Thursday, October 1, 2009

Kelelahan Kecil Menelah Keputusan di Bagan Pinang

Seperti yang kita sedia maklum, akhirnya Isa jugalah yang dipilih untuk mewakili BN dalam PRK Bagan Pinang pada 11 Oktober nanti. Bukan kerana tidak ada orang lain yang lebih layak daripada Isa tetapi kerana sudah tidak ada orang lain dalam kepala penyokong Isa.

Sebagai natijahnya, Yg Bhg Tun Mahathir yang memang dari awal lagi menentang idea penyokong-penyokong Isa yang menamakan ketua mereka sebagai calon itu, telah memutuskan bahawa beliau tidak akan turun berkempen untuk membantu Isa di Bagan Pinang. Walau bagaimanapun, beliau tetap menyokong Isa kerana Isa calon parti. Dengan itu, semua pendapat peribadinya yang terdahulu yang jelas menentang Isa sebagai calon tidak perlu diambil kira. (Dapat saya bayangkan betapa susahnya untuk berpendirian begitu dan untuk menelan kekecewaan.)

Mukhriz, anak Tun Mahathir pula berkata bahawa Isa akan mendapat sokongan undi yang hebat dan akan mendapat kemenangan yang besar kerana Isa popular dan dihormati di Teluk Kemang (dan Bagan Pinang). Dengan kata lain, tanpa kehadiran bapanya (Tun Mahathir) berkempen di Bagan Pinang pun, Isa-BN tetap akan menang. (Maknanya, peranan bapanya itu bukanlah penting sangat malah bukanlah menjadi faktor yang dapat menjamin kejayaan Isa-BN. Jadi, tidak datang pun tidak menjadi hal.)

Soalnya, betulkah Isa-BN akan menang? Apakah asas keyakinannya itu? Undi pos? Cuba amat-amati kata-kata Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin (Panglima Angkatan Tentera yang baharu) itu. Beliau berkata bahawa taat setia anggota ATM bukan tertumpah pada mana-mana parti tetapi tertumpah pada DYMM Yang di-Pertuan Agong sahaja. Kata-katanya itu (jika ditujukan kepada orang awam) bermaksud bahawa anggota tentera yang dipimpinnya bebas memilih sesiapa pun calon yang akan bertanding sebagai wakil rakyat mereka. Beliau tidak akan mempengaruhi anak-anak buahnya dalam hal ini. Jadi, jika kata-kata itu bukanlah untuk mengaburi dan menyedapkan hati pihak pembangkang, maka Mukhriz dan Isa-BN harus waspada.

(Walau bagaimanapun, dalam senario yang biasa, MENURUT SESETENGAH PIHAK, undi tentera lazimnya berpihak kepada BN. Dalam hal ini, sungguhpun ada kalangan tentera yang tidak sealiran dengan BN, selalunya undi mereka akan dimanipulasi dan dikhianati. Proses pengundian dalam kem KONONNYA hanya dilakukan oleh seorang atau dua orang ketua sahaja dan keadaan ini berlaku di banyak tempat seperti di Parlimen Setiawangsa, Lumut, dan juga Kok Lanas. Tanpa “bantuan” undi tentera atau undi pos, calon BN akan gigit jari. Wallahua'lam.)

Walau apa-apa pun hujah yang diberikan, pada pandangan saya, kemenangan calon-calon yang bertanding di Bagan Pinang ini memang ditentukan oleh undi pos (namun qadak dan qadar Allah siapakah yang dapat merubahnya?)

2 comments:

  1. Bro,
    gua pernah jadi petugas pilihanraya. Gua rasa macam tak logik ler bila semua kertas undi tu pangkah dacing. Tak kan ler tak ada seorang pun mat tiarap yang sokong kumpulan lain. Kalau ada 500 kertas undi pos, semua pangkah dacing.

    Konpius! Konpius!

    ReplyDelete
  2. Ha, orang macam syekh sendiri yang ada pengalaman dengan senario itu telah membuktikannya! Seolah-olahnya, dalam ratusan buah bacang yang masak itu, tidak ada satu pun yang berulat, kan. Memang betul, tak logik!

    ReplyDelete