Friday, June 8, 2012

Sekat PTPTN: Kerana Marahkan Pijat, Kelambu Dibakar, Tidur Terdedah

Hah, tindakan yang menggambarkan amalan politik dendam diperlihatkan oleh pihak yang menjadi kerajaan lagi! Terpulanglah kepada penilaian masing-masing untuk mengatakan tindakan mereka membekukan pinjaman PTPTN kepada pelajar baharu UNISEL sejak April lalu wajar atau tidak wajar. Saya tetap konsisten, kalau tindakan itu berbaur dendam, saya tidak pernah bersetuju. Demokrasi, saya fikir, tidak membenarkannya; Islam apatah lagi.

Kalau tindakan yang diambil oleh KPT itu untuk mengajar pemilik UNISEL, iaitu kerajaan PR yang memerintah Selangor yang berazam untuk menghapuskan PTPTN, saya pun kurang bersetuju. Mengajar kerajaan itu dengan mengorbankan potensi manusia yang bakal membangunkan negara pada masa depan merupakan suatu tindakan kurang cermat, mementingkan diri, dan agak bodoh. Mana mungkin kerana marahkan pijat, kelambu dibakar atau marahkan tikus, rengkiang dibakar?

Percayalah, jika kerajaan Malaysia diperintah oleh kerajaan seumpama kerajaan yang memerintah Singapura (katakanlah DAP), manakala UNISEL pula ditadbir oleh MCA atau GERAKAN; ataupun sebaliknya Malaysia diperintah oleh MCA atau GERAKAN manakala UNISEL ditadbir oleh DAP, mereka tidak akan sekali-kali melakukan kezaliman, penganiayaan, dan pengkhianatan terhadap anak bangsa seperti yang dilakukan oleh UMNO/BN ini. Buktinya, ikutilah komen Pengerusi MCA Selangor kelmarin. 

Sebenarnya, pada hemat saya, bukanlah suatu masalah besar untuk kerajaan Selangor menangani isu ini. Kata-kata TPM bahawa TS MB Selangor cerdik orangnya; beliau pasti tahu untuk menyelesaikan masalah ini, ada benarnya. Ternyata bahawa TS MB itu telah menyerlahkan kebijaksanaannya — UNISEL, kata TS MB, akan menggunakan aset hartanah bernilai RM30 juta bagi membantu pelajar universiti itu meneruskan pengajian mereka.

Yang tidak bijak dalam memberikan komen tentang hal ini ialah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor. Intonasinya semasa ditanya oleh wartawan (saya tonton lewat AWANI), jelas beremosi dan penuh dendam. Malaysiakini pula melaporkan kata-kata Timbalan itu seperti ini: “sekiranya PKR mengisytiharkan tidak mampu memberikan pendidikan percuma dan tidak membuat janji kosong, beliau yakin kerajaan persekutuan tidak kejam”.

Apakah penilaian anda daripada laporan itu — Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor mengaku bahawa kerajaan Persekutuan memang kejam!

Kenyataan Sdr Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda UMNO, kepada Mstar Online lebih bijaksana dan yang lebih penting kaya dengan perikemanusiaan sehingga layak diangkat untuk menerajui KPT. Kata Ketua Pemuda UMNO itu, “... janganlah jadikan pelajar-pelajar baru yang ingin melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi ini menjadi mangsa keadaan ... berilah PTPTN kepada mereka yang ingin mendapatkannya.”

Sebenarnya, tindakan yang dipelopori oleh KPT itu akan memakan diri UMNO/BN. Tindakan itu tidak akan sekali-kali menyebabkan rakyat Selangor membenci PR, justeru tambah bersimpati terhadap mereka. Jika kerajaan Selangor dapat menanganinya dengan bijaksana, matlamat mereka untuk memberikan pelajaran percuma kepada rakyat hampir berjaya. Apabila hal ini berlaku, keyakinan rakyat terhadap PR bertambah seiring dengan pertambahan kebencian rakyat terhadap BN.

Tindakan KPT itu terpesong jauh daripada matlamat slogan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” dan akan menazakkan BN hingga layak digelar sebagai Barisan Nazak.

2 comments:

  1. Salam, Tuan Zul.
    'Rakyat didahulukan' seharusnya dibaca dengan terma rakyat diutamakan, bukan dimangsakan. Pelajar-pelajar tidak seharusnya dijadikan mangsa keadaan. Menteri-menteri kita selalu melaungkan kata-kata "tugas mahasiswa ialah belajar, bukan berpolitik, maka belajar sahajalah"... tetapi dalam kes ini, pelajar diheret ke kancah politik... Siapa yang harus disalahkan selepas ini? Pelajar jugakah?

    ReplyDelete
  2. Salam, Cikgu Marni,
    Berpolitik kepada ahli politik yang menjadi kerajaan di Persekutuan ini telah melampaui sempadan kemanusiaan. Mungkin agaknya teori evolusi Darwin itu merujuk kepada mereka inilah.

    ReplyDelete