Hah, tindakan yang menggambarkan amalan
politik dendam diperlihatkan oleh pihak yang menjadi kerajaan lagi! Terpulanglah
kepada penilaian masing-masing untuk mengatakan tindakan mereka membekukan
pinjaman PTPTN kepada pelajar baharu UNISEL sejak April lalu wajar atau tidak
wajar. Saya tetap konsisten, kalau tindakan itu berbaur dendam, saya tidak
pernah bersetuju. Demokrasi, saya fikir, tidak membenarkannya; Islam apatah
lagi.
Kalau tindakan yang diambil oleh KPT itu
untuk mengajar pemilik UNISEL, iaitu kerajaan PR yang memerintah Selangor yang
berazam untuk menghapuskan PTPTN, saya pun kurang bersetuju. Mengajar kerajaan
itu dengan mengorbankan potensi manusia yang bakal membangunkan negara pada
masa depan merupakan suatu tindakan kurang cermat, mementingkan diri, dan agak
bodoh. Mana mungkin kerana marahkan pijat, kelambu dibakar atau marahkan tikus, rengkiang dibakar?
Percayalah, jika kerajaan Malaysia diperintah
oleh kerajaan seumpama kerajaan yang memerintah Singapura (katakanlah DAP), manakala
UNISEL pula ditadbir oleh MCA atau GERAKAN; ataupun sebaliknya Malaysia
diperintah oleh MCA atau GERAKAN manakala UNISEL ditadbir oleh DAP, mereka tidak
akan sekali-kali melakukan kezaliman, penganiayaan, dan pengkhianatan terhadap
anak bangsa seperti yang dilakukan oleh UMNO/BN ini. Buktinya, ikutilah komen Pengerusi MCA Selangor kelmarin.
Sebenarnya, pada hemat saya, bukanlah
suatu masalah besar untuk kerajaan Selangor menangani isu ini. Kata-kata TPM
bahawa TS MB Selangor cerdik orangnya; beliau pasti tahu untuk menyelesaikan masalah
ini, ada benarnya. Ternyata bahawa TS MB itu telah menyerlahkan
kebijaksanaannya — UNISEL, kata TS MB, akan menggunakan aset hartanah bernilai
RM30 juta bagi membantu pelajar universiti itu meneruskan pengajian mereka.
Yang tidak bijak dalam memberikan komen
tentang hal ini ialah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri
Selangor. Intonasinya semasa ditanya oleh wartawan (saya tonton lewat AWANI), jelas
beremosi dan penuh dendam. Malaysiakini pula melaporkan kata-kata Timbalan itu seperti
ini: “sekiranya PKR mengisytiharkan tidak
mampu memberikan pendidikan percuma dan tidak membuat janji kosong, beliau yakin kerajaan persekutuan tidak
kejam”.
Apakah penilaian anda daripada laporan
itu — Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor mengaku bahawa kerajaan
Persekutuan memang kejam!
Kenyataan Sdr Khairy Jamaluddin, Ketua
Pemuda UMNO, kepada Mstar Online lebih bijaksana dan yang lebih penting kaya
dengan perikemanusiaan sehingga layak diangkat untuk menerajui KPT. Kata
Ketua Pemuda UMNO itu, “... janganlah
jadikan pelajar-pelajar baru yang
ingin melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi ini menjadi mangsa
keadaan ... berilah PTPTN kepada
mereka yang ingin mendapatkannya.”
Sebenarnya, tindakan yang dipelopori
oleh KPT itu akan memakan diri UMNO/BN. Tindakan itu tidak akan sekali-kali menyebabkan
rakyat Selangor membenci PR, justeru tambah bersimpati terhadap mereka. Jika
kerajaan Selangor dapat menanganinya dengan bijaksana, matlamat mereka untuk
memberikan pelajaran percuma kepada rakyat hampir berjaya. Apabila hal ini
berlaku, keyakinan rakyat terhadap PR bertambah seiring dengan pertambahan kebencian
rakyat terhadap BN.
Tindakan KPT itu terpesong jauh daripada
matlamat slogan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” dan akan menazakkan
BN hingga layak digelar sebagai Barisan Nazak.
Salam, Tuan Zul.
ReplyDelete'Rakyat didahulukan' seharusnya dibaca dengan terma rakyat diutamakan, bukan dimangsakan. Pelajar-pelajar tidak seharusnya dijadikan mangsa keadaan. Menteri-menteri kita selalu melaungkan kata-kata "tugas mahasiswa ialah belajar, bukan berpolitik, maka belajar sahajalah"... tetapi dalam kes ini, pelajar diheret ke kancah politik... Siapa yang harus disalahkan selepas ini? Pelajar jugakah?
Salam, Cikgu Marni,
ReplyDeleteBerpolitik kepada ahli politik yang menjadi kerajaan di Persekutuan ini telah melampaui sempadan kemanusiaan. Mungkin agaknya teori evolusi Darwin itu merujuk kepada mereka inilah.