Monday, June 28, 2010

Sorakan Satu Dunia vs Sorakan untuk Pejuang

Seronok hati kita apabila mendengar slogan yang dipilih oleh pihak RTM bersempena dengan Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 2010 yang sedang berlangsung sekarang berkumandang di radio dan televisyen milik RTM. Untuk makluman, RTM merupakan penyiar berlesen FIFA Piala Dunia 2010. Mereka beroleh hak untuk menyiarkan 24 perlawanan secara langsung, 11 siaran tertunda, dan 35 ulang siar.

Slogan yang menjadi pilihan RTM bersempena dengan kejohanan sukan terulung dunia itu ialah “Sorakan SatuMalaysia Satu Dunia”. Malangnya, slogan itu hanya menjadi sebutan pihak mereka sahaja; pihak lain – rakyat, khususnya kanak-kanak asyik menyebut Jom Heboh, Mentor, dan lain-lain.

Kita pasti bahawa dengan mendapat lesen penyiaran itu, pihak RTM dapat meningkatkan jumlah penontonnya (ratingnya mungkin sedikit melonjak). Yang tidak seronoknya adalah daripada 64 siaran langsung, RTM hanya beroleh hak untuk menyiarkan 24 siaran langsung sahaja. Hal ini menyebabkan orang terpaksa mencari sumber lain untuk menyaksikan siaran langsung. Dalam hal ini, kepada orang yang mampu, mereka akan melanggani ASTRO yang menyiarkan semua siaran langsung itu. Sebaliknya, kepada orang yang tidak mampu, menganga dan melangutlah mereka di rumah-rumah rakan yang melanggani ASTRO atau di kedai-kedai mamak dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, dalam keghairahan RTM sibuk dengan slogan “Sorakan SatuMalaysia Satu Dunia”nya, mereka telah terlupa untuk menyalakan sorakan yang melibatkan seluruh rakyat untuk Malaysia. Baru-baru ini (Ahad, 27 Jun 2010), jaguh negara kita, Datuk Lee Chong Wei bertarung di perlawanan akhir dalam Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia menentang jaguh negara itu, Taufik Hidayat. Tidak ada siaran langsung yang dibuat oleh pihak RTM. Saya dapat menyaksikannya melalui saluran 811 di ASTRO, tetapi bagaimanakah halnya dengan rakyat Malaysia yang tidak melanggani ASTRO? (Rakan-rakan saya yang tidak menjadi pelanggan ASTRO kecewa dengan keadaan ini dan saya yakin banyak lagi yang berperasaan demikian.)

Jadi, apalah gunanya Sorakan SatuDunia kalau sorakan rakyat untuk “pejuang”nya tidak diambil peduli? (Untuk maklumat, Datuk Lee Chong berjaya menjadi juara kejohanan itu dengan mengalahkan Taufik dalam tempoh 37 minit dengan keputusan 21-19, 21-8. Pada peringkat separuh akhir, beliau telah mengalahkan seorang lagi jaguh Indonesia, Soni Dwikuncoro, 21-11, 21-17.)

4 comments:

  1. Salam, tuan. Saya adalah seorang daripada jutaan rakyat yang kecewa itu. Memang saya bukan pelanggan Astro... :)

    ReplyDelete
  2. Salam, Cikgu Marni;
    Cikgu tentu perasan, bertutur dalam bahasa Inggeris menjadikan orang bersepsi bahawa kelompok penutur itu "eksklusif".

    Sekarang, sudah ada bayang-bayang seumpama itu dalam kalangan orang yang melanggani ASTRO (bukan saya) -- mereka berasa eksklusif. RTM seperti tidak tahu untuk mencari kaedah bagi menambaihbaikkan nutu rancangan supaya dapat berdiri sama tinggi dengan kabel TV berbayar.

    ReplyDelete
  3. Tuan Zul, apabila semakin ramai yang melanggan Astro, maka golongan minoriti yang tidak melanggan Astro pula yang akan berasa diri mereka eksklusif. Kelompok tegar, kata kawan-kawan yang suka mengusik saya kerana tidak mahu melanggan Astro. Hehehee..

    ReplyDelete
  4. Salam, Cikgu,
    Hm, betul juga, kan! Tidak terfikir pula saya.

    Saya pernah terbaca bahawa Yahudi Ortodoks di Israel tidak membenarkan kelompoknya menonton rancangan seumpama Channel V yang penyanyinya buka-bukaan itu. Movie bagi mereka menyesatkan dan merosakkan moral. Mereka hanya menonton tidak lebih daripada 5 saluran.

    ReplyDelete