Tuesday, September 1, 2009

Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan

Apabila konsep 1Malaysia diuar-uarkan, yang terlintas dalam otak ini ialah hasrat untuk merealisasikan peneguhan perpaduan yang selama ini tenang di permukaan berkocak di dasar. Itulah yang pertama berkunjung dalam otak ini walaupun pada dasarnya banyak orang – termasuk yang cendekia – kabur tentang konsep ini. Sehingga demikian, kerana konsepnya kabur, ada sebilangan pihak yang merasakan diri dan golongan mereka tertindas sejak sekian lama, mula meminta kesamarataan. Lalu, waktu itu kelihatan keserbasalahan di pihak orang dalam jemaah menteri – hendak diberikan mati ibu, tidak diberikan mati ayah. Maka, untuk membolehkan rakyat tahu akan konsep 1Malaysia itu, penjelasan pun dilakukan walaupun tindakannya samar dan samar dan samar.

Sehinggalah 1 September 2009, apabila harga petroleum dinaikkan tatkala banyak orang yang menukar karier mereka kepada penanam anggur atau singkatannya penganggur. Dalam hal ini, harga harga petrol gred baharu – RON95 – dijual pada harga RM1.80 seliter manakala harga petrol sedia ada – RON97 – dijual pada harga RM2.05. Padahal, pada pertengahan Mei 2009, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (sekarang Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, dan Kepenggunaan), mengumumkan bahawa pada 1 September 2009 harga petrol gred baharu – RON95 – akan dijual pada harga RM1.75 seliter manakala harga petrol sedia ada – RON97 – akan dijual pada harga RM2.00.

Dengan kenaikan itu, barulah ada sedikit kejelasan daripada kegelapan dan kelegapan konsep 1Malaysia itu, iaitu rakyat 1Malaysia perlu membantu untuk mengurangkan beban kerajaan (beban tanggungan subsidi petrol ini ialah satu contoh). Rakyat 1Malaysia perlu menanggung beban yang dialihkan kepada mereka kerana kerajaan tidak berupaya untuk memikulnya sendirian (sebenarnya kita juga menanggung para pembuat dasar malah wakil-wakil rakyat juga kerana mereka boleh membuat tuntutan perbatuan [mileage claims] atas setiap titis petrol yang digunakan mereka). Barulah jelas inti pati kalimat keramat “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” itu.

Sesungguhnya, kini 1Malaysia sedikit banyak mula tahu akan kebenaran ungkapan “bikin tak serupa cakap” dan “cakap tak serupa bikin”. Janjinya RM1.75, bikinnya RM1.80. Janjinya RM2.00, bikinnya RM2.05. Kita perlu membayar RM1.80 untuk petrol yang lebih rendah kualitinya, walhal pada suatu ketika – sehingga 31 Ogos 2009 – kita membayar RM1.80 untuk petrol yang lebih tinggi kualitinya. Patutlah semasa pengumuman tentang pengenalan RON95 dibuat oleh mantan Menteri yang berkaitan (Dato’ Sharir Ahmad) dahulu, ada pihak yang mendakwa bahawa usaha pengenalan petrol RON95 itu merupakan suatu usaha kerajaan untuk menaikkan harga petrol dengan cara terhormat. Macam ada kebenarannya pula!

Adakah kita terasa seperti dibodohkan atau terasa seperti tertipu? Jangan berfikiran demikian! Ingat, rakyat perlu didahulukan (dalam menanggung apa-apa beban) supaya pencapaian yang menjadi keutamaan kerajaan dapat direalisasikan. Eleh, sebenarnya harga petrol tak naik pun! Bukankah memang sebelum ini kita membayar RM1.80 untuk seliter petrol?

6 comments:

  1. Dude, 1Malaysia ni! Memang rakyat yang selalu diutamakan. Kerajaan terbeban, rakyat yang diutamakan untuk mengurangkan beban kerajaan. 1Malaysia betul...

    Kalau bapak gua dapat kontrak kapal selam scorpion, gua tak kisah beb, sebab duit komisen tu kalau makan 7 keturunan pun tak habis!

    ReplyDelete
  2. Salaaaaaaaam,
    Rupa-rupanya, kan, rakyat yang didahulukan untuk menanggung beban komisen yang hangus tu.

    ReplyDelete
  3. sudah lama dah rakyat menanggung semua ni.pelbagai tektik diguna dalam mengkelabukan pemikiran rakyat.

    Lihat pTPTN sudahlah. Syarikat perniagaan gergasi... siapa dibelakangnya?

    Lihat PPSMI...kepentingan siapa diutamakan.....para kapitalis kut, rakyat dibelakangkan.

    ReplyDelete
  4. Salam, Syekh;
    Sangat betul dan benar. Kita menanggung segala-galanya daripada perbuatan pihak yang kita beri kepercayaan dan amanah.

    Banyak lagi kalau hendak disenaraikan dan banyak juga yang menyakitkan hati.

    ReplyDelete
  5. Salam, Encik Zulkifli.

    Kerajaan memang cerdik memutar belit fakta bagi menipu rakyat. Dahulu mereka kata caruman KWSP dikurangkan dari 11% ke 9% supaya rakyat boleh dapat jumlah gaji 'lebih sedikit' dan dapat berbelanja. Hakikatnya, gaji memang lebih, cukai pun kena bayar lebih. Siapa yang untung? Kera**** juga!

    Sekarang, katanya rakyat tidak akan terbeban sebab harga minyak tetap sama, cuma jenis minyak sahaja yang ditukar kepada yang kurang berkualiti. Apa bezanya? Harga barang sudah mula naik hari ini. Alasan peniaga, kami tetap guna minyak RON97 untuk menjaga kenderaan supaya tidak cepat rosak. Entah betul entah tidak kata-kata peniaga ini tetapi apa yang boleh dilakukan oleh pengguna (dibaca: kita)?

    Dahulu, kini dan selamanya rakyat dianggap bodoh dan mudah dibodohkan. Haruskah kita terus rela diperlakukan sedemikian?

    ReplyDelete
  6. Salam, Cikgu Marni;
    Betul tu, pemerintah memang pintar, bestari, bijaklaksana dalam memutarbelitkan apa-apa pun. Hampir semua hal demikianlah hakikatnya, termasuk PPSMI yang kita perjuangkan itu.

    Saya sedikit sangsi, bagaimanakah jumlah orang yang mati kerana H1N1 yang beberapa hari (untuk tempoh seminggu) adalah antara 6-9 orang, tiba-tiba menjadi begitu terkawal sehingga ada hari tidak ada orang yang mati? (Tolong, bukanlah maknanya saya suka orang mati.)

    Kadang-kadang kita seperti anjing yang menyalak bukit.

    ReplyDelete