Hal ini telah beberapa kali saya fikirkan sejak kereta saya hilang kira-kira dua minggu yang lalu. Kesabaran memang beraja di hati saya tetapi biasalah, iman seorang orang biasa (awam) seperti saya rupa-rupanya tidaklah setebal mana kerana sesekali saya akan ber“kalau” tentang hal yang saya bayangkan itu.
Ya, kalau saya terserempak dengan orang yang mencuri harta saya itu dan tatkala itu dia sedang dengan selambanya menggunakan harta saya yang dicurinya itu, saya mungkin akan “membelasahnya”. Perihal bayangan terhadap tindakan saya ini ada saya luahkan kepada rakan taulan saya dan mereka menyetujui tindakan saya. Huh, memang fikiran saya dan fikiran mereka itu “ngam”, sangat “ngam”!
Hal ini saya rasa “wajar” kerana disebabkan oleh kejahatan si pencuri itu, saya terpaksa berdepan dengan pelbagai kesulitan daripada kehilangan itu:
- membuat laporan polis (yang kerana saya tidak memahami prosedur dan pegawai yang mengambil laporan sedikit “dungu” telah menimbulkan kesulitan lain pula sehingga memungkinkan pihak insurans tidak akan membuat ganti rugi);
- berurusan dengan pihak insurans;
- mengambil cuti untuk berurusan dengan pihak insurans (sedangkan pada waktu ini banyak kerja urgent yang perlu dibereskan);
- berurusan dengan JPJ; serta
- pelbagai kesulitan lain, termasuk sekali-sekali, tekanan perasaan.
Apatah lagi kalau saya mendapati orang yang mencuri itu berbangga-bangga dan tidak menunjukkan rasa bersalah kepada saya walhal yang dibangga-banggakannya itu ialah harta curian yang selama ini menjadi kesayangan pemilik asal, yang selama ini dibayar dengan titik peluh dan air mata darah oleh pemilik asal, iaitu saya dan isteri saya! Bukankah wajar tindakan saya itu kalau saya memang ditakdirkan untuk bertembung dengan “orang itu”?
Hah, tentu akan ada sahabat yang bertanya, bukankah saya ada menzahirkan rasa sabar saya pada posting terdahulu? Saya ada mengatakan bahawa hal ini suatu musibah kecil berbanding dengan musibah kubra yang menimpa sahabat-sahabat kita di Padang? Ya, betul tetapi fahamilah, bukankah saya orang biasa yang fikiran saya kerap berubah-ubah? Hari ini sabar, esok hilang sabar, esok sabar semula, dan begitulah seterusnya.
Kawan-kawan, saya insan yang lemah. Sesekali saya akan ber“kalau” terhadap ujian Allah. Mengapakah demikian? Sudah tentulah kerana saya “kurang jelas” mengapakah hal seumpama itu diujikannya kepada saya?
Sebagai manusia yang lemah juga, sesekali saya akan ber“kalau” juga. Seperti yang diketahui oleh semua orang, kalau itu jika sering diungkapkan selepas kita ditimpa sesuatu musibah, akan membawa kita kepada kekufuran kerana ada rasa tidak redho terhadap ujian daripada Allah Yang Maha Mengetahui.
Sebenarnya, saya suka membayangkan hal ini kerana kelaziman yang ada dalam diri saya ialah apabila saya merancang untuk melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan kehendak agama, apabila saya memikir-mikirkan perkara-perkara yang mencetuskan kemarahan saya, saya pasti tidak akan melakukannya apabila hal yang saya bayangkan, hal yang saya rancangkan, dan hal yang menimbulkan api kemarahan saya itu benar-benar menjadi kenyataan. Itulah kelazimannya.
Jadi, sang pencuri yang mungkin ada membaca blog ini, jangan bimbang, anda akan selamat daripada belasahan saya kalau kelak saya terserempak dengan anda. Cuma, tunggulah pembelasahan daripada Allah SWT dan saya tidak perlu ber“kalau-kalau” tentang hal itu.
(Tapi, rasa saya kalau setakat menempeleng pencuri harta saya itu, boleh, kan? Isy, nak jugak)
No comments:
Post a Comment