Sunday, August 8, 2010

Menjiwai Semangat Merdeka

Pada setiap 17 Ogos, Republik Indonesia akan merayakan sambutan hari kemerdekaannya. Pada tahun ini, negara republik itu akan merayakan hari kemerdekaannya yang ke-65. Walau bagaimanapun, pelakon sinetron dan filem seram negara itu, Donita atau nama sebenarnya Noni Anissa Ramadhani berkata bahawa negaranya belum mengamalkan kemerdekaan (kebebasan) sepenuhnya.

“Bagi saya, tarikh 17 Ogos hanya satu simbol kerana (di negara ini) masih wujud penindasan. Kemerdekaan yang sebenarnya adalah apabila kita bebas daripada kemisikinan dan kejahilan. Jika ditanya sama ada kita sudah bebas, saya rasa kita belum bebas sepenuhnya,” ujar Donita dalam laman kapanlagi.com.

Menurut beliau lagi, semua rakyat Indonesia perlu tahu akan pengorbanan pahlawan negara bagi memerdekakan negara. Beliau berkata bahawa penghargaan terhadap wira negara tidak sepatutnya dilakukan pada 17 Ogos sahaja, tetapi hendaklah dilakukan pada setiap masa.

Demikianlah pandangan seorang artis (bukan artis negara ini) terhadap makna kemerdekaan/kebebasan (daripada penjajahan). Saya tidak memaksa sesiapa, tetapi kita harus berasa kagum akan kesedaran pelakon ini. Hal ini demikian kerana pandangan yang diberikan beliau sangat benar dan bernas.

Di negara kita sekarang, kita sedang berada dalam Bulan Kemerdekaan. Sama seperti tahun-tahun sebelumnya, pihak pemerintah menyeru kita supaya menampilkan semangat patriotik masing-masing dengan mengibarkan Jalur Gemilang di premis atau pada kenderaan masing-masing. Tetapi tahukah anda bahawa anda tidak boleh meletakkan Jalur Gemilang secara serampangan pada kenderaan anda? Sebagai contohnya, anda dilarang oleh pihak pemerintah meletakkan Jalur Gemilang pada bahagian bampar depan kenderaan (pada masa yang sama kita diminta melahirkan semangat patriotik, pergh!) Tidakkah hal itu salah satu ciri penindasan kerana membeza-bezakan rakyat dengan pemimpin dengan sesuatu yang tidak perlu?

Kemiskinan masih membelenggu rakyat di negara kita walhal kita sudah menjejak usia 53 tahun kemerdekaan. Kepada rakyat yang benar-benar miskin atau mungkin berstatus papa kedana, mereka dimiskinkan lagi dengan kenaikan harga barangan tertentu. (Untuk mengatasi beban kenaikan harga barangan tertentu, kita dinasihatkan supaya mengurangkan penggunaannya, sesetengahnya atas alasan kesihatan.) Soalnya, haruskah masalah kemiskinan terus wujud di negara kita tatkala para pemimpin kita saban tahun menjadikan aktiviti “makan angin” ke luar negara sebagai aktiviti wajib keluarga mereka? Berapa banyakkah pemimpin kita yang mengongsikan pendapatan mereka dengan golongan papa kedana ini?

Rakyat sendiri harus memahami erti kemerdekaan. Seperti kata Donita, pelakon Indonesia itu, kita harus mengingat kesusahan para wira dalam memerdekakan negara. Tidak cukup hanya mengenangnya pada hari tertentu sahaja atau dengan mempelajari perjuangan mereka dalam buku-buku Sejarah atau membacanya dalam novel dan cerpen. Tidak cukup hanya dengan mengalungkan bunga pada tugu dan sebagainya (sudah difatwakan sebagai haram pun). Kita harus menjiwai, merasai, menginsafi perjuangan mereka. Semangat dan kegigihan mereka yang ingin merdeka itu harus kita serapkan dalam diri kita. Kita harus punya semangat yang sama untuk membebaskan diri daripada penjajahan kemiskinan, kejahilan, dan penindasan. Semangat itu harus diwariskan dan diwarisi.

2 comments:

  1. Salam, Tuan.
    Kemerdekaan di negara kita bolehlah dikatakan hanya pada nama sahaja. Fizikalnya, memang kita sudah merdeka. Namun penjajahan minda dari segenap penjuru masih berterusan. Ekonomi,sistem politik dan sosial kita masih bercelaru.
    Apa pun, anak-anak kami sudah mula bising-bising meminta agar dibelikan bendera, hendak digantung di tingkap rumah apartment kami, katanya. Apabila ditanya apa maksud merdeka, si kecil yang berusia 5 tahun pantas menuding jari ke arah bendera Malaysia dan kami pula pantas menepuk dahi. Ahahaha...

    ReplyDelete
  2. Salam, Cikgu;
    Itulah yang kita tidak mahu. Merdeka hanya dilambangkan oleh bendera, malah bendera hanya diketahui sebagai lambang Keputeraan raja/sultan dan lain-lain.

    Atlet kita digelar Wira apabila mereka dapat memungut emas, perak, dan gangsa. Nelayan, petani, buruh, dll yang ikut membangunkan negara tidak sekali pun dipanggil Wira kecuali kalau kebetulan namanya memang Wira.

    Kita lebih mengejar gah daripada membina semangat.

    ReplyDelete