Thursday, October 8, 2009

Susah Rupa-rupanya Hendak Memahami Demokrasi

Sudah pernah saya jelaskan, dengan pengetahuan yang tidaklah sedalam mana, tentang perlunya setiap rakyat yang menghuni negara bernama Malaysia ini memahami erti demokrasi dengan sebenar-benarnya, dengan sedalam-dalamnya.

Demokrasi membenarkan pertandingan atau pemilihan para wakil yang dibuat oleh ahli atau rakyat yang bergabung dalam satu kesatuan atau persatuan, parti atau partai atau dalam konteks yang lebih luas, sebuah negara untuk memilih pemimpin yang disukai.

Dalam pemilihan, sudah tentulah ada lobi-melobi. Para ejen atau juak-juak calon yang bersaing boleh menjalankan kempen dan “melonjak-lonjakkan” calon atau parti yang diwakili mereka. Boleh juga mereka hendak menghentam calon yang menjadi seteru.

Sekadar itu. Cukuplah. Pergaduhan biarlah setakat pertikaman lidah yang bukanlah mencaci-maki dan mencerca peribadi calon lain. Makian dan cercaan bukan sekadar mengaibkan calon tetapi orang-orang yang dekat dengan calon juga – ibu bapanya, anak isteri, adik-beradik, dan seterusnya.

Tambah-tambah lagi sampai membantaibelasah, melukacederakan orang lain hanya semata-mata kerana persaingan memilih calon. Perbuatan ini bukan sekadar menimbulkan trauma yang bukan sedikit kepada mangsa tetapi mencalar nama baik negara yang dikenali memiliki rakyat tepu sopan, penuh santun.

Para pemimpin parti, kesatuan dan persatuan, nasihatilah penyokong supaya memanfaatkan akal dengan sebaik-baiknya. Jadilah orang, bukannya yang selain daripada orang. Manusia yang bertamadun ialah manusia yang membudayakan kebaikan. Pemimpin tidak harus menggalakkan keganasan!

Kalau benar sampai ada penyokong parti yang berani membantaibelasah penyokong lawan, menghambat dengan parang, dan sebagainya, hendak kita golongkan sebagai apa orang itu? Kelak, kalau yang di sebelah sini membalas tindak, bagaimana? Kecoh! Kekuatan bukan terletak pada fizikal tetapi pada kewarasan akal.

Sang penguasa undang-undang biarlah neutral, jangan memihak. Siasatlah dakwaan ini. Betulkah serangan itu melibatkan penyokong parti yang sebelah sini? Atau ada puak yang sengaja mengambil kesempatan? Memakai baju parti sebelah sini semasa menyerang parti sebelah sana, tindakan tidak cerdik! Tindakan ini seperti hendak melaga-lagakan suku-sakat parti. Siasat betul-betul, jangan pendam-pendam, jangan diam-diam!

Saya jadi malu sendiri. Mengapa? Kerana masih ada orang yang tak faham-faham!

2 comments:

  1. Kkuatan sntiasa dilihat dengan kehebatan fizikal.Kewarasan adalah prkara akhir. Matlamat politik adalah keutamaan. Sokongan dan dorongan orang politik menyebabkan timbulnya hilang kewarasan.Sang penguasa pula sentiasa melihat untung politik semata-mata.

    ReplyDelete
  2. Salam, Syekh;
    Kewarasan harus diletakkan di tempat paling tinggi. Bagaimana orang memandang kewarasan, itu yang menjadi masalahnya. Orang politik merasakan membeli sesuatu barangan berharga RM10 juta pada harga RM15 juta waras kerana sebab-sebab tertentu. Ini masalah.

    ReplyDelete