Tuesday, October 6, 2009

Musibah: Sabarlah yang Menjadi Penawarnya

Dua tiga hari saya tidak menziarahi mana-mana blog, atau dengan kata lain tidak melayari Internet, bukan kerana ketidakcukupan waktu atau jemu tetapi semuanya kerana perasaan dibaluti rasa tidak tentu arah. Hal ini demikian kerana, pada hari posting (yang telah saya draf sehari sebelumya) tentang musibah gempa bumi yang menimpa sahabat dan saudara-saudara kita di Padang diterbitkan di dalam Blog ini, pada petang itu saya juga telah ditimpakan Allah SWT musibah yang saya tanggapi sebagai ujian kepada saya sebagai hamba-Nya.

Saya, walaupun agak terkejut tatkala menerima apa-apa berita tentang sesuatu musibah, lazimnya dapat mengawal perasaan saya. Sehingga demikian, jarang-jarang terpacul daripada mulut saya nada yang meninggi sebagai natijah daripada rasa terkejut itu. Tetapi sekali ini tidak demikian halnya. Apakala mendengar berita tentang musibah itu, terpacul kata yang spontan dan meninggi nadanya. Tidak dapat saya ingat apakah kata yang terpacul daripada mulut itu tetapi saya masih ingat bahawa nadanya agak tinggi dan apabila berita itu saya dengar, saya segera meninggalkan pejabat untuk pulang dan kemudian menghubungi isteri saya.

Musibah itu sebenarnya telah saya “risaukan” akan menimpa diri saya pada suatu hari nanti. Saya tidak tahu mengapa perasaan itu ada dalam diri tetapi yang saya tahu kebarangkalian untuk ditimpa musibah itu memang ada. Saya telah kehilangan kereta yang saya sayangi – Proton Satria GTi, berwarna perak (original spec), platnya bernombor WJG 4732. Kejadian itu berlaku sekitar jam 3:00-4:30 petang, hari Jumaat di bandar Kajang. Yang membawa kenderaan itu anak saya dan pada waktu itu (ketika kereta itu hilang) dia sedang makan dan beriadah, sekembalinya dia dari bersolat Jumaat di Putrajaya.

Saya menerima qadak dan qadar Allah SWT dengan kehilangan itu tetapi saya tidak dapat memahami sikap pencuri yang tidak memikirkan natijah daripada perbuatan mereka itu. Mereka tidak memikirkan bagaimana susahnya saya (dan mangsa-mangsa curi yang lain) hendak melunaskan hutang kenderaan saban bulan sehinggalah lima, tujuh, atau sembilan tahun kemudian baru menjadi milik saya atau mangsa-mangsa curi itu. (Kebetulan hutang kereta itu baru selesai pada bulan Julai tahun 2008!) Mereka juga tidak memikirkan kesulitan-kesulitan lain yang terpaksa dihadapi oleh mangsa-mangsa seperti saya daripada kehilangan kereta itu — daripada membuat laporan polis hinggalah membuat tuntutan kepada syarikat insurans (dan jika kereta itu tidak ditemukan, saya terpaksa menunggu antara 3-6 bulan untuk mendapat ganti rugi kehilangan itu). Mujurlah saya mempunyai kereta kedua. Jika tidak, satu lagi kesulitan terpaksa saya hadapi. Dengan itu, segera terlintas di fikiran saya bahawa Allah SWT memang Maha Adil dan Maha Mengetahui dalam menetapkan sesuatu hukuman. Si penjahat yang bernama pencuri ini, setelah sahih dan dapat dibuktikan perbuatannya, wajar dijatuhi hukuman potong tangan kerana perbuatannya itu menganiaya yang empunya harta. Tidak timbul soal hukum Allah SWT itu kolot dan tidak bertamadun kerana yang perlu kita lindungi bukan pesalah laku sebaliknya orang yang teraniaya oleh pesalah laku itu. Yang perlu kita lindungi ialah hukuman dan keadilan bukannya pesalah laku.

Sebelum hilang, semua syarat untuk mengelakkan kereta itu hilang telah dilakukan oleh anak saya, iaitu menguncinya dengan baik (stereng juga dikunci dengan kunci tambahan), tetapi rupa-rupanya banyak pakar yang meremukkan hati manusia lain di luar sana. Selepas hilang, saya telah melakukan semua yang terdaya menurut lunas-lunas agama (terima kasih kepada penduduk Taman Jasmin, Kajang yang bersama-sama dengan saya mengadakan solat hajat selepas kehilangan itu). Malah saya telah mencuba mengesannya dengan bantuan adik ipar saya melalui isyarat yang diberikan oleh seorang ustaz hingga di luar Kajang, tetapi tidak menemukannya. Sekarang, saya pasrah walaupun ada rasa sedih yang melingkari perasaan saya. Saya tidak harus memberengut kerana jika dipanjangkan usia dan tiada aral yang melintang, saya akan beroleh ganti ruginya tetapi musibah yang menimpa sahabat-sahabat dan saudara-saudara kita di Padang itu lebih payah dan lebih mendukacitakan. Mangsa yang hidup di sana banyak yang kehilangan harta dan tempat bergantung dan mereka tidak mendapat ganti ruginya. Itulah cara saya memujuk hati saya. Sesungguhnya, semua yang berlaku adalah mengikut perencanaan dan pelaksanaan Allah SWT.

Ungkapan SABAR yang sering saya luahkan kepada sahabat-sahabat dan sesiapa sahaja apabila mereka ditimpa musibah menjadi sangat bermakna dan kena pada diri ini apabila musibah ini menimpa saya.

(Nota jari: Kereta yang hilang itu atas nama saya tetapi merupakan milik isteri saya kerana beliaulah yang membayar ansurannya setiap bulan. Kereta kedua ini atas nama isteri saya tetapi sayalah yang membayar ansurannya setiap bulan!)

6 comments:

  1. Salam Zulkifli..

    Bersabarlah diatas ujian dariNYA..kita semua akan diuji dlm pelbagai bentuk..

    Saya sendiri pernah diberi ujian apabila perniagaan yg baru dimulakan dgn wang sebanyak RM50 ribu terpaksa ditutup gara2 rakan kongsi telah pecah amanah (pada masa itu saya telah menggadaikan kesemua barang2 kemas, mengeluarkan kesemua wang simpanan dibank dan berhutang kad kredit..

    Hampir2 diambil tindakan kebankrapan oleh pihak Bank..tapi alhamdulillah Allah membantu hamba2nya yg teraniaya..selama hampir berpuluh hari saya bangun bermunajat ditengah malam menangis dan merayu2 kpd Allah memohon diberi petunjuk kejalan yg benar sekiranya perkara itu berlaku diatas kesilapan dan dosa2 saya yg tidak terlihat oleh mata kasar..

    Saya bernasib baik kerana mempunyai suami yg sangat memahami dan sanggup bersama disaat susah dan senang dan kerana sokongannya saya bangun semula dan selepas itu saya mendapat tahu rakan saya yg pecah amanah itu juga telah hilang sumber pendapatannya..perniagaannya musnah, perniagaan restorannya juga tidak menjadi..disitulah saya melihat rahmat dan kebesaran Allah keatas hamba2nya yg sabar diatas ujian yg diberi..

    dan kini alhamdulillah kenangan pahit itu telah berlalu dan saya menikmati hidup yg lebih tenang dan aman demi atas rahmat kasihsayangNYA dan kasihsayang suami dan keluarga dan rakan2 yg tidak putus memberikan sokongan..

    Justeru itu bersabarlah diatas ujianNYA dan jangan lupa utk terus melakukan solat2 sunat dan bangun bermunajat kpdNYA ditengah malam kerana pada sepertiga malam itu adalah merupakan masa yg paling dekat Allah dgn kita.

    ReplyDelete
  2. Salam, Zai;
    Alhamdulillah, betapa bermaknanya nasihat itu dan saya sangat menghargainya. Akan saya laksanakan saranan itu sedaya mungkin dan semoga saya beroleh petunjuk-Nya seperti yang Zai peroleh itu. Allahumma Amin.

    ReplyDelete
  3. Bro Zul,
    gua yang hilang selipar jepun kat masjid pun akan sumpah seranah si maling tu, apatah lagi lu yang hilang GTI.
    Gua paham....gua paham...

    ReplyDelete
  4. salam tuan.Bila kita ditimpa musibah barulah kita memahami kenapa peraturan yg allah kenakan keatas pelakunya itu berbaloi dengan yg dilakukan.Memang sakitnya hati kita bila kehilangan sesuatu. Pencuri senang lenang bergembira.Hukum hudud keatas pencuri bukan hukum untuk dipermainkan.Begitu juga keatas peminum arak.

    ReplyDelete
  5. Kalau Tuhan turunkan hujan lebat, pastinya dia akan hadiahkan pelangi yang indah-indah.

    Hanya Tuhan yang tahu segala rahsia.

    ReplyDelete
  6. Bro Metal,
    Betul, dalam sabar dan tenang, sesekali marah berbaur-baur dan bersilang-siur di dalam hati dan kepala. Dulu, rimnya hilang, dan kemarahan daripada kehilangan itu sesekali timbul juga dalam redho. Sekarang, tidak tahu. Sabar masih ada dan betullah, ketenangan akan diperoleh di dalam solat!

    Syekh Muaz,
    Saya setuju, untuk mengetahui seksa penderitaan, laluilah ujiannya. Rasional hukum Allah bagi setiap kesalahan sangat benar, adil, dan baik untuk kedua-dua pihak - mangsa dan pemangsa.

    MkRiza;
    Ya, saya berharap agar demikianlah. Sepanjang Ramadan, saya memohon petunjuk dan hidayah-Nya, serta kemurahan rezeki daripada-Nya. Barangkali ini petunjuk-Nya dan saya berusaha untuk tenang.

    ReplyDelete