Tuesday, June 22, 2010

Penjara Pudu Sepintas Lalu: Runtuhnya Sebahagian daripada Sejarah

Penjara Pudu ditegakkan oleh penjajah Inggeris di atas tanah seluas 10 hektar di kawasan yang bernama Pudu. Usaha untuk menegakkan bangunan yang menjadi kurungan “pemburu gelaran banduan” ini bermula seawal tahun 1891 dan sempurna pada tahun 1895.

Kelompok “pemburu gelaran banduan” terawal yang menempati kurungan ini diambil dari daerah Jugra, Hulu Langat, Banting, Ampang, Klang, dan Rawang. Pada awal kewujudannya, sebanyak 600 orang “pemburu gelaran banduan” ditempatkan di sini. Oleh sebab jumlah kemasukan mereka terus meningkat, pembesaran dan penambahan terpaksa dilakukan. Akhirnya, setelah dibesarkan dan ditambah, Penjara Pudu telah dapat menjadi tempat “istirahat” yang selesa kepada 2 000 “pemburu gelaran banduan” ini.

Walau bagaimanapun, penjara ini akhirnya mengalami kesesakan (kerana jumlah “pemburu gelaran banduan” semakin banyak). Jumlah yang paling tinggi dicatatkan pada tahun 1985, iaitu sebanyak 6 550 orang. Oleh sebab terlalu banyak dan sesak, para “pemburu gelaran banduan” pernah disyifkan waktu tidur mereka. Keadaan ini sangat berbahaya kepada si “pemburu gelaran banduan” apatah lagi kepada para pegawai yang mengawasi mereka.

Disebabkan oleh kesesakan ini, ditambah pula dengan lokasi yang tidak stategik (di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur) dan kebimbangan terhadap ciri-ciri keselamatannya (kononnya?) akhirnya pada 1 November 1996, Penjara Pudu (Pudu Jail/Pudu Goal) yang sejak lebih 100 tahun tegak “menaburkan baktinya” telah ditutup dengan rasminya.

Sebagai gantinya, sebuah penjara baharu telah dibina di Sungai Buloh di atas satu kawasan yang berkeluasan 89.03 hektar.

Bermula 21 Jun 2010, selepas hampir 14 tahun ditutup dan selepas lebih 100 tahun berkhidmat, Penjara Pudu bakal menamatkan riwayat kewujudannya di dunia ini apabila bermula malam tadi, temboknya mula diruntuhkan. Penjara Pudu – yang pernah menjadi tempat sebilangan orang mendapat petunjuk dan teladan, yang pernah menjadi tempat orang menerima hukuman, yang pernah menjadi saksi kepura-puraan manusia, yang pernah menyaksikan kematian demi kematian, yang tegaknya di situ menggerunkan sebilangan orang – sebahagiannya akan lenyap dari muka bumi Kuala Lumpur. Penjara Pudu, yang pernah menjadi institusi teladan kepada sang politikus dan rakyat marhaen, sang korporat dan orang asing, akan tinggal nama, demi pembangunan.

Calitan sejarah tentang Penjara Pudu:
  • Pernah menjadi “institusi teladan” kepada Datuk Mokhtar Hashim dan Datuk Harun Idris
  • Pernah menjadi tempat “Robin Hood” Malaysia – Botak Chin – dihukum gantung
  • Pernah menjadi tempat Jimmy Chua dan rakan-rakannya “menculik” dan menjadikan pegawai perubatan (doktor) dari HBKL sebagai tebusan
  • Pernah menjadi tempat dua orang rakyat Australia – Brian Geoffrey Chamber dan Kevin Barlow – dihukum gantung
  • PERNAH MENJADI PUNCA KESESAKAN JALAN RAYA KERANA TERDAPAT LUKISAN TERPANJANG DI DUNIA PADA TEMBOK PENJARA ITU, KATA DATUK BANDAR KUALA LUMPUR – DATUK AHMAD FUAD ISMAIL

2 comments:

  1. Salam, tuan.
    Seribu satu alasan boleh diberikan atas nama pembangunan (lebih tepat, pembangunan material). Kita tunggu sahaja apa pula alasan kepada perpindahan seluruh kem TUDM Sungai Besi dari lokasi sekarang (Sg. Besi) ke Dengkil tidak lama lagi. Alasan awalnya, mahu membangunkan pusat komersial di tapak TUDM sekarang. Jelas, bukan? Memang kepentingan material menutup mata hati...

    ReplyDelete
  2. Salam, Cikgu;
    Tidak kita sangka bahawa untuk menjadi rakyat yang membangun, kita perlu membangunkan pembangunan, seperti tidak ada hentinya walhal yang ada sekarang sudah lebih daripada mencukupi. Memang dasar manusia apabila berkuasa, terus mencuba untuk menumpukkan kekayaan.

    Seperti kata Tukar Tiub, dunia ini musnah bukan kerana ramai orang jahat tetapi kerana ramai orang baik tidak mahu melakukan apa-apa.

    Kita perlu melakukan sesuatu supaya TUDM dan sejarah-sejarah lain tidak dipadamkan dari mata kita.

    ReplyDelete