penyokong PAS jika mantan mufti itu menganggotai parti mereka. Pilihan Dr. Mohd. Asri itu tidak wajar dipertikaikan sekiranya kita benar-benar menghayati amalan demokrasi di negara ini.

Dengan pendirian yang tetap dan konsisten, saya fikir mantan mufti itu memang wajar menganggotai UMNO yang kadang-kadang memperlihatkan pendirian Islam yang kurang mantap. Hal ini tidak sukar untuk dibuktikan – pemberian lesen pertaruhan (judi) sukan (yang diumumkan oleh menteri daripada UMNO sendiri) adalah antara contohnya. Kesambalewaan kerajaan yang ditunjangi UMNO dalam mempraktikkan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan juga adalah antara contoh yang jelas.

Oleh itu, penyertaan beliau dalam UMNO kelak akan membolehkan beliau menegur parti itu dari dalam dan cara ini lebih berkesan dan berbekas kepada semua ahli UMNO (termasuk para pemukanya) berbanding dengan kiranya beliau berada di luar parti itu. Walau bagaimanapun, beliau mungkin berdepan dengan kesukaran untuk mengubah mentaliti segelintir ahli UMNO yang kadangkala seperti mempertikaikan dan memperlekeh peranan ulama dan mufti.

Sebagai seorang yang waras, beliau sudah tentu berfikir akan buruk baik pilihannya itu. Beliau memilih UMNO kerana barangkali beliau sedar bahawa banyak yang dapat diberikannya kepada parti itu jika dibandingkan beliau memilih PAS. “Jangan fikirkan apa-apa yang akan diberikan oleh pihak lain kepada kita tetapi fikirkanlah apakah yang dapat kita sumbangkan kepada pihak lain itu,” agaknya itulah prinsip perjuangan Dr. Mohd. Asri. Wallahu a‘lam.

Cuma, berita kemasukan beliau ke dalam UMNO sudah sahihkah?

2 comments:

  1. dulu DSAI telah memasuki parti asobiah dengan hasrat untuk membaikinya dari dalam...setelah dia hampir berjaya menjaringkan gol..tetiba dia dibentes secara foul dan jijik....peratran permainan diubah..tiang gol diubah...pengadil bersekongkol...maka dia terpelanting...apakah mufti itu punyai hati yang istiqomah seperti DSAI..aku nampak tidak..dia akan dijadikan perkakas oleh parti asobiyah itu untuk menghalalkan cara setiap perbuatan mereka...

    ReplyDelete
  2. Salam, Sdr Faziz;
    Memang kerja gila kalau hendak membersihkan najis dalam tong dengan memasuki tong itu. Sebaik-baiknya najis dalam tong hendaklah dibersihkan dari luar tong.

    Titipan saya ini untuk orang yang berperasaan dan berkeyakinan bahawa mantan mufti akan berparti politik. Sebenarnya, yang saya dengar, banyak antara rakannya yang meminta beliau tidak usah berparti politik. Wallahua'lam.

    ReplyDelete