Thursday, June 17, 2010

Kisah “Mat”/“Mad”

Pernahkah terfikir oleh benak kita bagaimanakah nama “Mat”/“Mad” itu sangat popular dalam kalangan umat Melayu sehingga nama itu menjadi gelar dan rujukan kepada pelbagai watak dan perwatakan orang Melayu? Bukan sedikit jumlah “Mat”/“Mad” yang digandingkan dengan imej-imej dan sifat-sifat negatif dan hal ini seperti sudah menjadi lumrah dan membudaya dalam masyarakat kita. Seperti yang kita maklum, nama “Mat”/“Mad” itu sudah tentulah dirujuk kepada orang lelaki (tidak semestinya Melayu).

Antara contoh “Mat”/“Mad” yang berganding dengan imej-imej dan sifat-sifat negatif termasuklah “Mat”/“Mad” Jenin (lelaki yang kuat berangan-angan), “Mat”/“Mad” Gian/Pet (lelaki penagih dadah), “Mat”/“Mad” Jiwang (lelaki yang sentimental), “Mat”/“Mad” Cintan (lelaki yang kaki cinta), “Mat”/“Mad” Rempit (lelaki yang suka berlumba haram), “Mat”/“Mad” Tenggek (lelaki yang suka makan percuma), “Mat”/“Mad” Rambu/Rewang (lelaki yang suka ke sana ke mari), “Mat”/“Mad” Kapur (lelaki yang suka mencuri), dan puluhan imej negatif yang lain.

Hal ini tidak termasuk dengan gelar yang diberikan kepada lelaki yang memikul jawatan tertentu atau menjadi pengamal/penggemar sesuatu bidang seperti “Mat”/“Mad” Despatch lelaki penghantar surat), “Mat”/“Mad” Rok (lelaki penggemar/pengamal muzik rok), “Mat”/“Mad” Kilang (lelaki pekerja kilang), “Mat”/“Mad” Smart (lelaki yang berpenampilan kemas), dan sebagainya.

Sesetengah “Mat”/“Mad” digunakan untuk merujuk kepada bangsa seperti “Mat”/“Mad” Salih (orang Eropah), “Mat”/“Mad” Hitam (Negro), dan lain-lain.

Dalam situasi lain, kalau empunya diri memang memiliki nama “Mat”/“Mad” dan kebetulan dia memiliki ciri tertentu, maka orang dengan senang hati memanggilnya dengan panggilan seperti “Mat”/“Mad” Misai (kerana si “Mat”/“Mad” itu bermisai), “Mat”/“Mad” Jongang (kerana si “Mat”/“Mad” itu bergigi jongang), “Mat”/“Mad” Buntal (kerana si “Mat”/“Mad” itu berperut gendut seperti ikan buntal), dan sebagainya.

Banyak juga “Mat”/“Mad” yang menjadi pangkal nama tokoh-tokoh negara seperti “Mat”/“Mad” Kilau, Wan “Mat”/“Mad” Saman, “Mat”/“Mad” Sabu, dan sebagainya.

Soalnya sekarang ialah dari manakah asalnya nama “Mat”/“Mad” yang digunakan dengan leluasa dan serampangan oleh orang Melayu itu? Saya yakin (terpulang kepada anda sama ada hendak meyakini dan menerimanya ataupun sebaliknya) asal nama “Mat”/“Mad” yang sangat popular dan sudah membudaya dalam kalangan kita umat Melayu itu adalah daripada hujung nama MUHAMMAD/AHMAD, iaitu nama Rasululullah SAW yang kita kasihi.

Jadi, saya secara peribadi, berasa agak terkilan dan bersalah kerana membiarkan orang dengan bersewenang-wenang menyalahgunakan nama insan yang dimuliakan Allah SWT itu pada sifat-sifat negatif manusia seperti “Mat”/“Mad” Jenin, “Mat”/“Mad” Gian/Pet, “Mat”/“Mad” Jiwang, “Mat”/“Mad” Cintan, “Mat”/“Mad” Rempit, “Mat”/“Mad” Tenggek, “Mat”/“Mad” Rambu/Rewang, “Mat”/“Mad” Kapur, dan sebagainya itu.

Saya yakin, kalian malah saya sendiri, akan berasa sangat marah kalau anak kita yang kita beri nama Muhammad Iqbal, misalnya, tetapi oleh sebab anak kita itu katik atau berbibir tebal seperti Negro atau berkaki pendek sebelah dan sebagainya, maka anak kita itu dipanggil oleh rakan-rakannya dengan panggilan Mat/Mad Katik, Mat/Mad Negro, Mat/Mad Tempang, dan sebagainya.

Jadi, agak-agaknya, tidak murkakah Allah SWT kalau nama MUHAMMAD/AHMAD kekasih-Nya itu disebut sebagai “Mat”/“Mad” sahaja dan dipadankan dengan sifat-sifat yang negatif pula?

(Kecenderungan orang Melayu menyebut dan menggunakan nama secara serampangan ini turut melibatkan nama Allah SWT sendiri – Abdur-Rahman menjadi Deraman, Abdullah disebut Dollah, Razak dipanggil Ajak, Jabbar dipanggil Jabor, dan sebagainya.)

Marilah kita kembali menghormati nama Nabi kita (dan nabi-nabi lain juga) serta nama Tuhan kita, Allah SWT.

2 comments:

  1. Sdr. Zul,

    Agama Islam memerintahkan ibu bapa memberikan nama yang baik-baik; malangnya seruan itu kurang diendahkan oleh sebilangan ibu bapa, termasuklah dalam hal pencemaran nama yang berkaitan dengan Allah, Nabi dan sahabat Nabi. Sebilangannya pula cenderung memberi anaknya nama yang tidak ada makna sama sekali meskipun sedap didengar.

    ReplyDelete
  2. Salam, Prof,
    Alhamdulillah, kita berkesedaran tentang hal ini malahan pihak JPN juga, jika saya tidak salah, memantau hal ini.

    Saya sering menasihati editor-editor bawahan saya supaya menggunakan nama Abdul jika mereka menggunakan nama-nama Allah seperti Halim, Rahim, Jalil, Salam, dan lain-lain dalam ayat-ayat (Buku Kerja BM dan sebagainya) serta menggunakan nama para Rasul dengan betul seperti Sulaiman bukan Leman, Idris bukan Deris, dan sebagainya, tetapi mereka sering tidak ambil pusing.

    Saya sudah menunaikan tanggungjawab saya.

    ReplyDelete