Tuesday, June 8, 2010

Kekeliruan Baharu Pula Tercetus

Dalam notisnya kepada Bursa Malaysia pada 12 Mei 2010 lalu, Berjaya menyatakan bahawa Kementerian Kewangan telah memberikan kelulusan berhubung pemberian semula lesen kepada Ascot Sports Sdn Bhd untuk menjalankan operasi pertaruhan sukan.

Di pihak Kerajaan pula, Kementerian Kewangan melalui Menterinya menyatakan bahawa lesen berkenaan masih belum dikeluarkan kerana masih menunggu maklum balas daripada orang ramai di samping ada beberapa syarat yang sedang dirangka. Kenyataan daripada pihak Kerajaan itu diberikan oleh YAB Dato’ Seri Mohd Najib bin Haji Tun Abdul Razak selaku Menteri Kewangan dalam jawaban bertulisnya kepada soalan YB Abd. Khalid Abdul Samad (MP Shah Alam), YB Tian Chua (MP Batu), YB Loke Siew Fook (MP Rasah), dan YB Dato’ Paduka Ibrahim Ali (MP Pasir Mas), di Parlimen semalam.

Saya berpandangan bahawa semua kekeliruan ini tercetus daripada kedegilan pihak yang memberikan kelulusan untuk menerima pandangan rakyat, khususnya pandangan agama Islam, iaitu agama yang dianuti oleh Menteri Kewangan serta kebanyakan Menteri UMNO yang lain.

Sekiranya kedegilan ini terus bersarang di dalam dada mereka, percayalah lebih banyak kekeliruan akan muncul (penyataan yang menggambarkan ada judi halal dan ada judi haram pun kekeliruan juga). Yang dikhuatiri, kekeliruan ini menampakkan ketidakcerdikan mereka dalam usaha hendak memperbodoh rakyat yang ternyata semakin lama semakin cerdik dan mantap agama dan moral mereka.

Saya fikir, jemaah kabinet yang lain, perlu benar-benar berani menyatakan yang benar dan menegur kesilapan ketua mereka. Jangan bimbang kehilangan kuasa dan jawatan kerana menyatakan yang benar itulah kuasa yang sebenar-benarnya. Apakah gunanya menjadi pak turut kalau kalian menjadi melukut di sisi Allah Azza wa Jalla. Lagipun, eloklah kehilangan kuasa daripada kehilangan syurga.

4 comments:

  1. Salam, tuan.

    Hari ini pemimpin kita membuat kenyataan meminta rakyat memberi cadangan apa yang perlu dibuat terhadap 'judi haram' sekiranya rakyat tidak bersetuju dengan pemberian lesen judi.

    Lucu dan terasa seperti hendak ketawa berguling-guling dibuatnya! Siapa memimpin siapa? Siapa pula mahu mendengar siapa? Hehehehe...

    ReplyDelete
  2. Salam, Cikgu;
    Kalau diberi kuasa kepada kita, marilah kita merotannya kerana mengklasifikasikan judi sebagai ada yang haram dan ada yang halal.

    Tidak pernah baca al-Quran agaknya pemimpin kita itu!

    ReplyDelete
  3. mereka dibawah pengaruh apco...jika mereka menarik balik lesen judi itu bukan bermakna mereka telah insaf tetapi sebagai satu strategi memenangi hati rakyat...jika sokongan telah kembali padu maka mereka akan buat apa yang mereka suka...judi, arak, hiburan terlalu ..tak jadi hal. Negara dipimpin oleh tycoon..sejak cekdet jadi PM lagi...

    ReplyDelete
  4. Salam, Sdr Faziz,
    Jika itulah strategi politik mereka, rakyatlah yang menang bukan mereka. Dan jika benar APCO berperanan dalam hal pengurusan negara, mereka (kerajaan) tidak akan berpatah balik, kecuali PM kita seorang yang kuat dan berani.

    Taikun sangat penting kepada pemimpin dan parti yang diwakili mereka. Mungkin mereka penyumbang dana kepada pergerakan parti, khususnya dalam PRU/PRK.

    ReplyDelete