Wednesday, September 29, 2010

Menuju ke PRU 13: Selangor

Sudah lebih dua tahun PRU 12 berlalu – keputusan rasmi selepas pemilihan 8 Mac 2008 itu ialah BN masih berkuasa untuk menerajui kerajaan (Persekutuan). Di Parlimen, BN memenangi 140 kerusi manakala pihak yang menentangnya atas nama Pakatan Rakyat (PR) memperoleh 82 kerusi (kejadian lompat-melompat parti selepas PRU itu telah mengubah keputusan rasmi tersebut).

Sebelum PRU 12 itu, bekas Menteri Kewangan, YBhg Tun Daim Zainuddin mengklasifikasikan tiga buah negeri sebagai “Kawasan Panas”. Negeri yang diklasifikasikan beliau sebagai “panas” itu itu ialah Kedah, Pulau Pinang, dan Selangor. Ramalan beliau terbukti sebagai benar – ketiga-tiga negeri itu jatuh ke tangan PR, malah ditambah pula dengan satu negeri lagi, iaitu Perak. Kelantan terus dikuasai PR (PAS).

Khabar-khabar angin dan cakap-cakap kedai kopi mengatakan bahawa Tun Daim sudahpun membuat ramalannya tentang PRU 13 akan datang. Menurut khabar angin itu, Tun Daim meramalkan BN akan tewas. Oleh sebab ramalan beliau sebelum PRU 12 itu betul, menurut penyampai khabar angin di kedai kopi itu, maka ramalan beliau yang terkini tidak kita dengar lewat mana-mana media. Kalaulah benar beliau ada meramalkan demikian, BN perlu memberikan perhatian yang sepenuh-penuhnya terhadap ramalan itu.

Sebagai memberikan respons terhadap ramalan Tun Daim sebelum PRU 12 dahulu, Menteri Besar yang memimpin Selangor dan Kedah pada waktu itu dalam satu temu bual dengan sebuah akhbar arus perdana berkata bahawa PAS dan DAP memang mempunyai penyokong dan pengikutnya di negeri-negeri itu, tetapi PKR tidak ada penyokong. Malah, kedua-duanya berkata bahawa PKR bukan ancaman besar kepada BN.

Di Selangor terbukti bahawa Menteri Besar yang dahulu itu terpaksa menelan liur dan kahaknya. Beliau yang pada suatu ketika berhasrat untuk mewujudkan keadaan sifar pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri di Selangor “meleleh liur” apabila melihat tokoh yang menjadi MB Selangor selepas kekalahan BN ialah tokoh daripada parti yang dikategorikan beliau sebagai bukan ancaman besar kepada BN itu!

Itu cerita yang sudah lepas – cerita yang membogelkan para pemuka BN yang selalu memperlihatkan keyakinan bahawa BN akan kekal memerintah negara/negeri dari dulu himgga kini dan selama-lamanya, pemuka yang kadangkala langsung tidak ber“insya-Allah” apabila melahirkan keyakinan mereka.

Cerita yang akan datang yang sepatutnya sudah pun dianalisis sejak kekalahan itu oleh pihak BN ialah bagaimanakah mereka hendak merampas negeri yang telah jatuh itu sedangkan pada masa yang sama negeri yang dikuasai mereka juga sedang berada dalam situasi seperti telur di hujung tanduk, abu di atas tunggul? (Negeri Sembilan adalah antara contohnya.)

Selangor mempunyai 56 kerusi DUN. Pada PRU 12 itu, BN hanya memenangi 20 kerusi dan yang selebihnya (36 kerusi) dimenangi oleh PR (PKR = 15, DAP = 13, dan PAS = 8). Daripada 20 kerusi yang dimenangi oleh BN, 9 kerusi daripadanya dimenangi dengan majoriti di bawah 700 undi (kerusi yang dimenangi oleh PR dengan majoriti kecil itu ialah 3). Malah, di N29 (Seri Serdang), Wakil Rakyat BN memenanginya dengan majoriti 45 undi!

Yang lebih menakutkan ialah, kerusi DUN yang terletak di bandar-bandar yang dahulunya dimenangi oleh wakil BN dengan majoriti yang besar, telah berubah senarionya. Kesemuanya telah dirampas oleh PR dengan kemenangan yang besar pula. Antara kawasan itu termasuklah Bangi, Balakong, PJ Utara, Kampung Tunku, Damansara Utama, PJ Selatan, Bukit Gasing, Kinrara, Subang, Bukit Lanjan, Rawang, dan lain-lain. Dapatkah BN menerbalikkan keadaan ini?

Ketua Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Dato’ Seri Mohd. Najib dan Timbalannya, Dato’ Noh Omar, berdepan dengan cabaran yang getir untuk merampas Selangor! Menyingkirkan MB Selangor dahulu daripada tugas Ketua Perhubungan UMNO Negeri ialah langkah yang sesuai kerana beliau harus dipertanggungjawabkan dan dipersalahkan atas kekalahan BN di negeri itu dalam PRU 12 dahulu. Rasanya MB Selangor dahulu menerima hakikat itu dengan hati yang terbuka. Setidak-tidaknya beliau masih berstatus Wakil Rakyat dan menjadi Ketua Pembangkang.

2 comments:

  1. Salam, Tuan.

    Nampaknya, sukar bagi BN meyakinkan rakyat marhaen betapa mereka sudah berubah, sudah menjadi sangat baik. Walaupun hampir setiap hari lawan mereka diburuk-burukkan dan hampir setiap hari rakyat marhaen dikatakan semakin menyebelahi mereka (itu kata mereka la... benarkah rakyat berkata begitu?)

    Sejujurnya, sejak Mac 2008 saya (secara peribadi - enggan dikatakan bias hanya dengan pengalaman sendiri) tidak pernah berasa mahu merungut dengan pentadbiran Kerajaan Negeri yang ada. Bahkan saya bersyukur (mungkin orang lain juga seperti saya. Mungkin). Saya berikan beberapa contoh, ya...

    Syukur kerana kami menerima 20 meter padu air percuma setiap bulan. Syukur kerana MB kami masih mempertahankan agar tarif air tidak dinaikkan oleh pihak Syabas.

    Syukur kerana semakin banyak jalan negeri (jalan yang melalui kampung-kampung) dibesarkan dan dicantikkan sehingga kami gemar melaluinya, sekaligus dapat mengelak daripada membayar tol (contohnya, laluan dari Putrajaya ke Shah Alam melalui Pulau Meranti dan merentasi Puchong - tanpa tol!).

    Syukur kerana suara kami didengar, walaupun hanya 5 daripada 10 suara (sebelum ini hanya 1 atau 2 sahaja yang didengari... errr, atau tidak didengari langsung?)...

    Apa pun, kami tidak mengundi berdasarkan PARTI. Kami mengundi individu yang kami percaya boleh mewakili kami. Paling penting, kami mahukan pemimpin yang boleh memandu kami, di dunia dan di akhirat kelak, Insya-Allah...

    ReplyDelete
  2. Salam, Cikgu,
    Saya bersama-sama dengan Cikgu untuk melahirkan rasa syukur yang amat sangat.

    Awal-awal lagi sikap samseng pengendali tol dapat diatasi dengan wajar oleh MB. Pengendali tol Saga yang angkuh kerana enggan membuka laluan untuk satu kawasan perumahan kerana mereka bakal kehilangan kutipan tol ditangani dengan baik oleh MB demi rakyat, demi keadilan.

    Sehingga kini saya tidak perlu membayar bil air - percuma kerana penggunaan tidak sampai 20 meter padu.

    Kemudahan fizikal banyak disediakan kerajaan kini. Kita harap pembentukan nilai rakyat dapat diperbetul dan dibaiki pada masa depan.

    Kalau tidak ditutup Litar Batu Tiga Shah Alam, mungkin gejala merempit dapat dikurangkan. Itu jasa kerajaan dulu. Apabila hal ini diajukan kepada MB sebelum ini, dia berkata kelulusan telah dibuat oleh MB sebelumnya.

    Saya mendahulukan Islam. Parti jatuh nombor tiga.

    ReplyDelete