Saturday, October 9, 2010

Pejuang Tanah Air dan Komanwel

Apakah/Bagaimanakah perasaan kita sekiranya kita merupakan salah seorang ahli Persatuan Bekas Perajurit atau Bekas Pelajar (Alumni), dan lain-lain. Saya yakin sangat bahawa rasa bangga pasti menyelinap dalam diri kita. Bekas ketua unit saya begitu bangga menjadi ahli Persatuan Murid-murid Tua Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman, Ipoh (STAROBA/Sekolah Tunku Abdul Rahman Old Boys Association). Mereka dapatlah dikatakan agak aktif.

British merupakan negara penjajah. Banyak negara di dunia ini yang menjadi jajahannya. Malaysia/Tanah Melayu adalah antara jajahan takluknya suatu ketika dahulu. Banyak sungguh pejuang kemerdekaan kita, sama ada yang bernama (Tuk Janggut, Abdurrahman Limbong, Tok Bahaman, dan lain-lain) atau yang “tidak bernama” yang digugurkan oleh pihak penjajah itu.

Tiba-tiba selepas dibebaskan, darah dan air mata pejuang ini kita pinggirkan. Kita dengan sukacita dan rasa bangga menyertai satu kesatuan bekas negara jajahan yang menampakkan bahawa kita berasa sangat bangga kerana pernah menjadi salah sebuah negara Empayar British. Dalam erti kata yang lain, kita seperti berasa megah kerana pernah bertuankan British! Perlukah begitu? Kalau politik menjadi asas penyertaan/keahlian, rasanya tidak perlu sama sekali.

Jika tidak salah, Ireland dan Zimbabwe telah meninggalkan Komanwel. Fiji juga begitu dan walaupun negara itu menyertai Komanwel semula, negara itu telah digantung keahliannya.

Sukan Komanwel memang persaingan yang bagus untuk atlet kita, tetapi sukan itu berasas pada hakikat bahawa negara pesertanya adalah bekas jajahan takluk British. Seronokkah kita?

2 comments:

  1. Salam, Tuan.

    Sukan Komanwel hanya satu daripada banyak bukti betapa sekian lama kita terlalu berbangga menjadi bekas jajahan British. Lihat sahaja bahasa penjajah mana yang kita agungkan sehingga tergadai bahasa sendiri. Lihat sahaja budaya penjajah mana yang kita jadikan ikutan sehingga Sunnah Rasul hanya tinggal sebagai perhiasan. Jikalau disebut satu per satu pasti akan ada yang mengatakan saya ini orang yang kolot dan menolak kemajuan, maklumlah kononnya bahasa Inggeris itu bahasa yang membawa kemajuan!

    ReplyDelete
  2. Salam, Cikgu Marni;
    Pemuka yang menerajui negara telah memberikan laluan kepada pengagungan ini dengan seluas-luasnya. Bahasa Melayu ditukar kepada bahasa Malaysia. Bagaimanakah halnya kita hendak membicarakan penggunaan bahasa Melayu klasik, bahasa Melayu moden, dan lain-lain. Wajarkah kita menyebutnya bahasa Malaysia klasik? Bahasa Malaysia moden? Selain contoh yang Cikgu berikan, itulah antara contoh lain kecetekan fikiran pemuka yang memandai-mandaikan kebodohan mereka.

    ReplyDelete