Wednesday, September 16, 2009

Dua Keping Gambar yang Bercerita

YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, dan Pengerusi Proton, Datuk Nazmi Mohd Salleh, menunjukkan replika kereta F1 1Malaysia. Pasukan F1 1Malaysia akan membuat penampilan sulung dalam Kejuaraan Formula Satu (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mulai tahun depan.

YAB Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan sumbangan zakat kepada bekas anggota polis bersempena dengan majlis tahlil dan sumbangan zakat kepada fakir miskin serta majlis berbuka puasa di Surau Saadiah, Muar.

Yang manakah yang perlu didahulukan atau diutamakan — RAKYAT atau PENCAPAIAN? Yang manakah yang penting — mengegahkan dan menguar-uarkan gagasan 1Malaysia dengan cara membazir atau mewujudkan kesejahteraan dan kemakmuran kepada rakyat dengan cara memberikan bantuan kepada mereka? Kita kurang jelas kerana mereka mengambil langkah yang mengaburkan kita.

Apakah manfaat yang diperoleh oleh bekas anggota polis (serta jutaan rakyat yang senasib dengannya) yang jasa mereka sebesar gunung itu daripada pasukan F1 1 Malaysia itu kelak? Sedangkan sehingga kini, penganjuran F1 yang sudah berlanjutan selama bertahun-tahun oleh negara ini tampaknya tidak memberikan manfaat apa-apa kepada bekas anggota polis di dalam gambar itu. Kalau ada manfaatnya, tentulah manfaat itu telah melimpah-ruah kepada rakyat marhaen dan dengan demikian tidaklah sampai bekas anggota polis itu terkategori sebagai salah seorang asnaf.

Pasukan F1 1Malaysia itu kelak akan dibiayai oleh gabungan sektor awam dan swasta dengan pembabitan kerajaan menerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Proton Holdings Berhad. Alangkah baiknya kalau biaya itu disalurkan kepada bekas-bekas polis, tentera, bomba dan penyelamat, dan lain-lain yang hidup susah dan melarat! Jika dilihat kepada jasa yang dicurahkan mereka, mereka tidak sepatutnya susah dan melarat.

Lagipun, sejauh manakah penubuhan pasukan F1 1Malaysia itu dapat membantu kerajaan 1 Malaysia menambah undi mereka dalam mana-mana pilihan raya kelak? Taburkanlah kesenangan dan kemakmuran kepada rakyat, rakyat pasti akan menaburkan tanda terima kasihnya dengan memberikan undi tidak berbelah bahagi kepada pemerintah.

Saya seperti terpandang-pandang, RAKYAT dan PENCAPAIAN (daripada gagasan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan) tidak boleh jalan seiring.
(*Sumber gambar: Bernama dan Berita Harian)

6 comments:

  1. Salam.
    Errr, bukankah rakyat memang sentiasa didahulukan? Buktinya, dalam isu kenaikan harga minyak (yang kelihatan seolah-olah tidak naik langsung itu). Gara-gara mahu mengurangkan tanggungan subsidi, maka rakyatlah yang didahulukan menanggung bebannya. Rakyat didahulukan, bukan? heheehee..

    ReplyDelete
  2. Salam jua
    Dengan kata lain, slogan itu satu gaya (retorik) politik sang kapitalis (kalau berdasarkan rancangan F1 1Malaysia itu) membuat duit. Kalau tak percaya, lihatlah siapakah sektor swasta yang melibatkan diri, (CEO Tune Group, pemilik Air Asia). Tak jadi nak buat LCCT Kedua di (Labu?), diberi projek ini. Pheh! Tak boleh nak gelak macam Cikgu.

    ReplyDelete
  3. hmmm...nak marah kapitalis pon, tu duit dorang. tp duit dorang pon datang dari rakyat jgk. cmne ye?

    ReplyDelete
  4. Salam, BB
    Di negara kita, mungkin negara lain jugak, pemodal ini diberi peluang bisnes yang luas. Sangat luas sampai tak masuk akal. Macam mana Lim Goh Tong, Ananda Krishna, Robert Kuok boleh kaya sampai macam tu? Jika 25% daripada peluang itu diberi kepada rakyat, tentu cukup untuk menghapuskan kadar miskin tegar di neara kita.

    ReplyDelete
  5. sebagai orang biasa yang sederhana, saya sayu tengok seorang bekas polis jadi salah seorang penerima asnaf.

    saya setuju dengan tuan rumah. rakyat dan pencapaian takleh berjalan seiring.

    akan datang mungkin. sekarang belum boleh lagi.

    ReplyDelete
  6. Salam, Cikgu;
    Kita dah kerap menyatakan hal ini bahawa rakyat perlu dibebaskan daripada kemiskinan tetapi semuanya macam menyalak bukit. Rakyat yang diutamakan pemerintah sebenarnya tetap juga sang kapitalis kerana mereka ini perlu dipelihara demi memastikan survival politik mereka. Percaya?

    ReplyDelete