Wednesday, October 7, 2009

Ketidakyakinan terhadap PDRM: Suatu Persepsi?

Pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) ialah agensi penguasa undang-undang yang paling berkuasa di negara ini. Kuasanya mengatasi kuasa yang ada pada ATM, SPRM, dan agensi-agensi kerajaan yang lain apatah lagi kuasa pihak-pihak berkuasa tempatan. Kuasa yang dimiliki mereka boleh digunakan untuk menahan dan mendakwa orang dalam pelbagai akta. Oleh sebab terlalu berkuasa, banyaklah orang yang berkepentingan dan ingin meminta “perlindungan” agensi ini yang mencuba untuk merapati ketua-ketua dan anggota-anggota polis sendiri (tetapi tidaklah diketahui sama ada orang-orang “berkepentingan” ini berjaya mendekati mereka). Kekuasaan PDRM ini diiktiraf oleh kerajaan sendiri kerana kita dapati beberapa orang Ketua Polis Negara pernah dikurniai gelaran Tun semasa mereka masih berkhidmat dalam PDRM lagi. Hal ini tidak berlaku kepada agensi seperti ATM, SPRM, dan sebagainya.

Tetapi, sekarang PDRM seperti tenggelam punca. Inilah gambaran yang dapat kita cerna daripada kata-kata yang diluahkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin seperti yang dilaporkan oleh pihak Bernama hari ini.

Yang menjadikan agensi penguasa undang-undang itu seperti tenggelam punca ialah mereka masih tidak dapat mengubah persepsi negatif dan ketidakyakinan masyarakat terhadap mereka walaupun segala usaha telah dilakukan oleh pihak berkuasa itu sehingga berjaya melepasi piawai 20% kadar penyelesaian kes yang ditetapkan oleh Polis Antarabangsa (Interpol). Malah, menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman itu, kadar penyelesaian kes oleh pihak PDRM sekarang ialah 38%, iaitu hampir mencecah 40%. Pencapaian ini jelas jauh lebih baik daripada piawai yang ditetapkan oleh Interpol itu, sekali gus membuktikan bahawa PDRM memenuhi piawaian sebagai agensi penguasa undang-undang bertaraf dunia.

Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin sampai berkata bahawa kejayaan pihak PDRM melepasi piawai itu “tidak sedikit pun” mengubah pandangan negatif masyarakat terhadap PDRM. Oleh hal yang demikian, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman itu bercadang untuk mengkaji cara-cara bagi meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap pasukan itu supaya persepsi masyarakat yang menganggap PDRM masih banyak mempunyai kelemahan terutamanya daripada segi siasatan dapat diubah.
(Sumber: Bernama)

Berita penuh tentang hal ini dapat anda ikuti dalam laporan Bernama yang bertajuk “Penyelesaian Kes Meningkat Tidak Cukup Ubah Persepsi Negatif Terhadap Polis” dalam http://www.bernama.com/.

Demikianlah gambaran yang berlaku kini. Krisis persepsi yang tumbuh dalam minda masyarakat terhadap institusi kepolisan di Malaysia tampaknya sudah berada di tahap runcing, sama halnya dengan persepsi yang tumbuh dalam minda masyarakat terhadap kerajaan yang memerintah negara sekarang. Begitu juga, seperti Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin yang berasa risau dengan persepsi tersebut, kerajaan yang memerintah sekarang juga berasa risau dengan persepsi negatif terhadap mereka. Hal ini bermakna, krisis persepsi itu saling berkait antara kerajaan dengan PDRM.

Jadi, pada pandangan saya, persepsi negatif dan ketidakyakinan masyarakat terhadap PDRM bukanlah disebabkan oleh berjaya atau gagalnya PDRM dalam menyelesaikan sesuatu kes. Sebaliknya, yang menjadikan persepsi negatif dan ketidakyakinan itu bercambah dalam minda masyarakat ialah tindakan PDRM yang banyak memihak kepada kerajaan (walaupun hal yang menyebabkan mereka memihak itu “kurang wajar”), selain sikap sambalewa dan tidak mesra anggota PDRM dalam melayan aduan masyarakat, salah guna kuasa, rasuah, kematian tahanan di dalam lokap polis, dan sebagainya.

Ada beberapa contoh yang menampakkan PDRM lebih memihak kepada kerajaan berbanding dengan masyarakat sehingga menumbuhkan suatu persepsi tidak baik dalam diri masyarakat. Layanan buruk (provokasi dan tembakan gas pemedih mata dll) terhadap “pejuang-pejuang” bahasa yang berarak untuk membantah PPSMI adalah salah satu contohnya. Kematian Goh Yam Peaw yang mati di lokap Balai Polis Segamat dan A. Kugan Ananthan di Balai Polis USJ8, Subang Jaya dan keterlibatan anggota polis dalam kematian Altantuya adalah contoh-contoh dari sisi lain. Betul, kes-kes itu itu berjaya diselesaikan (kerana yang bersalah telah didakwa dan dijatuhi hukuman). Jumlah kes yang “menjejaskan” nama PDRM itu pun kecil sahaja. Dan kalau dibandingkan dengan semua hal itu, jasa pihak PDRM kepada keamanan negara tiada tandingannya tetapi persoalannya mengapakah peristiwa sedemikian berlaku? Mengapakah dirosakkan panas setahun oleh hujan sehari?

Krisis persepsi ini bukan berpunca daripada PDRM itu tetapi berpunca daripada orang-orang yang berada di dalamnya. PDRM itu dapatlah dianggap sebagai kolah air. Kolah itu asalnya diisi dengan air mutlak yang sesuai untuk berwuduk dan diminum tetapi entah bagaimana ada setitis dua minyak yang mencemarinya. Air dan minyak tidak bercampur, buanglah minyak yang mengapung di permukaan air di dalam kolah itu. Maksud saya, penambahbaikan dan keupayaan menyelesaikan kes jenayah tidak meninggalkan kesan kepada masyarakat jika unsur-unsur tidak sihat yang diamalkan oleh anggotanya tidak ditangani dengan baik. “Minyak yang mencemari kolah itu perlu dibuang demi memastikan air di dalam kolah itu berstatus air mutlak”.

Jika benar pihak PDRM hendak membuat kajian tentang kewujudan persepsi ini, apa-apa sahaja hasil kajian yang dibuat itu kelak hendaklah diterima dengan lapang dada, bukan sekadar memilih yang lunak-lunak sahaja. Yang sebaik-baiknya, tegakkanlah yang betul, buanglah yang buruk.

4 comments:

  1. Ni semua kerana kerajaan masih berdolak dalih mengenai pelaksanaan cadangan oleh suruhanjya penambaikkan PDRM . Lambat bertindak. Kesannya semakin hari semakin membuak.Dan yakinlah PDRM semakin jauh dihati rakyat... kalau ia tidak berubah.Lanjutan tempoh khidmat KPN sekarang pun menambah buruk keadaan itu.

    ReplyDelete
  2. Bro,
    gua ada pengalaman yang tak berapa nak cantik sangat dengan segelintir pegawai polis. Gua penah kena tipu. Ribu-ribu la gak. Bila gua buat report, gua sertakan sekali nama serta kontek mangkuk hayun tu. Berbulan2 tu gua tak dapat apa-apa respon dari IO tu. Bila gua telepon, macam2 alasan bodo dia kasi. Last sekali gua tulis surat kat IPD dan cc kat Ketua Polis negeri ngan Ketua Polis Negara. Baru terhegeh-hegeh IO tu cari gua. Lembab tahap siput babi betul buat kejer...tapi segelintir ler.

    ReplyDelete
  3. Salam, Syekh Muaz;
    Tertarik saya dengan ungkapan Syekh, "Dan yakinlah PDRM semakin jauh di hati rakyat". Sangat benar. Kalau tidak kerana ada hal-hal tertentu yang memerlukan kita berhubung dengannya seperti soal pembayaran saman, aduan, dll, tak sesiapa pun yang peduli.

    Bro Metal;
    Itulah realiti. Macam kes kereta hilang baru ni, patutnya dia buatlah perisytiharan, sekadar berbasa-basi, misalnya, "Insya-Allah, kereta Encik tu boleh jumpa. Kami berikhtiar cara kami, Encik ikhtiar cara Encik", ataupun setidak-tidaknya cakaplah, "Sabar Encik. Kita sama-samalah usaha". Bukan apa, orang macam gua masa tengah sedih, kecewa, marah, dan macam-macam lagi. Pujuk-pujuklah hati masyarakat. Pakai psikologilah sikit. Ini tidak! Dahlah tak mesra masa ambil report. Muka macam hampeh. Key in report terpatuk-patuk. Yang IO-nya boleh pulak kata kat gua, "Oh, kereta ni memang hot. Orang suka." dll yang tambah mendukalarakan jiwa.

    Jauh, jauh.

    ReplyDelete
  4. Bro,
    dah la kita rasa hampeh masa buat report, pastu bila kita baca balik report yang mamat polis tukang ambil report tu taip, lu tak rasakah nak hempuk diorang dengan monitor komputer? Bahasanya... malaslah gua nak cakap.

    ReplyDelete