Monday, August 23, 2010

Surau Tempat Bersolat

Tabiat anak-anak era 2000-an ini seperti sudah tidak dapat dibetulkan lagi. Tidak kiralah anak-anak itu sekecil 5 tahun atau sebesar 15 tahun. Orang seperti saya agak terkejut dengan keadaan ini, tetapi lebih banyak orang yang tidak terkejut. Sudah biasa, kata mereka.

Orang dewasa yang terlibat dengan hal ini, sama ada yang mendengar ataupun melihat tingkah laku anak-anak ini, tidak berani membetulkan keadaan. Masing-masing barangkali segan kepada ibu bapa anak-anak itu. Sebagai akibatnya, kebanyakan daripada kami, termasuk saya, terpaksa “makan hati” dengan keadaan itu.

Saya merujuk kepada hal yang berlaku di surau kami. Setakat 13 hari berpuasa Ramadan, tabiat terlampau anak-anak masih berlaku walaupun sudah agak terkawal. Pada peringkat lima atau enam hari terawal berpuasa, anak-anak yang dibawa oleh ibu bapa masing-masing ke surau kami, berpesta sakan.

Anak-anak ini, saya kira mungkin berusia 10 tahun ke bawah, melakukan pelbagai perbuatan yang menaikkan darah jemaah. Mereka berlari, bercakap, bermain, gelak-gelak terkadang-kadang menjerit di dalam surau tatkala jemaah, termasuk ibu bapa mereka, sedang solat!

Anak-anak yang lebih berusia, lebih kurang ajar! Tatkala jemaah sedang bersolat, mereka membakar mercun yang dentumannya menyentap tangkai jantung kami. Jemaah wanita ada khabarnya yang terangkat buntut dan mengurut dada kerana anak-anak ini membakar mercun berhampiran dengan tempat mereka bersolat.

Pegawai surau kami, khususnya siak, ada menegur perbuatan anak-anak ini. Mereka diam pada beberapa rakaat pertama solat tarawih tetapi kembali bertandak pada rakaat seterusnya. Sehinggalah pada hari ketujuh, Penasihat surau kami menegur hal ini dalam ucapannya. Beliau merayu dan menasihati anak-anak ini supaya menjaga tingkah laku masing-masing. Kalau kalian tidak mahu solat, kata beliau, lebih baik kalian duduk di rumah dan melakukan perkara yang berfaedah.

Alhamdulillah, senyap. Kami dapat bersolat dengan khusyuk tahap orang Islam yang awam. Tetapi peringatan itu hanya sah diperakukan untuk dua malam. Keadaan kembali tidak terkawal. Akhirnya dua malam lalu, selepas solat Isyak, Imam 1 kami bersuara, lebih tegas dan berbisa. Beliau bukan sekadar menegur anak-anak itu tetapi juga menegur ibu bapa masing-masing. Ibu bapa bertanggungjawab mengingatkan anak-anak tentang etika dan tuntutan Islam di dalam surau, kata beliau.

Saya tidak pasti sama ada ada kalangan ibu bapa yang tersinggung oleh ingatan beliau itu. Tetapi saya secara peribadi merasakan teguran itu wajar.

Saya dahulu adalah antara jemaah yang kerap membawa anak ke surau. Di dalam kereta atau di atas motor, saya ingatkan anak saya supaya “jangan buat hal” di surau atau kamu akan mendapat hukuman terus daripada saya. Saya tahu anak saya jarang-jarang menghabiskan 20 rakaat solat tarawih. Kalau tidak mahu solat sampai 20 rakaat, kata saya, kamu terus sahaja pulang ke rumah selepas witir. Alhamdulillah, saya berjaya. Dia kadang-kadang tidak pulang ke rumah terus tetapi tidak pula bermain di dalam surau atau di luar surau. Terus terang, saya dapati anak-anak (di taman perumahan sayalah) pada era 1990-an seperti anak saya dan anak-anak jemaah lain, walaupun nakal tetapi masih “makan saman” dan ada rasa takut kepada orang dewasa.

Hal ini sangat berbeda dengan anak-anak era 2000-an ini. Mereka tidak makan saman. Walhal jika mereka hendak bermain, di sebelah surau kami ada padang bola tampar. 50 meter dari surau kami ada padang rekreasi yang besar untuk bermain mercun dan sebagainya. Mereka boleh bermain di situ.

Atau barangkali ada arahan ibu bapa yang menegah anak-anak mereka bermain di padang, tetapi boleh bermain di dalam surau atau di kawasan tepi surau. Atau barangkali, anak-anak ini hadir di surau tanpa ibu bapa yang barangkali masih bekerja atau sibuk membuat kuih dan sebagainya.

Iltizam membawa anak-anak ke surau sangat baik, tetapi yang lebih baik ialah menyuruh mereka bersolat, bukan membiarkan mereka bersilat.

6 comments:

  1. Salam sdra Zul.
    Saya juga berpengalaman seperti saudara. Kadang-kadang terasa mahu saja pulang dan berterawih di rumah. Lebih aman.

    Hal demikian dapat dikawal jika ibu bapa benar-benar mengawasi anak-anak. Paling tidak dapat difahami tindakan ibu bapa yang tidak ambil pusing sikap anak-anak semasa di dalam masjid/surau. Bagaimanakah mereka boleh kyusuk dalam sembahyang, walhal anak-anak sendiri yang membuat bising?

    ReplyDelete
  2. Salam, Sdr Mendewa;
    Yang paling mengaibkan jika pada malam itu turut disertai oleh pentazkirah jemputan. Apalah kata mereka.


    Sekali lagi, faktor kemahiran keibubapaan memainkan peranan penting.

    ReplyDelete
  3. Salam, Tuan Zul.
    Orang dulu-dulu memegang konsep "anak kamu, anak aku juga". Maka sesiapa pun yang bergelar ibu bapa tidak akan teragak-agak menegur salah silap anak orang lain kerana mereka sayang kepada anak orang lain sebagaimana mereka sayangkan anak sendiri. Sekarang? Jentik telinga sedikit pun sudah boleh mengheret kita turun naik mahkamah!

    Sebetulnya saya sangat bersetuju dengan tindakan Tuan Imam di tempat Tuan itu. Seharusnya ibu bapa yang ditegur jikalau teguran terhadap anak-anak tidak diendahkan oleh anak-anak tersebut. Pendidikan awal bermula dari rumah dan seharusnya ibu bapa ditegur demi kebaikan anak-anak mereka juga.

    ReplyDelete
  4. Salam, Cikgu;
    Yang hairannya, ada orang sanggup keluar belanja ratus-ratus untuk hantar anak ke "summer camp" dan sebagainya untuk betulkan akhlak anak-anak, tetapi apabila konsep "anakmu anakku, anakku anakmu" yang tidak perlu belanja itu dipraktikkan, ke mahkamah kita diangkutnya.

    ReplyDelete
  5. Masalah akhlak anak-anak Melayu-Islam kian gawat. Ibu bapa bertanggungjawab mendidik anak-anak agar menghormati tempat beribadah dan menghormati orang yang sedang beribadah. Di majid kariah saya pun saban malam imam memberikan ingatan dan memohon kerjasama ibu bapa agar 'mengawal' tingkah laku anak-anak, yang bukan sahaja berbuat bising, bermain mercun, malah ada yang menjadikan dewan solat sebagai litar lumba lari. Bersama-samalah kita memberikan teguran.

    ReplyDelete
  6. Salam, Prof;
    Rupa-rupanya sudah melata dan merata wabak ini. Dan kita terpaksa menderitai wabak yang tidak perlu ini. Fitnah apakah ini?

    ReplyDelete