Wednesday, October 20, 2010

Lebuh Raya: Hak-hak Pengguna

Kuala Lumpur Bandar Raya Bercahaya, itulah julukan yang diberikan oleh pihak-pihak tertentu kepada ibu kota Malaysia yang tercinta ini. Mungkin ada pelbagai julukan lain yang diberikan orang kepada bandar raya ini, saya kurang pasti.

Selain gelaran Kuala Lumpur Bandar Raya Bercahaya yang saya ketahui itu, saya suka memberikan julukan lain untuk ibu kota Malaysia yang tercinta ini. Julukan pilihan saya ialah Kuala Lumpur Bandar Raya Bertol.

Untuk menjadi Bandar Raya Bertol, Kuala Lumpur memerlukan lebuh raya, terowong, jambatan bertingkat, dan sebagainya. Mari kita senaraikan nama lebuh raya yang ada di Kuala Lumpur atau yang dibina menghala ke Kuala Lumpur. Antara yang saya ingat termasuklah Lebuh Raya Bertingkat Ampang-KL (AKLEH), Lebuh Raya Putrajaya-KL (Maju Expressway/MEX), Lebuh Raya Hubungan Timur-Barat (METRAMAC), Terowong SMART, Lebuh Raya Pantai Baru (NPE), Lebuh Raya Sprint, Lebuh Raya Besraya, dan Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE).

Selain Kuala Lumpur, bandar-bandar di pinggirnya juga mempunyai pelbagai lebuh raya. Antara yang dapat diingati termasuklah Lebuh Raya Damansara-Puchong/LDP, Lebuh Raya Cheras-Kajang/SAGA dan Lebuh Raya SILK (di Kajang/Putrajaya), Lebuh Raya Elite, Lebuh Raya GUTHRIE, dan Lebuh Raya Plus (di Shah Alam), Penchala Link (di Damansara), dan lain-lain lagi.

Untuk menggunakan lebuh raya ini, kita tidak boleh lalu begitu sahaja melainkan membayar sejumlah wang pada kadar yang telah ditetapkan, sama ada secara tunai atau menggunakan kemudahan Touch N Go atau SMART Tag. Sesetengah lebuh raya bertol ini memang memberikan manfaat yang besar kepada pengguna kerana mempercepat perjalanan. Walau bagaimanapun, sesetengahnya tidak membantu untuk mempercepat perjalanan pun. Hal ini berlaku demikian kerana kesesakan berlaku di lebuh raya itu. Kita terpaksa membayar sejumlah wang bagi menikmati kesesakan.


Menyentuh hal ini, sejauh manakah pengendali lebuh raya di Kuala Lumpur dan di seluruh negara melayan penggunanya dengan baik. Sejauh manakah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, dan Kepenggunaan (KPDNKK) memantau kerenah pengendali lebuh raya ini?


Biasa kita temukan pengendali lebuh raya tidak membuka semua lorong tol mereka. Ada masanya, tiga atau empat lorong tidak dibuka. Hal ini menyebabkan pengguna berebut-rebut untuk memasuki laluan yang dibuka lalu menimbulkan kesesakan. Ada ketikanya pula, lorong SMART Tag atau Touch N Go yang disediakan rosak. Hal ini turut menimbulkan masalah yang sama.

Di Kajang, ada sebatang lebuh raya yang sehingga kini hanya menyediakan satu lorong SMART Tag sahaja. Sebagai akibatnya, pengguna kemudahan ini terpaksa berbaris panjang untuk melalui lorong ini.

Adakah KPDNKK memantau hal ini bagi memastikan hak pengguna diutamakan oleh pihak pengendali lebuh raya? Bukankah pengguna berhak mendapat layanan yang istimewa bagi kemudahan berbayar yang digunakan oleh mereka? Atau pihak KPDNKK merasakan bahawa hal seperti itu bukan tanggungjawab mereka kerana tanggungjawab mereka hanya memantau harga barangan, mengugut pemborong dan pengedar barangan supaya tidak menaikkan harga barangan, dan menghapuskan masalah cetak rompak (yang tidak pernah terhapus pun) sahaja?

Pihak pengendali lebuh raya bertol mungkin tidak ambil endah akan masalah ini kerana mantan menteri yang ada kaitan dengan lebuh raya dahulu sering bercakap dengan mengikut sedap mulut. Antara lain dia menyuruh pengguna mencari jalan lain kalau tidak puas hati dengan lebuh raya yang disediakan. Elokkah begitu?

6 comments:

  1. Salam, tuan.
    Tiba-tiba teringt mantan menteri berkaitan yang pernah menyuruh rakyat menaiki kereta lembu! Ahahahaa...
    Apa pun, terima kasih atas maklumat ini. Memang saya sendiri tidak pernah terfikir mahu mengaitkan KPDNKK dengan isu hak pengguna lebuh raya...

    ReplyDelete
  2. Salam, Cikgu;
    Kalau nak jadikan bahan cerita, banyak hal yang berkaitan dengan mantan menteri itu yang dapat kita lipurlarakan. Ha, ha!

    Itulah, kita lihat pengendali lebuh raya ini seperti mempunyai imuniti luar biasa. Boleh melakukan apa-apa terhadap pengguna dengan sesuka hati mereka.

    Saya teringat akan kata-kata Dato' Ismail Kamus. Kata beliau, satu-satunya bisnes yang tidak akan rugi (tidak boleh rugi) ialah syarikat pengendali lebuh raya. Walhal hakikatnya, kata beliau, setiap bisnes mesti ada untung dan ada rugi.

    ReplyDelete
  3. rakyat yang sentiasa tertipu ialah rakyat malaysia. slogan saja banyak.

    ReplyDelete
  4. Salam, Syeikh;
    Betul, Syeikh. Dari zaman "Kepemimpinan Melalui Teladan" sampailah zaman "Rakyat Didahulukan, Pecapaian Diutamakan" sekarang. Gelembong saja yang lebih.

    Tengok "Bersamaku" malam tadi? Itulah contoh Rakyat Diutamakan! Kemudian, hendak bina bangunan 100 tingkat pulak!

    ReplyDelete
  5. Sdr. Zul,

    Oleh sebab Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur belum mempunyai nama yang lengkap, tidak seperti negeri-negeri lain, maka dapatlah disarankan nama "Kuala Lumpur Darul Tol".

    2. Salah satu tanda akhir zaman ialah berebut-rebut orang (penguasa) mendirikan bangunan yang tinggi-tinggi.

    ReplyDelete
  6. Salam, Prof;
    Sangat sesuai nama itu.

    Dalam bajet 2011, sedap bunyinya - kadar tol tidak akan dinaikkan dalam tempoh lima tahun akan datang.

    Dengan kadar pertambahan bilangan kenderaan yang sangat pesat di jalan raya, pengusaha tol dapat kumpulkan jutaan/bilion RM. Rasanya lebih daripada unjuran pihak pengusaha tol sendiri. Hendak naik juga?

    ReplyDelete