Friday, June 11, 2010

Orang Perjuangan Itu Apakah Ciri-cirinya?

Orang Perjuangan, bekal perjuangan mereka keikhlasan. Mereka tidak memiliki bekal lain, tidak mempunyai matlamat lain melainkan ikhlas itulah. Perjuangan yang ikhlas bermaksud semua itu dilakukan demi Allah, kerana Allah. Orang Perjuangan tidak menjadikan harta, imbalan, gelaran, pangkat, darjat, dan penghormatan sebagai matlamat perjuangannya. Malah, Orang Perjuangan mengorbankan harta, gelaran, pangkat, darjat untuk memperlengkap perjuangan mereka.

Sayidina Abu Bakar as-Siddiq, Usman ibn Affan, Abdur-Rahman ibn Auf dan banyak lagi adalah antara contoh Orang Perjuangan. Bukan sedikit harta yang dicurahkan mereka demi pegangan yang diperjuangkan mereka, bukan sekali mereka menolak anugerah, gelar, dan pangkat daripada pemuka Quraisy.

Orang Perjuangan tidak menjadikan penderitaan dan kesengsaraan, kepayahan dan kedukaan sebagai penghalang perjuangan mereka. Penderitaan kesengsaraan, kepayahan kedukaan bagi Orang Perjuangan adalah untuk dilalui dan dihadapi bukan untuk dihindari, disesali, dan ditangisi.

Salahuddin al-Ayyubi juga Orang Perjuangan. Beliau anak kenamaan. Bapanya Gabenor. Sebelum bergelar sebagai Sultan Mesir, Salahuddin anggota tentera bapa saudaranya, Shirkuh (panglima tentera pemerintah Mesir, Sultan Nuruddin). Salahuddin menggantikan bapa saudaranya sebagai panglima selepas kematian bapa saudaranya itu. Pelantikan beliau sebagai Sultan adalah antara kemuncak kejayaannya sebagai Orang Perjuangan. Orang Perjuangan seperti beliau langsung tidak berhajat akan jawatan. Beliau dipilih, bukan merampas kekuasaan daripada Shirkuh atau Sultan Nuruddin.

Sebagai Sultan dan pemimpin perang – Orang Perjuangan – beliau kerap menang dalam perang (Perang Salib). Apakala beliau mangkat pada tahun 1193, harta yang ditinggalkannya sebagai belanja pengebumiannya hanyalah sekeping wang emas dan empat keping wang perak/wang berjumlah lima dinar. Itu sahajalah yang ditinggalkannya sebagai Orang Perjuangan kerana hampir kesemua hartanya telah diberikannya kepada rakyatnya yang miskin.

Kita – saya dan kalian – saya yakin, masih kabur mata dan kabur fikiran. Tegasnya, kita masih tidak tahu sama ada hendak menggolongkan para pemuka kita – baik yang memerintah ataupun yang membangkang – sebagai Orang Perjuangan seperti tokoh-tokoh yang namanya disebutkan itu. Orang Perjuangan benar-benar mendahulukan agamanya, negaranya, rakyatnya bukan mendahulukan anak dan bininya, kawan dan kroninya, saudara-mara dan saudari-marinya.

Para pemuka kita, barangkali memang Orang Perjuangan juga. Yang berbeda ialah perkara, bentuk, dan matlamat perjuangan mereka. Mereka lazimnya berjuang untuk mewah serba-serbi – rumah agam, kereta canggih, saham berkepuk, bini berbaris (tidak kira dipinang cara sah atau perlu menghunus keris). Tidak cukup yang itu, gelar dan penghormatan, pangkat dan darjat dihambat-hambat.

Saya ingin mengingatkan, kalau kalian menggolongkan diri kalian sebagai Orang Perjuangan, janganlah gelar dan pangkat, harta dan darjat kalian hambat-hambat. Jadikanlah Abu Bakar, Usman, Abdur-Rahman, dan Salahuddin contoh teladan. Nama mereka harum mewangi di langit dan di bumi bukan kerana gelar dan pangkat, harta dan darjat tetapi kerana perjuangan mereka. Nama mereka harum bukan kerana rumah agam, kereta canggih, saham berkepuk, bini berbaris tetapi kerana ada ikhlas dalam perjuangan sebagai Orang Perjuangan. Orang Perjuangan merealisasikan matlamat bukan merealisasikan nafsu.

Dan sebagai Orang Perjuangan, kalau kelak dengan perjuangan kalian itu sampai kalian beroleh gelar dan pangkat, harta dan darjat, ingatlah kalian bahawa semua yang kalian peroleh itu adalah kerana kalian khlas berjuang lalu kalian dipandang, bukan kerana kalian merayu dan menadah tangan. Sebaliknya, kalau dengan perjuangan kalian sebagai Orang Perjuangan kalian tidak beroleh apa-apa – gelar dan pangkat, harta dan darjat – kalian memang tidak mengharapkannya kerana yang kalian harapkan hanyalah ingatan rakyat, keredhoan Allah Azza wa Jalla.

Sebenarnya, wahai Orang Perjuangan, upah kelelahan kalian cukuplah dengan yang perlu-perlu sahaja (wang sara yang seadanya)! Janganlah kalian harapkan wang dan harta daripada taikun dan tauke. Janganlah kalian idam-idamkan siang malam Tun dan Tan Sri, Datuk dan Datuk Seri, Datuk Paduka dan Datuk Wira, Datuk Patinggi dan entah apa-apa lagi. Cukuplah dengan yang seada-adanya supaya kalian tidak malu sendiri apatah lagi kalau misalnya sampai satu waktu kelak Tun dan Tan Sri, Datuk dan Datuk Seri, Datuk Paduka dan Datuk Wira, Datuk Patinggi dan entah apa-apa lagi itu diambil kembali oleh orang yang memberi. Lagipun, Tun dan Tan Sri, Datuk dan Datuk Seri, Datuk Paduka dan Datuk Wira, Datuk Patinggi dan entah apa-apa lagi itu ada dalam pandangan Allahkah?

Sebagai pemuka wahai para pemukaku, sebagai Orang Perjuangan lebih tepatnya, harta kalian yang sebenar-benarnya adalah untuk nikmat dan kesejahteraan rakyat kalian! Kalau kalian menghendaki harta dan pangkat, gelar dan darjat, senangkanlah rakyat kalian dahulu! Dan cara kalian menyenangkan rakyat kalian dan diri kalian bukan daripada sumber seperti Ascot Sports Sdn Bhd, tetapi haruslah daripada sumber yang suci dan menyucikan.

Ah, susah kami hendak meletakkan kalian sebagai Orang Perjuangan! Rasa-rasanya, kalian memang bukan Orang Perjuangan. Kami membayar hampir segala-galanya – belanja tol dan belanja petrol, caj parkir dan caj servis, caj telefon, caj elektrik, dan caj air, serta belanja hospital dan belanja keraian– kalian apakah yang kalian bayar? Parkir lima puluh sen pun kerajaan bayarkan!

4 comments:

  1. Salam, tuan.
    Pada pendapat saya, orang perjuangan itu adalah orang yang bersifat siddiq, amanah, tabligh dan fatonah. Saya belum berjumpa lagi orang perjuangan yang sebenar-benarnya dalam kalangan pemimpin kita.

    ReplyDelete
  2. Salam, Cikgu Marni,
    Kita harap TG Nik Aziz pemimpin yang tergolong sebagai Orang Perjuangan berdasarjan ciri-ciri yangt Cikgu gambarkan itu - benar, amanah, menyampaikan, dan bijaksana.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum wbt. Zul. Pertama kali aku hantar komen ke sini.
    Mari kita cari orang perjuangan, kemudian kita pupuk kumpulan perjuangan yang luhur, yang tidak menyimpang daripada landasan yang sudah jelas ditetapkan Tuhan. Usahakanlah baik secara lisan, tulisan, dan sebagainya tanpa mengharapkan ganjaran kebendaan, keduniaan. Memanglah, usaha ini akan memakan masa yang panjang. Malah usaha ini seharusnya berterusan tanpa berkesudahan!
    Orang dan kumpulan yang kerjanya mengumpan, kita sisihkan. Jangan pula kita yang termakan umpan.

    ReplyDelete
  4. Salam, Mi,
    Sudah kerap kali klta mencari, melalui PRU khususnya. Di kawasan kita mengundi, kalau dua orang, dua orang itulah yang akan jadi pilihan kita. Kita tidak nampak, malah kadangkala kita tidak tahu sama ada mereka Orang Perjuangan atau orang yang bagaimana. Kadang-kadang rasa nak tukar ke kawasan - kawasan TG Nik Aziz atau TG Hadi Awang.

    Aku rasa, Dato' Baha pun Orang Perjuangan - beliau tekal dengan pendiriannya.

    ReplyDelete